Khamis, 18 April 2013

CAKAP-CAKAP PRU13 (28) - NASIHAT BUAT JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)


Segera Hancurkan Fahaman Syiah dan Wahabi

APABILA meneliti ucapan-ucapan pemimpin Pas sejak satu dua dekad yang lalu hingga sekarang, terdapat banyak kekeliruan berbanding ajaran Islam sebenar. Telah banyak disedari oeh banyak pihak tetapi masing-masing hanya menyatakan bantahan, kesal dan marah.
            Pendedahan akhbar dalam beberapa siri pengakuan individu seperti pertelagahan imam solat, dua masjid dalam satu kariah, perceraian pasangan suami- isteri disebabkan berlainan parti, masalah mati hidup sakit demam sesama masyarakat, kenduri kendara dan sebagainya mengukuhkan lagi bahawa Pas telah secara halus dan kasar menyebarkan fahaman agama yang ekstrimis dan tidak bersandar kepada pegangan mazhab yang empat khususnya Imam Shafie bagi umat Islam di rantau Asia ini.
            Lebih 40 tahun lalu ketika penulis sedang menuntut di institut pengajian tinggi di Kuala Lumpur, gerakan kumpulan al-arqam (arqam) sudah menjalar bukan sahaja di kalangan awam malah juga meresap secara terang di kolej-kolej dan universiti-universiti. Ketika itu arqam sudah pun menjalankan operasinya sejak kira-kira 10 sebelumnya.
              Sambutan luar biasa dari segenap lapisan masyarakat Islam ketika itu sedikit pun tidak membimbangkan negara kerana perjalanan awalnya dilihat tidak ada yang meragukan disisi Islam. Tingkah laku ibadatnya, perniagaannya dan sosialnya masih boleh diterima masyarakat. Sehinggalah kemuncaknya apabila pemimpinnya Ustaz As-Shaari memperkenalkan ajaran Aurat Muhamadiah bersama zikir-zikirnya yang boleh memesongkan akidah umat Islam. Ketaksuban ahli-ahlinya sehingga sanggup membelakangkan tangungjawab rumah tangga dan keluarga semakin dilihat telah memecah belahkan institusi rumah tangga keluarga Islam ketika itu.
            Dan, dengan pelbagai kontroversi yang dibawanya itu akhirnya argam telah diharamkan. Namun, akhir-akhir ini terdapat usaha-usaha menghidupkannya semula. Setelah As-Shaari meninggal dunia, isterinya (isteri-isterinya) pula telah mengambil alih peneraju utama kumpulan itu di mana baru-baru kita dimaklumkan salah seorang bekas isteri dan pengikutnya ditangkap oleh kerajan Arab Saudi atas dakwaan cuba menyebarkan ajaran sesat.
            Kerajaan juga telah mengharamkan Tariqat (Tarikat) yang pada pemikiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ajaran daripada kumpulan itu boleh membawa mudarat kepada keharmonian negara.
            Perkembangan kelaku umat Islam di luar negara khususnya di negara-negara Arab seperti Iraq, Iran, Turki, Pakistan, Afghanistan dan lain-lain dilihat turut mempengaruhi pemikiran pencinta Islam di Malaysia. Islam dengan jelas telah menerima wajib umatnya mematuhi mana-mana mazhab imam yang empat (Shafie, Maliki, Hambali dan Hanafi) tanpa mencampur adukkannya dengan lain-lain fahaman atas sebab apa sekalipun. Malah, pemilihan mazhab itu juga di atas ketentuan yang berkait rapat dengan budaya hidup dan faktor geografi dan taraf sosio sesebuah wilayah di mana umat Islam itu berada. Makanya, sebagai contoh di rantau Asia ini umat Islam adalah pengamal mazhab As-Shafie.
            Namun, perkembangan fahaman Syiah dan Wahabi yang begitu tersebar malah digunapakai di negara-negara Arab dilihat semacam menolak mazhab yang empat sebaliknya menjadikan fahaman itu sebagai garis panduan wajib bagi menyebarkan agama Islam terutama dalam menentukan sesebuah kerajaan, pemimpin dan kepimpinan serta hala tuju kerajaan itu.
            Di Malaysia,  tidak pula dipastikan sama kehadiran kedua-dua fahaman itu sudah menapak di sini. Pun begitu, tidak lama dahulu perbincangan mengenainya di media-media sudah ada. Dan, jika melihat daripada beberapa petunjuk berdasarkan cara dan tindak tanduk beberapa golongan yang kononnya memperjuangkan Islam, ada bunga-bunga yang merujuk kepada kedua-dua fahaman itu yang langsung tidak ada dalam ajaran Imam As-Syafie. Bahkan juga tidak mematuhi ajaran tiga imam mazhab yang lain.
            Harus diingat bahawa ia bukanlah ajaran sunnah sebaliknya adalah 'fahaman' yang lebih kepada sentimen yang mengagungkan kepada kehebatan sesuatu puak yang kemudiannya berusaha untuk menjuarai dunia Islam melaluinya.
            Justeru, fahaman yang tidak direstui oleh mazhab yang empat ini amat berbahaya jika dibiarkan membaluti pemikiran dan iktikad umat Islam di mana juga. Kita sudah jelas melihat kesannya kepada umat Islam di Iran, Iraq dan beberapa negara Islam lain yang akhirnya berantakan sesama sendiri.
            Tidak mustahil orang-orang Yahudi telah mengkaji kekuatan keempat-empat mazhab itu dan mendapati adalah amat sukar bagi mereka jika mahu memecah belahkan umat Islam ini jika umat Islam itu berpegang teguh kepada Imam mazhab masing-masing. Kerana, satu daripada tuntutan Islam itu adalah persaudaraan dan perdamaian.
            Namun, puak yang amat mencemburui agama Islam yang diamanahkan oleh Allah disebarkan di dunia ini melihat kekerasan dan kekeliruan dalam fahaman (syiah dan wahabi) boleh dijadikan perantara bagi menghantukkan kepala sesama umat Islam di seluruh dunia.
            Justeru, dengan licik dan halusnya beberapa pendokong fahaman tersebut mendapat dorongan dan sokongan padu daripada musuh-musuh Islam terutamanya Yahudi. Sedangkan pada hakikatnya kumpulan penggerak fahaman itu sendiri tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang ditarik hidung oleh musuh Islam sendiri khasnya Yahudi.
              Kehalusan dan kelicikan permainan tangan ghaib ini mengheret umat Islam hari ini ke suasana keliru tetapi tidak disedari berlaku sehingga ramai antara umat Islam kini tidak dapat membezakan amalan dan natijah yang mereka pakai itu dari mazhab yang mana sedangkan kalau di Malaysia ini apapun mestilah berlandaskan ajaran Imam Shafie (bukan fahaman).  
            Kekalutan mencampur adukan ajaran Imam-Imam inilah yang memudahkan fahaman syiah dan wahabi mudah menyelinap masuk yang kononnya sebagai pengukuh dan pemudah dengan alasan bahawa Islam itu mudah. Manakala dalam sudut lain pula mereka taksub dengan ajaran Islam membenarkan perangi siapa sahaja jika mereka tidak mahu patuh kepada pegangan hakikat gerakan kumpulan berkenaan. Ini sebenarnya bukan ajaran tetapi adalah fahaman yang sudah dikelirukan melalui tafsiran yang berbagai apabila kumpulan itu membelakangkan tuntutan ahli sunni sebaliknya melebihkan kehendak dan tuntutan pemimpin-pemimpin fahaman.
            Keadaan bertambah buruk apabila ramai golongan muda yang mempelajari Isalm tanpa guru (melalui pembacaan dan tafsiran sendiri) manakala ada sebilangan guru pula dengan sengaja menyembunyikan fakta sebenar sesuatu mazhab dengan menerima semua mazhab itu sama jalannya.
            Penulis fikir, ahli-ahli agama memahami malah mahir sangat dengan isu ini. Namun persoalannya, mengapa api yang baru sepalit cuma itu tidak dipadamkan segera sebelum ia membakar umat Islam seluruhnya. Gerakan arqam adalah contoh yang paling dekat yang mana sehingga kini sebenarnya api gerakan itu masih belum terpadam sepenuhnya walaupun telah beberapa kali pemimpin gerakan kumpulan telah melalui proses pentaubatan oleh JAKIM.
            Setakat hari ini umat Islam di negara ini diberitahu sebagai 'wajib menolak syiah dan wahabi'. Mengapa tidak ada kerja-kerja pemusnahan hingga ke akar umbi?
            Ingat, Cegah Sebelum Parah!


Jagindas: Orang tua-tua kata: berjaga-jagalah api sedari kecilnya kerana apabila besar ia akan menjadi lawan; jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.