WAJARKAH jika seawal-awal
ini penulis membuat ramalan terhadap PRU13? Atas niat yang baik penulis fikir
ianya adalah wajar atas sebab-sebab tertentu. Namun hanya satu sebab yang
paling utama iaitu bagi menyedarkan pihak yang bertanding supaya tidak leka.
Atau untuk dijadikan pemangkin supaya pihak yang bertanding khususnya Barisan
Nasional (BN) berkerja lebih keras di saat-saat akhir meraih undi. Bak kata
orang tua-tua, berkerja laksana cencaru makan petang..kita kena buat all out bukan untuk pastikan sekadar menang
tetapi untuk mendapat KEMENANGAN BESAR.
Bagi dewan Undang Negeri (DUN) BN semahunya hendaklah
menyapu bersih biarpun mungkin beberapa negeri tidak capai dua pertiga. Untuk
kerusi parlimen kita mahu lebih dua pertiga bukan sekadar menang selesa. Di
Dewan Rakyat BN tidak boleh bersenang hati dengan keputusan memang sekadar
menang dengan kelebihan beberapa undi sahaja, hendak berkokok pun malu!Pasukan pembangkang yang sehingga hari ini masih bertelagah menempatkan calon masing-masing jangan dipandang sebagai petanda bahawa mereka akan kalah teruk. Ada kalanya strategi di saat akhir mampu menidakkan kekuatan lawan.
Begitu juga pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh kerajaan dan media arus perdana bukanlah faktor kukuh yang boleh menyedarkan pengundi supayaberalih memilih BN. Malah, kalau kita lihat kebanyakan yang keluar daripada parti pembangkang dan kembali kepada menyokong kerajaan adalah 'orang lama' tetapi tidak bagi orang muda dan amat sedikit bagi orang Cina dan India. Itu, belum diambil kira keluar berkokok sebagai wayang semata!
Biarpun kerajaan pimpinan Najib begitu memahami aliran dan perasaan orang muda sehingga banyak perkara telah diluluskan dalam mengambil hati orang muda, tetapi ia juga masih belum mampu meraih minat orang muda untuk menyokong BN sepenuhnya. Kenapa?
Antara sebab utamanya adalah pengundi muda hari ini sudah lama 'terbiar'. Mereka berilmu tetapi tidak dilatih dan diminta secara ikhlas, jujur dan insaf supaya mencintai negaranya. Hanya baru sekarang mereka di dekati. Ketika mereka belajar di sekolah dahulu, mereka tidak mendapat kefahaman dan nilai sebenar pendidikan sejarah terutama sejarah negaranya sendiri.
Mereka di ajar untuk lulus periksa dan bukan untuk menginsafi setiap babak dan peristiwa yang berlaku dalam negaranya. Barangkali juga kandungan isi sejarah telah 'dilemahkan'. Kalau itulah yang berlaku, maka itulah dosa dan balanya yang negara dapat apabila ada pihak yang cuba menipu sejarah atau menganggapnya sebagai subjek picisan selama ini.
Justeru, apabila mereka sudah dewasa dan memiliki ilmu yang berbagai tetapi kosong pemikiran terhadap kepentingan negaranya. Alangkan yang pernah melalui pahit maung jatuh bangun negara pun sanggup menderhaka, apalagi golongan muda yang sejak-sejak dilahirkan melihat dunia ini sudah terbuka!
Golongan muda lebih mudah menerima pembohongan dan janji auta pembangkang kerana mereka tidak pernah merasai erti dan realiti 'kesengsaraan' sebenar. Mereka tidak faham dan sedar sejauh mana mereka sebenarnya dipergunakan oleh golongan pemutar belit tersebut demi mencapai cita-cita peribadinya sedang pemutar belit itu sendiri tahu dengan jelas kesengsaraan yang bakal negara nikmati.
Manakala, golongan muda Cina dan India sekian lama dibiarkan memilih hala hidup mereka sendiri. Sedari kecil mereka diasingkan menerima pendidikan dan budaya hidup di negara berbilang kaum sehingga dewasa pun mereka begitu.
MCA dan MIC seperti juga Umno, selama ini asyik mengejar kepentingan peribadi hingga lupa bahawa mereka semakin tua dan suatu masa nanti pengundi muda akan menjadi penentu masa depan negara ini. Nah, sekaranglah masanya bermula!
Pada tahun 2017 atau pilihanraya ke 14 nanti, barangkali pengundi muda mengatasi pengundi lama sebanyak 60%. Atas kemungkinan fakta itulah sebabnya pilihnaraya kali ini dikatakan paling getir kerana ia menentukan sikap dan hala tuju orang muda pada masa depan terhadap negaranya sendiri kerana mereka adalah majoriti pengundi masa depan.
Sembang-sembang dengan khalayak dewasa kaum cina, mereka jelas bimbang dengan sikap golongan pengundi muda. Pandangan mereka mengatakan golongan muda ini ramai yang tidak mengambil serius terhadap proses plihanraya walaupun mereka telah didedahkan dengan pelbagai peristiwa getir yang berlaku negara lain. Malah, kemelut ekonomi di beberapa negara eropah sekarang akibat tersalah langkah mentadbir negara gagal menyedarkan anak muda betapa sebuah kerajaan yang kukuh perlu dipertahankan demi kesejahteraan rakyat sejagat.
Pemimpin-pemimpin atasan terutamanya Najib dan Muhyiddin telah berhempas pulas memberikan keyakinan kepada rakyat, namun amat malang dilihat apabila diperingkat akar umbi masih tidak memahaminya. Hingga sekarang pergerakan merayu dan tugas menjelaskan pentingnya undi BN diperkukuhkan diperingkat dasar begitu lemah.
Sebelum ini kononnya serangan meraih undi akan dibuat sebaik sahaja nama-nama calon diumumkan oleh presiden parti BN namun setelah nama diumumkan perayu-perayu termasuk yang empunya badan pun masih leka. Yang namanya dicalonkan tersengeh-sengeh sambil siang malam menjamu selera di sana sini bersama rakan-rakan. Kononnya, masih ada waktu lagi iaitu menanti selepas proses penamaan calon pada 20 April ini. Manakala yang tidak tercalon atau tersingkir pula sudah kedengaran dengusan-dengusan keciwa.
Mereka membicarakan kebimbangan tetapi tidak berbuat apa-apa kerana sikap dan budaya selesa sudah begitu tebal di kalangan akar umbi BN sejak lebih 50 tahun lagi.
Jika sikap seperti itu tidak diubah, saya percaya BN bukan sahaja gagal memperoleh dua pertiga kerusi bahkan mungkin kehilangan majoritinya berbanding musim yang lalu. Jangan marah kalau penulis ramalkan ada kemungkinan setiap DUN di negeri-negeri juga akan berlaku penambahan kerusi-kerusi pembangkang meskipun BN masih mengungguli dewan secara keseluruhan.
Dan, jika masih juga tidak berubah perangai, pada pilihanraya seterusnya BN mungkin terus menghadapi kemerosotan demi kemerosotan kerana orang muda hari ini adalah penentunya. Pengundi muda melayu akan terus berpecah paling tidak kepada tiga kumpulan namun jangan terkejut atau buat-buat tidak percaya pengundi muda cina dan india lebih cenderung mengundi 'bangsanya' apabila mereka terus dikelirukan dengan hak sama rata, satu bangsa, satu bahasa dan salah terjemahan terhadap aspirasi satu Malaysia.
Perolehan dalam PRU12 (2008) lalu, kerusi BN di dewan rakyat cuma 140 termasuk 8 kerusi menang tanpa tanding. Yang kita mimpikan dalam PRU13 adalah BN memperoleh lebih daripada itu - 148, 160 atau lebih dari itu. Dengan pelbagai kerenah dan kekeliruan hari ini, apakah BN mampu mempertahan atau menaikkan jumlahnya atau sekadar memperoleh sekitar 130 kerusi?
Pilihanraya kali ini dan seterusnya, BN tidak boleh lagi mendabaik dada dengan berkata: " yang penting adalah menang, jika lebih satu kerusi pun kita dikira menang, yang pastinya kita memerintah..." Untuk melestarikan keutuhan BN pada masa akan datang BN hendaklah sentiasa mendepani jumlah kerusi lebih daripada dua pertiga sama ada di DUN mahun di Dewan Rakyat.
Bererti, amat mustahak jangan berlaku penurunan jumlah kerusi pada mana-mana pilihanraya pun dan ia bermula dengan getirnya dalam PRU13 ini. Jika ia berlaku kesannya amatlah buruk untuk PRU di masa-masa akan datang. Justeru, ibarat cencaru makan petang, berusahalah sehingga ke garisan penamat pada 5 Mei nanti. Masanya sekarang 'ular menyusup akar tidak akan hilang bisanya'.
Semestinya BN!
Jagindas: Bunga-bunga sabotaj sudah mula kelihatan berkembang....yang inipun satu sial juga!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.