Salah Percaturan Negara
Boleh Muflis
UNTUK merihatkan
minda, penulis memilih artikel tulisan seorang penulis bebas, Kasim Ahmad, yang
melihat politik tanah air secara ilmiah. Berikut penulis salin terus artikel berkenaan
daripada blog beliau:
DUA JENIS
POLITIK:
POLITIK PUAK
OLIGARKI
DAN POLITIK
PUAK HUMANIS
Oleh: Kasim
Ahmad
22 April,
2013
Kebanyakan orang memandang jijik
terhadap politik. Kata mereka, politik kotor, dengan rasuah, pembaziran dan kronisme.
Mereka lupa bahawa politik itu perlu untuk mentadbir negara dan masyarakat.
Mereka juga lupa bahawa politik
ada dua jenis: politik baik (puak humanis) dan politik jahat (puak oligarki).
Seperti yang disebut dalam Quran, “Mengapa kamu tidak berjuang di jalan Allah
sedangkan lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang lemah memohon, ‘Tuan kami,
selamatkanlah kami dari masyarakat yang ahli-ahlinya penindas, dan datangkanlah
dari sisi-Mu seorang kawan dan penolong bagi kami.’ Mereka yang beriman berjuang
di jalan Allah, dan mereka yang kafir berjuang di jalan tirani. Jadi, hendaklah
kamu berjuang melawan sekutu syaitan. Sesungguhnya, muslihat syaitan senantiasa
lemah.” [1]
Sejarah menunjukkan Nabi Muhammad,
selain seorang nabi yang menerima wahyu daripada Tuhan, juga seorang pemimpin.
Beliau memerintah negara-bangsa Madinah selama dua belas tahun dengan
Perlembagaan Madinah yang masyhur itu yang digubal oleh beliau sendiri. Negara-bangsa
ini kemudian meliputi seluruh Semenanjung Arab apabila beliau membebaskan Mekah
dari dominasi kaum Quraisy. Beliau dan pengikut-pengikutnya mewakili puak
humanis, sementara kaum Quraisy, puak oligarki.
Nabi Muhammad contoh seorang
pemimpin yang baik. [2] Beliau melaksanakan politik atau
pemerintahan yang kita istilahkan bersifat humanis. Apa yang kita maksudkan
dengan istilah ‘humanis’ itu ertinya adil kepada semua warganya, tidak kira
bangsa, agama, atau fahaman ideologi. Untuk mengetahui lebih terperinci sistem
yang digubal oleh Nabi Muhammad, sila lihat esei saya bertajuk “A Short Note on
the Medina Charter”. [3]
Sejarah juga menunjukkan bahawa
tiap masyarakat ada unsur-unsur baik dan buruknya. Nabi Muhammad dibangkitkan
bukan saja untuk menukar masyarakat jahiliah Arab, tetapi juga masyarakat
dunia. Seperti yang dinyatakan dalam Quran, beliau satu rahmat kepada seluruh
dunia. [4]
Perhatikan bahawa dunia ini boleh
diubah, dari jahat ke baik, dan dari baik ke lebih baik. Tidak perlu dinyatakan
bahawa ia juga boleh merosot. Tugas manusia (khalifah) mentadbir dan mengubah
dunia. Dalam satu metafora yang dahsyat lagi cantik, Quran memaklumkan perkara
ini, demikian: “Telah Kami tawarkan tanggungjawab ini kepada lelangit dan bumi
dan gegunung, tetapi mereka menolaknya kerana takut. Namun, tanggungjawab ini
diterima oleh manusia! Dia jahil dan zalim!” [5] Perhatikan sindiran yang halus dalam
ayat ini. Tuhan tahu kejahilan dan kezaliman manusia; namun demikian, Dia juga
tahu kebolehan dan kemampuan manusia mentadbir dan mengubah dunia. Sebab itu
dalam satu metafora lain, diperintahkan para malaikat sujud kepada manusia.[6]
Mari kita uji kaedah mentadbirdan
mengubah dunia ini kepada parti UMNO di Malaysia. Ingat bahawa UMNO mewarisi
sistem pemerintahan bangsa Melayu dari Kesultanan Melayu Melaka dalam abad
ke-15 sebelum Melaka jatuh ke tangan penjajah Eropah pertama di bumi Melayu,[7] bangsa Portugis atau Feringgi,
seperti yang tercatat dalam Sejarah
Melayu.
Seorang penulis Perancis telah
menulis, “Orang Melayu itu bangsa yang tinggi budi-bahasanya di Asia.”
(Inggeris: The Malays are the
gentlemen of the East.) Sebagai seorang Melayu, saya mengaku kebenaran
kata-kata penulis ini. Sifat inilah yang menyebabkan orang Melayu menerima
orang Cina dan India yang datang ke Tanah Melayu dari bumi China dan India
dalam zaman penjajah Inggeris
(sejuta jumlahnya) sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (PTM) apabila
ia mencapai kemerdekaan dari Inggeris pada 31 Ogos, 1957. Fakta ini menukar
demografi PTM menjadi sebuah masyarakat majmuk.
UMNO pada ketika ia dilahirkan di
Johor Baharu pada tahun 1946 sebuah parti massa Melayu dengan idealisme yang
tinggi untuk mencapai kemerdekaan. Dalam masa satu generasi anak-anak Melayu
keluar dari lembah kemiskinan
dan perhambaan di tanahair mereka sendiri menjadi tuan! Demikian besarnya jasa
UMNO kepada orang Melayu!
Namun demikian, semua benda reput
dan merosot. Begitu juga UMNO. Setelah Tun Razak, presiden UMNO dan perdana
menteri kedua, reputan dan rosotan ini mula berlaku hingga UMNO berpecah dua
dalam tahun 1987-88 semasa Dr. Mahathir menjadi presiden UMNO. Dalam
pilihanraya umum ke-12 pada 2008, BN gagal mendapat majoriti dua pertiga dan
hilang kuasa di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang manakala Kelantan tetap di
bawah pentadbiran PAS.
Bolehkah UMNO di pulih semula?
Sesetengah orang berkata: “Tidak boleh dan tidak perlu. Biarlah UMNO mati. Kita
pilih Pakatan Rakyat (PR) pula menjadi pemerintah.” Kata pepatah Inggeris, “Better
the devil you know than the devil you do not know.” Kita tidak perlu
pesimis dan sinis seperti ini. Kita percaya kepada kebolehan manusia, khalifah
Tuhan di Bumi.
Kita tidak mahu terperangkap dalam
sistem dwiparti. Bila kita memecahkan masyarakat kepada dua
(kerajaan/pembangkang) kita buka pintu kepada perpecahan kepada tiga, empat dan
seterusnya. Kita menjadi lemah. Lihat apa yang sedang berlaku di Eropah
sekarang. Selama dua bulan selepas pilihanraya umum, Itali tidak boleh
membentuk kerajaan. Spain, Protugal, Greece dan Ireland muflis. Pendek kata,
seluruh Kesatuan Eropah dilanda krisis. Tidak dapat tidak, A.S. juga terlibat
dalam krisis ini.
Oleh sebab itu, kita anjurkan
penyusunan sebuah sistem parti dan pemerintahan nasional kita sendiri, yang
boleh menyatu dan memperkuat masyarakat nasional kita. Kita sudah ada contoh
dalam sistem yang dibentuk oleh Tun Razak menghimpunkan parti-parti dari
pelbagai kaum dan jalur ideologi dalam satu permuafakatan besar berdasarkan
patriotisme Malaysia. Lama sebelum ini, pentadbiran Nabi Muhammad di Medinah
dan kemudian di Semenanjung Arab memeperlihatkan sifat ini, walaupun pada masa
itu sistem parti belum lahir.
[7] Ramai orang, termasuk orang Melayu sendiri, tidak faham konsep Dunia
Melayu. ‘Dunia Melayu’, ‘Gugusan Pualu-pulau Melayu’ dan ‘Nusantara’ semuanya
merujuk kepada hakikat ini. Dunia Melayu termasuk Semenanjung Tanah Melayu,
Indonesia, Brunei dan
Pattani. Maka itu orang luar
(lelaki atau perempuan) yang
datang ke Tanah Melayu dan kawin dengan orang Melayu secara automatic menjadi
orang Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.