Isnin, 24 Februari 2014

KASSIM AHMAD BUAT HAL LAGI..

Pemikiran Kassim Membahayakan Umat Islam

BARU-BARU ini, penulis tersohor tanah air, Saudara Dr.Kassim Ahmad, kembali merimaskan umat Islam di negara ini apabila terus bertegas hanya Al-Quran sahaja wajib dijadikan sumber rujukan dan ilmu bagi orang Islam sekali gus menolak apa sahaja yang disebut dan diajar oleh hadis. Lontaran pemikirannya itu dibuat dalam satu seminar khas yang membicarakan tentang "Pemikiran Kassim Ahmad" yang berlangsung baru-baru ini.
            Sebelum ini pun, kira-kira 30 tahun lalu, Kassim pernah menggemparkan umat Islam di negara ini apabila beliau secara terang mempertikaikan hadis dan memperjelaskan menurut teori pemikirannya mengapa semua hadis perlu di tolak oleh umat Islam. Malah, beliau turut mengkaitkan bahawa kerana pautan hadislah maka umat Islam di seluruh dunia menjadi lembab, tidak maju, bertelagah antara satu samalain, berpuak-puak dan menyimpang dari pelbagai sudut. Ini kerana menurut Kassim hadis telah di tafsir dengan pelbagai versi dan fahaman sehingga ia menyesatkan. Bagi dia tidak ada istilah sihih dan tidak sohih.
            Jumaat lalu (21 April, 2014), hampir kesemua khutbah di negara ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kassim Ahmad itu malah diselitkan juga secara sinis orang yang merasmikan /melancarkan seminar tersebut iaitu mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
            Guru Yahya, Al-Arqam, Guru Yahya, Kerajaan Langit, Tuhan Harun dan banyak lagi gerakan agama yang songsang telah sepantas kilat kerajaan kenakan tindakan. Memang, Kassim pernah diambil tindakan ketika dia berhasrat mempopularkan pemikirannya terhadap anti hadisnya kira-kira 30 tahun lalu. Bermakna, pemikiran Kassim sehingga kini masih belum berubah. Justeru, mengapa kenyataan-kenyataan pemikirannya dalam seminar baru-baru ini mamperlihatkan seolah-olah kerajaan masih ragu-ragu untuk bertindak sedangkan pada masa sama mengerahkan khatib mencemuhnya di khutbah Jumaat?
            Polis pun sudah memberi 'AMARAN' kepada sesiapa sahaja yang mempermainkan isu agama, mereka akan diambil tindakan undang-undang kerana tingkah laku seperti itu boleh menimbulkan keadaan tidak selesa dan uru hara. Bagaimana dengan isu pemikiran Kassim Ahmad?
            Perbandingannya, apabila satu-satu persimpangan didapati merbahaya trafiknya, maka tidak payahlah menunggu berlaku beberapa kematian barulah hendak di pasang lampu isyarat. Demikian juga, tidak perulah menunggu beberapa kematian lemas barulah pihak berwajib mahu mengkaji mara-bahaya serta kesannya kepada alam sekitar dan penduduk awam terhadap aktiviti melombong pasir (sama ada halal mahupun haram!).  
            Begitulah halnya yang sewajar-wajar dilakukan oleh pihak berwajib dalam menangani gatal-gatal, luka, barah dan tokak dalam masyarakat hari ini terutama bagi masyarakat majmuk dan berbilang agama dan budaya seperti Malaysia ini.
            Penulis sendiri membuat link dengan blog Kassim Ahmad. Bukan kerana  menyanjunginya tetapi mahu melihat pemikirannya. Bagi penulis dia memang hebat. Allah mengurniakannya kekuatan akal untuk menulis, mencipta, membaca, mentafsir serta berhujah tanpa berpandukan kepada pandangan orang terdahulu.
            Barangkali Kassim mahu mewujudkan dirinya sebaris bahkan mengatasi ulamak muktabar terdahulu. Ini dapat dilihat menerusi gaya dia mentafsir nas-nas al-quran tanpa sedikitpun mengambil sokongan dan tunjuk ajar daripada hadis. Padahal, Kassim pun semasa kanak-kanaknya belajar sembahyang, puasa dan sebagainya menerusi guru agamanya (ustaz) di mana ustaz itu juga mendapat penjelasan menerusi guru-guru terdahulu yang juga dipandu oleh hadis-hadis sohih.
            Saya tidak terkejut dengan keupayaannya itu. Malah bagi saya Kassim diwujudkan Allah menjadi 'penguji' kepada ulamak-ulamak dan ahli-ahli agama sedia ada, semasa ,sezaman dan seterusnya...
            Kekuatan itu saya lihat sebagaimana Allah menjadikan kaum Yahudi sebagai bangsa yang bijak, licik, maju dan bertamaddun. Sehinggakan, pada masa sama Allah menegaskan supaya umat Islam tidak berbuat sebarang janji dan perjanjian dengan kaum yang sombong itu sedang kaum itu terus hidup di muka bumi ini dengan keangkuhannya yang melampaui batas. Tidakkah itu bermaksud Allah menjadikan kaum Yahudi sebagai satu daripada 'bahan penguji' umat Islam?
            Nah, kalau begitu dari sudut kecilnya apa bezanya Kassim Ahmad? Sekadar mengutuk sahajakah yang termampu dibuat oleh ahli agama sebagai menyanggah perbuatnnya itu? Bagaimana dengan langkah-langkah menyediakan teras agama Islam kepada generasi yang semakin hari semakin mencabar dan tercabar kehidupan mereka?
            Apakah majlis-majlis ceramah agama (majlis ilmu) yang semakin banyak mengisi ruang-ruang media dan kelompok masyarakat hari ini, itu sudah cukup mampu menyediakan teras yang menjadi pegangan generasi hari ini dan seterusnya? Mampukah mereka menolak hujah Kassim yang lebih halus, teratur, sopan dan ternyata 'benar' bagi mereka yang berpegang pada dahan yang rapuh!
            Justeru, bagi saya usah menjadi klise apabila mengahadapi isu-isu seperti ini, pihak-pihak berkenaan terus menyalahkan si-pelakunya langsung tidak melihat atau mengakui kelemahan pihak berwajib termasuk ahli-ahli agama dalam urusan menjalankan amanah tugas serta tangungjawab mereka dalam menyediakan 'teras didikan agama' kepada umat Islam dari generasi ke generasi.
            Tidak seperti dalam alam perubatan (sekadar contoh). Bahagian 'Reseach n Development' (RnD)-nya berterusan dari masa ke semasa membuat kajian, penambahbaikan dan mencari jalan keluar atau alternatif baru bagi melepaskan manusia daripada menanggung derita penyakit. Setiap penyakit baru yang datang di terima sebagai sumber ilmu dan mencipta disiplin baru. Bukannya terus-terusan menyalahkan kehadiran atau kemunculan penyakit baru ini.
            Yang jelasnya, ramai dan kian bertambah ramai umat akan datang (bahkan hari ini juga) membesar dalam kerapuhan pegangan. Ini kerana ramai kalangan ibu bapa mereka juga adalah golongan yang rapuh pegangan. Inilah juga golongan yang mudah termakan pancing dengan bisikan-bisikan mengelirukan itu. Akhirnya, berdiri atas namanya Islam, berjuang atas nama Islam tetapi songsang dan berantakan! Nak salahkan siapa hal ini?  -- Sistem pendidikan kita? Pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal agama Islam? Budaya luar? Media alaf baru atau kerajaan?
           


Jagindas:  Paling mudah, salahkan saja orang lain.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.