Khamis, 5 Jun 2014

PIHAK BERKUASA TIADA KUASA ?

Aedes dikatakan mudah membiak di kawasan sebegini
Gagal Periksa Aedes Di Kedai Barang Lusuh

Batu Gajah 10.30 pagi:

BEBERAPA ketua kampung yang baru sahaja selesai bermesyuarat datang berborak-borak di sebuah kedai kopi. Masing-masing membincangkan kembali beberapa perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat mereka di pejabat tanah sebentar tadi. Kesemua mereka yang saya kenal sebahagiannya orang lama yang dilantik semula dan ada juga yang baru dilantik April lalu. Nampak secara zahirnya bersemangat sungguh. Tubuh badan pun nampak memang semangat.
            Salah seorang daripadanya merengus: “huh, jadi ketua kampung sekarang ni bukan macam dulu. Banyak kerja. Sampaikan hal-hal dalam kain penduduk pun kena ambil tahu..Ada ke depa mahukan senarai penduduk yang pengotor... Nak cari mampus!”
            Rengusannya itu disambut ketawa kecil rakan-rakannya. Tanya punya tanya, tahulah saya rupa-rupanya agenda besar mesyuarat tadi adalah masalah mebanteras nyamuk aedes setelah dua kes kematian akibat demam denggi di kawasan berkenaan baru-baru ini.
            Katanya, pihak pentadbiran daerah yang mahukan senarai berkenaan paling tidak seramai empat orang. Mereka yang pengotor akan dipanggil untuk diberikan kaunseling atau nasihat.
Tertanya pula di hati saya mengapa ada ‘kouta’ atau dihadkan jumlahnya. Empat orang / keluarga/ rumah, mengapa empat? Tidak bolehkah nombornya menjadi kosong atau 10 atau lebih dari itu? Barangkali faktor nombor menambah gah skrip laporan kut!
Namun, menurut ketua kampung tersebut, masalah pembiakan nyamuk aedes dikawasannya dipercayai berlaku berpunca dari kawasan atau tempat penyimpanan barang-barang lusuh oleh peniaga barang lusuh atau lebih dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai ‘keling botoi’. Walupun disebut ‘keling’, itu tidak bermakna semua peniaga barangan lusuh adalah orang india. Peniaga boleh jadi cina atau melayu.
Menurut ketua kampung itu lagi, tempat keling botoi itu tidak dapat dimasuki dengan alasan tidak diizinkan oleh tuan punya peremis berkenaan atas alasan perniagaan itu dilakukan di atas tanah persendirian. Sekebal itukah keling botoi?
            Justeru, tidakkah pentadbir daerah dan jabatan kesihatan boleh mendapatkan perintah untuk memeriksa pembiakan nyamuk aedes, mengeluarkan saman jika didapati ada kes di situ dan seterusnya melakukan kerja-kerja penyemburan racun nyamuk berkenaan (foging)?. Pada hemat saya, khidmat polis dan majlis daerah juga boleh di gunakan jika pemilik perniagaan tersebut berkeras kepala.
            Apa faedah dan kesannya penduduk setempat memastikan keberihan kawasan masing-masing kalau sarang nyamuk berkenaan tidak diambil tindakan dan digempur?
            Di satu pihak kita mahukan rakyat berdisiplin manakala di satu pihak pula kita biarkan. Orang kampung yang pengotor kita marah tetapi peniaga barangan lusuh yang turut membawa risiko denggi pula kita kecut!
            Jika itulah alasannya, sekali lagi ada sesuatu yang saya fikirkan terhadap peniaga berkenaan. Pertama, mungkin dia tahu ada beribu-ribu jejentik aedes di lokasi niaganya yang mana dia tidak mampu untuk membayar dendanya apatah lagi masuk penjara!
            Kedua, jangan-jangan ada ‘benda’ yang menyalahi undang-undang di situ. Justeru, kenapa dibiarkan dia kaya raya sedang orang lain gelisah setiap waktu khuatir di serang denggi? Mungkin kasar bunyinya, tetapi tidakkah dia juga seperti pembunuh tanpa niat?
            Nah, bongkar jangan tak bongkar. Bongkar segala-gala yang ada di situ dari aedes hinggalah kepada yang lain-lain. Ada berani..??

Jagindas:  Kepada semua tok-tok sidang yang lama dan yang baru saya ucapkan selamat bersidang tetapi janganlah sampai tak sidang-sidang pulak..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.