Rabu, 20 Jun 2012

TAKUT WALAUPUN KITA BETUL


SECARA kebetulan semalam blogg ini mengisahkan perihal anjing liar, kebau dan lembu yang berkeliaran yang didakwa penduduk mengancam keselamatan awam dan akhbar pagi ini pula (utusan Malaysia 20 jun, 2012/edisi Utara/m.s 27) memaparkan jawapan daripada YB Hamidah Osman (exco kerajaan negeri Perak) mengapa masalah itu sukar diatasi.

Jawapannya itu diberikan  selepas menghadiri program ramah mesra dan dialog bersama kira-kira 100 penduduk di Taman Panorama Lapangan Perdana di Ipoh, semalam.

Saya melihat kata-kata YB Hamidah itu adalah jawapan klise'  yang tidak lebih sifatnya  sebagai orang politik. Berdasarkan jawapannya itu, jelas memberitahu bahawa sebaik mana dan setegas mana peraturan dan undang-undang dibuat, namun ada pihak lain yang lebih berkuasa mengawal pelaksanaannya.

Semaklum saya, peraturan yang dibuat bukan atas nama parti tetapi atas nama kerajaan - kerajaan negeri atau/dan pusat. Inilah yang disebut dalam pengkisahan sembang petang semalam (di blogg ini semalam) supaya pihak berkuasa tidak takut menjalankan tugas hanya disebabkan tekanan pihak tertentu yang berselindung dibawah payung NGO atau badan politik yang bertentangan.

Kalau inilah keadaannya, memang apapun tindakan sukar dilakukan. Jika demikian, bolehkah kerajaan mengarahkan pihak yang menentang itu supaya memelihara binatang tersebut supaya tidak berkeliaran?

Kita hanya dengar bantahan mereka yang kononnya perbuatan kita itu tidak berperikemanusiaan. Namun pada masa sama mengapa tidak diminta pula pihak berkenaan mengambil tindakan dengan penuh rasa "perikemanusiaan" bagi menjadikan bandaraya kita nampak bersih dan manusia tidak diancam bahaya.

Atau, mahukah mereka yang membantah kaedah pembanterasan haiwan liar itu, bertanggungjawab terhadap apa-apa yang berlaku kepada orang ramai yang diancam boleh binatang tersebut termasuk pengotoran bandar, pekan dan taman perumahan akibat daripada tindakan binatang berkenaan. Nampaknya kita kena buat satu perjanjian persefahaman, barulah adil.

Sewajarnya ada tindakan dua hala. Tidak wajarlah pihak kita sahaja yang mendengar dan kemudian beransur sedang satu pihak lagi sentiasa menolak. Bertolak ansur bermakna pertimbangan dua pihak secara adil dan saksama - menang-menang.

Apa yang berlaku sekarang, orang lain menolak dan menolak manakala pihak  kita  pula beransur dan terus beransur. Akhirnya?


jadingas:   jangan sampai peribahasa kita jadi terbalik begini - " takut kerana betul, berani kerana salah!"

Selasa, 19 Jun 2012

ANJING! KERBAU, LEMBU DAN KAMBING


Kebetulan sebaik saja duduk di kerusi warong kopi, seekor anjing yang boleh tahan juga besarnya mundar mandir di hadapan kami. Secara sepontan, ahli sembang petang hari ini terus membuka tajuk sembang fasal anjing lair dan binatang-binatang ternakan lain yang disifatkan mengganggu keselamatan awam.

Sudah banyak kali juga cerita mengenai anjing membaham manusia di paparkan di akhbar-akhbar dan di media-media elektronik.  Selain orang dewasa,  kanak-kanak kerrap menjadi mangsa  ketika bermain di luar rumah di taman-taman perumahan. Ada yang cedera, tak kurang juga yang cedera parah dan ramai juga yang meninggal dunia akibat daripada  binatang tersebut.

Apabila berlaku peristiwa sedemikian, maka pihak berkuasa tentulah akan menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya akan diambil. Binatang itu mati satu hal, manusia yang mati itu bagaimana? Mati katak!

Namun begitu, kelibat anjing liar masih bebas di taman-taman perumahan malah di beberapa tempat anjing juga kelihatan bebas mundar mandir di dalam pekan, kawasan pasar dan di kaki lima peremis perniagaan.

Yang menjadi persoalannya, mengapa anjing-anjing liar ini tidak dibanteras kehadirannya atau kewujudannya. Pihak berkuasa sepatutnya tidak mengambil tindakan  setelah berlakunya sesuatu peristiwa baham membaham oleh anjing tersebut atau hanya mengambil tindakan terhadap mana-mana anjing yang telah bersalah laku sahaja.

Kenapa nak tunggu musibah sampai baru ada tindakan? Ahhh, kita selalu begitu kan? Takkan lah nak banteras benda-benda macam nipun nak tunggu pihak media ambil gambar...

Anjing-anjing liar perlu di kosongkan kehadirannya di kawasan awam terutama di kawasan perniagaan dan taman-taman perumahan. Pihak berkuasa (antara lain adalah: majlis daerah/ perbandaran dan jabatan veterina) wajar bertanggung jawab memikirakan masalah ini tanpa ditekan oleh mana-mana badan lain yang sering menggunakan istilah "perikemanusiaan".

Mana yang lebih penting: Keselamatan manusia atau keselamatan anjing ??

Penduduk di peremis perniagaan dan taman perumahan yang berhasrat membela anjing atas sebab apa sekalipun hendaklah dipastikan benar-benar mematuhi syarat-syarat dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Ini kerana, masalah serangan anjing liar atau kehadiran anjing liar terutama di taman-taman perumahan bukan sahaja membahayakan penduduk malah ia boleh mengundang masalah sosial yang lebih serius di kalangan penduduk setempat.

Oleh itu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya sebelum berlaku masalah yang berkait-kait sehingga melibatkan perbalahan kaum ekoran dari serangan binatang berkenaan, sama ada yang liar mahupun yang dibela tetapi tidak mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Paling tidak, kenyataan-kenyataan rasmi (misalnya kenyataan berpapan tanda) atau pekeliling edaran mengenai peraturan-peraturan membela anjing di kawasan perumahan / peremis perniagaan dipaparkan kepada umum dan kesan tindakan terhadap individu terbabit jika tidak mematuhi peraturan tersebut.

Demikian juga dengan ternakan lembu dan kerbau. Penternak nampaknya bermaharajalela mengaut keuntungan secara "percuma" tanpa memikirkan masalah penduduk setempat dan keselamatan pengguna jalanraya.

Ramai yang telah mati katak kerana terlanggar lembu dan kerbau yang menjadi tuan di jalanraya terutama pada waktu malam yang sememangnya menyingkatkan kuasa pandangan mata.

Taman-taman perumahan dan kampung-kampung tersusun menjadi medan lambakan najis ternakan tersebut. Manakala halaman rumah serta tanaman dan dusun penduduk rosak binasa dikerjakan binatang yang tidak "berprikemanusiaan" ini.

Demikan juga dengan ternakan kambing yang dibiarkan oleh penternaknya berkeliaran mencari makan tetapi mengganggu ketenteraman orang lain sedangkan tuan punya ternakan meraih hasil tanpa rasa bersalah sedikit pun.

Bolehkah ternakan ayam dipelihara di kawasan perumahan? Inipun satu hal juga! Bagaimana dengan kucing belaan? Bagaimana pula dengan kucing jalang!

Kepada pihak berkuasa, tolong jangan pandang remeh perkara seperti ini. Mana lebih penting, ketenteraman awam atau lambakan binatang seperti itu? Mana lebih berharga, nyawa manusia atau nyawa binatang itu?

Kita ada garis panduan dan peraturan bagi memelihara semua itu.  Jika penduduk mahu menternak atau membela haiwan tidak kiralah sama ada untuk suka-suka, hobi mahupun untuk tujuan komersil, mereka hendaklah mematuhi peraturan sedia ada.

Mengapa mesti orang lain menderita, sakit hati dan sakit kepala melihat sewenang itu segelintir manusia mempertidakkan peraturan dan undang-undang? Bukan menghalang menternak atau membela binatang, tetapi patuhilah peraturan...


jagindas: ...Sepatutnya semua kawasan perumahan dan peremis perniagaan bersih daripada anjing liar, kerbau dan lembu. Begitu juga di jalan-jalan raya kita. Penternak yang tidak bertanggungjawab wajar dikenakan tindakan. Apapun keselamatan manusia lebih utama berbanding nyawa binatang!

Isnin, 18 Jun 2012

IMAM, KHUTBAH DAN TARAWEH


Petang ini ahli sembang petang  berkumpul lagi. Seperti biasa di parlimen tak berpelembagaan – kedai kopi.

Sambil menunggu pekedai menghantar pesanan minuman, seorang rakan memulakan tajuk sembang petang ini. Masih bertumpu masalah pengurusan masjid. Tetapi kali ini berfokus kepada tingkahlaku imam yang mengimamkan sembahyang Jumaat.

Dia memberikan komen, katanya ada seorang imam di kariahnya membaca khutbah dan ayat-ayat quran / hadis sama ada dalam khutbah mahupun dalam sembahyang dengan bacaan yang laju. Seperti nak berlumba-lumba pun ada. Seperti sengaja nak menghabiskan tugas dengan segera pun ada. Terkadang, katanya macam orang yang sedang menahan nak buang airpun ada --  tergesa-gesa!

Malah, menurutnya lagi dek terlalu terburu-buru sehingga tergagap-gagap membaca patah-patah ayat. Tidak keterlaluan dakwanya, cara seperti itu boleh menyebabkan ada ayat yang dibacanya tidak menepati tertib dan syarat bacaan.

“Sembahyang Jumaat yang hanya dibuat sekali seminggu. Tidakkah boleh ia ditunaikan secara lebih bersopan. Membaca khutbah dengan sebutan yang jelas satu persatu supaya makmum dapat menghayatinya dengan sempurna” katanya mengulas lanjut terhadap perilaku imam tersebut.

Bukan itu saja, menurutnya ketika sembahyang pula, pergerakan imam tersebut bagi setiap rukun begitu pantas tanpa mengambilkira kemampuan makmum yang sudah berumur.

Bagi rakan saya itu, imam seperti itu adalah jenis syok sendiri!

Itu sembahyang Jumaat. Mengambil iktibar ceritanya itu, saya terbayang bahawa beberapa hari lagi kita akan bertemu pula dengan Ramadhan Al-Mubarak- InsyaAllah. Jadi, apa yang saya nak ambil daripada isu yang dilontarkaitkan oleh rakan sembang itu adalah tentang sembahyang sunat tarawih.

Pengelaman lalu, cara sembayang sunat tersebut dilaksanakan oleh sesetengah imam boleh dikategorikan sebagai terburu-buru. Demikian juga dengan bacaan-bacaan ayat-ayat dalam sembahyang berkenaan. Bacaan solawat pun begitu. Akhirnya makmum yang  menyambut solawat pun kelam kabut juga bunyinya.

Bagi saya, istilah kesabaran dalam mengerjakan ibadat solat tersebut tidak ada. Saya fikir, adalah tidak adil jika kecepatan perlu dibuat untuk memendekkan masa bagi menghabiskan 21 rakaat. Ini kerana, apapun  ibadat yang hendak diperbuat, selain dilakukan dengan jujur dan ikhlas, ia juga hendaklah dilakukan dengan sempurna. Jika berjamaah, maka imam wajar mengambilkira kemampuan setiap makmum di belakangnya. Dalam hubungan ini kesempurnaan melakukan ibadat berjemaah itu wajar dinikmati oleh makmum bukan berfokus kepada imam sahaja.

Sebagai renungan: satu pihak mengerjakan 21 rakaat sembahyang terawih  secara laju mengambil masa 40 minit dan satu pihak lain pula hanya mengerjakan 11 rakaat tetapi secara lebih santun dan sabar dengan tempoh masa yang sama. Pihak yang manakah sembahyang tarawihnya lebih sempurna?

Jagindas:  Apa yang dikejar… takut-takut nanti yang dikejar tak dapat yang kendong berciciran....

Ahad, 17 Jun 2012

SEMBANG PETANG 2 - TAKBIR!


Pada sembang petang sebelum ini, kami membicara isu pegawai-pegawai masjid (imam, bilal, siak) yang berpaksikan kepada fahaman parti politik pembangkang.

Sembang tersebut tidak tehenti begitu sahaja walaupun di akhir sembang masing-masing mengakui kelemahan untuk mengtasi isu tersebut.

Di hujung sembang seorang rakan memperincikan antara sebab-sebab yang tidak patut pegawai-pegawai tersebut lakukan semasa sembahyang Jumaat.

Menurutnya, ada imam ketika membaca khutbah kedua semacam “geli” nak menyebut nama Sultan atau raja yang memerintah negeri. Imam tersebut hanya menyebut secara umum  atas nama jawatan tidak menyebut nama penuh serta darjatnya. Yang peliknya berlaku kadang-kadang. kalaupun  terlangkau baris takkan tak sedar dan ia boleh diulang semula. Rosakkah khutbah kalau mengulang rangkap yang tertinggal sehingga terburu-buru menutup khutbah?

Seperkara lagi, katanya sejak akhir-akhir ini pula selepas sahaja sembahyang Jumaat berakhir, tepatnya sebaik sahaja  doa selesai, ada pula laungan "TAKBIR!" dan disahut oleh makmum (tidak semua, kebanyakannya golongan penyokong pembangkang sahaja). Laungan takbir tersebut dilakukan secara bergilir-gilir mengikut mingguan. Senang cakap, telah dijadualkan sipolan sipolan akan mengetuai  laungan takbir untuk satu-satu minggu.

Menarik juga isu ini. Sebab di masjid kariah saya tidak berlaku laungan dan sahutan takbir seperti itu. Saya bertanya dalam hati, wajarkah laungan takbir dibuat setiap kali lepas sembahyang Jumaat.

Untuk isu ini saya tidak berani melontarkan pandangan apa lagi menghangatkan sembang. Di takuti nanti melarat-larat. Maklum, di kedai kopi banyak telinga - ada nipis ada yang tebal. Tambahan pula haripun semakin senja, maghrib hampir tiba.

Cuma sebelum berpisah, saya minta rakan saya itu berbincang dengan pengerusi masjid di kariahnya untuk dibawakan kedua-dua isu itu (khutbah dan tabir) kepengetahuan pihak berwajib bagi mendapatkan jawapan yang lebih jelas!

JagindasWajar ke tidak. Wajar ke tidak. Wajar ke tidak…. Macam-macam le sekarang ni. Dulu-dulu tak ada pun!