Ahad, 24 Jun 2012

JANGAN KAMU CAKAP FASAL UMNO DI SELANGOR NI!


Menghadiri jempuan kenduri memang banyak faedahnya. Selain merapatkan silatulrahim, di situ memungkin pertemuan yang di luar jangkaan. Seperti baru-baru ini saya hadir majlis kenduri seorang kenalan di Kuala Lumpur, dalam keadaan tidak diduga, saya bertemu dengan ramai rakan-rakan lama ketika di kampung dulu. Masing-masing dah tua, ada juga yang "tak makan tua". Kebanyakannya sudah bercucu, saya juga belum sebab kawin lambat. hehehe
            "Hoi orang kampung, kamu kuat UMNO lagi ke?" itu salam pengenaln yang mula-mula terpacul dari setiap mereka yang saya temui. Saya cuma ketawa sebab mereka juga ketawa. Barangkali, ada yang mengimbau kenangan mereka ketika saya berjuang dalam UMNO masa muda-muda dulu.
            Dalam gelak-gelak hilai tawa tu, seorang dari mereka berkata bahawa kaum kerabat saya (orang kampung) yang berada di Selangor dan Wilayah Persekutuan sekarang tidak lagi ghairah dengan UMNO. Ada yang tenggelam terus tidak tahu ke mana arah politiknya.
            "Kami di Selangor dah rosak.             Bagi kami dah tak ada betulnya UMNO ni. Otak kami dah di fokus kepada pembangkang. Lantaklah apa nak jadi, pembangkang jadi pujaan kami. UMNO boleh jalan la..", katanya dengan penuh bangga.
            Kerana masih ada senyum dan gelak ketawa, saya memberanikan hati mempertahan diri. Saya cuba menyelami pemikiran mereka adakah sokongan itu dibuat kerana kebenaran perjuangan atau dendam "Tun Sura yang sanggup membuka kota pagar Melaka".
            Bukan calang-calang mereka itu. Bekas pegawai kanan sektor swasta, bekas pensyarah bertaraf Dr. Phd., ahli perniagaan dan bermacam-macam kerjaya lagi. Yang pasti mereka adalah antara rakan-rakan sekampung dulu yang berjaya setelah merantau ke Kuala Lumpur sekian lama.
            Saya juga cuba menarik pertimbangan mereka dengan menceritakan kembali pelbagai pekong dan onar yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang kerajaan BN di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang sebagaimana yang dilapor oleh media-media massa dan para blogger.
            "Kamu jangan cakap fasal UMNO lah beb. Dunia orang Selangor sekarang adalah PKR, PAS dan DAP.  Kamu ingat BN boleh ambik selangor ke PRU13 nanti? Sorryy beb!"    Nadanya sudah tinggi, dan saya terpaksa mengalah kerana ditakuti nanti merosakkan pula majlis orang.
            Maklum, orang kalau dah ghairah dan naik angin dia bukan kira apa, janji dia puas! Jadi lebih baik dimatikan pertikaman lidah dengan senyum.
            Saya tak tahu secara terperinci bagaimana suasana politik UMNO di selangor dan Wilayah Persekutuan. Namun, apa yang dapat saya simpul berdasarkan sembang-sembang politik kami itu, kumpulan ini (mungkin juga ramai pengikutnya) benci dengan UMNO kerana sifat kesombongan yang terdahulu, bahkan masih ada puak-puak UMNO yang terbawak-bawak lagak sombong itu hingga sekarang.
            Wallah huallah! mereka saja yang tahu.
           

Jagindas:   suka lagu "SENYUM" nyanyian Malique dan Najwa yang kerap dimainkan oleh RTM.

SEMBANG AHAD - relaks sekejap


Selepas subuh semalam saya dan isteri pergi ke Kuala Lumpur kerana menghadiri kenduri kahwin anak kenalan baik saya di Masjid  Al Hidayah Taman Melawati. Tengah malam, tepat am satu pagi kereta masuk garaj rumah setelah hampir sebelas jam menghabiskan masa di perjalanan dan di majlis kenduri itu.
            Penat, memang penat. Letih, dan pagi ini pun masih mengantuk lagi. Namun, saya dan isteri seronok serta puas dapat bersama-sama meraikan majlis kenalan saya itu.
            Tidak ada apa yang menarik atau luar biasa sepanjang peristiwa itu. Biasalah, dari masa ke semasa majlis kenduri akan menempuh zaman reformasinya. Bandingkan zaman dulu-dulu dengan sekarang macam-macam pengisian dibuat bagi memeriahkan majlis. Yang hadir ingin merasakan nikmat kenduri, yang berkenduri ingin memberikan kepuasan kepada jemputan.
            Niat jurunikah untuk mengambil perhatian pengantin lelaki agar tidak gabra semasa diakad nikah dengan berceloteh agama dan nasihat sebelum memulakan proses pernikahan patut dipuji. Ada tindakbalas psikologi.
            Namun begitu, saya dapati terlalu pulak  panjang lebar celotehnya sehingga membuatkan bukan sahaja pengantin malah pengiring-pengiring pengantin kiri dan kanan pun naik muak.
            Dalam celotehnya, antara lain imam tu kata selepas akad nikah, akan dibuat majlis tahlil (atas permintaan keluarga) kemudian semua yang hadir diminta bersama-sama sembahyang zohor. Selepas sembahyang barulah makan.
            Jelas.  Sebaik sahaja selepas majlis akad, solawat dan tahlil, saya yang juujur menantikan waktu zohor kira-kira sejam lagi, mendapati tok imam dan rakannya dah pun berada di meja makan dengan sepinggan nasi berserta lauk pauk masing-masing...!


Jagindas:   Kedua-dua pengantin ceria dan gumbira, tapi bapak pengantin lelaki saya lihat   gabra semacam. Dahi berkerut-kerut....hehehe, tahniah dan syukurlah segalanya telah selamat dan selesai.

PETANI SEKANGKANG KERA JUGA PERLUKAN PERHATIAN


Penduduk kampung digalakkan supaya mengusahakan setiap inci tanah mereka secara maksima dengan tanaman sayur-syuran dan seumpamanya. Paling tidak ia boleh membantu meringankan perbelanjaan harian selain boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan keluarga.
    Namun, hakikatnya rata-rata mereka  yang mengusahakan tanaman sayuran-sayuran dan ternakan secara kecil-kecil masih tidak dapat menggantung sumber pendapatan mereka pada bidang itu kalau tidak di tampong oleh kerja-kerja lain.
    Golongan mereka ini adalah yang mengusahakan tanah sekangkang kera di belakang-belakang rumah yang luasnya adakalanya tak sampai seekarpun.
Ini kerana, kos mengusahakan tanaman dan ternakan secara kecil-kecilan atau pertanian sambilan  sekarang ini begitu tinggi – khususnya kos baja, racun dan makanan ternakan. Selain itu tidak seperti padi, nasib sayuran dan ternakan belaan bergantung kepada pasaran semasa dan mainan orang tengah.
    Walaupun FAMA dikatakan turut membantu dalam soal pemasaran hasil, namun jika berlaku lambakan disebabkan ramai petani mengusahakan tanaman atu ternakan yang sama, FAMA juga menghadapi masalah. Manakala, pemborong di pasar-pasar atau peraih tempatan pula selalu bermain dengan harga. Al-maklum, pemborong-pemborong kebanyakkannya orang cina manakala pekebun marhain pula rata-rata adalah orang melayu.
    Di hujung-hujungnya, petani akan meragan sendiri. Tolak campur darab bahagi, petani rugi!  Maka tidak hairanlah kelihatan orang melayu khsususnya di kampong-kampung dikatakan malas berusaha. Namun tidak dinafikan juga ada sesetengahnya memang pemalas pun!
    Lantas, suri rumah hanya berkhidmat sebagai isteri sepenuh masa tidak dapat membantu suami dalam usaha menambah pendapatan keluarga. Justeru, apabila masalah ini diketengahkan dalam sembang-sembang petang kami, maka terpaculkan pelbagai pandangan yang saya rasa tidak boleh dipandang remeh oleh pihak atasan, terutama pak menteri dan agensi yang berkenaan.
    
Antara yang cadangkan mereka adalah:

   1.  Petani terbabit perlu dibuat bancian jumlahnya dan didaftarkan mengikut kategori usaha mereka serta had maksima dan minima keluasan kebun / ladang yang hendak diusahakan – tanaman sayuran, kontan atau ternakan seperti ayam dan itik.

    2.   Mereka juga perlu diberikan subsidi benih, baja, racun dan makanan ternakan kerana kos yang tinggi bagi bahan-bahan tersebut mendorong mereka tidak berhasrat melakukan aktiviti pertanian sambilan tersebut berikutan permainan harga di pasaran.

Sebagai contoh, ternakan ayam daging untuk 1,000 ekor untuk satu-satu pusingan sebenarnya mampu memberikan pulangan pendapatan tambahan kepada pengusaha kecil-kecilan ini namun kos makanan yang tinggi menyebabkan usaha tersebut mengalami kerugian.
    Dalam kes ini, saya teringat seorang sahabat yang telah menghabiskan kira-kira RM10,000 untuk  projek menternak 1,000 ekor ayam kampong kacukan. Spesifikasi projek tersebut juga mendapat pengiktirafan jabatan veterina kerana telah mengikut spec yang ditetapkan. Ternakan juga hidup subur.
   Mengikut perkiraan atas kertas selepas 65 hari projek tersebut boleh menyumbang menambah pendapatan keluarganya. Tolak kos itu ini, pendapatan bersih untuk tempoh itu boleh cecah RM4,000. Sebagai usaha sampingan orang kampung, jumlah itu kira sudah cukup baik.
    Namun, dengan kos makanan ayam yang tinggi dan disiksakan lagi dengan permainan harga oleh pihak pemborong dan taukeh pasar, maka dia terpaksa melelong ayam-ayam ternakannya bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar. Hanya sekali pusingan, rebanpun tutup! Mukhlisinn! Hancur, musnah, punah- ranah!
    Begitupun, dia masih belum berputus asa...Syabas saudara!


Jagindas:  aduhai apalah malangnya nasib, ku tanam padi yang tumbuhnya lalang.....

Sabtu, 23 Jun 2012

JENAYAH JUDI HARAM DEPAN MATA (??)

Di samping media massa melaporkan indeks kadar jenayah semakin menurun di setiap negeri, pada masa sama beberapa jenayah berat turut berlaku setiap hari.
   Kisah bunuh membunuh, tembak menembak boleh dikatakan setiap hari berlaku di banyak negara. Malaysia juga tidak terkecuali. Secara berseloroh kawan-kawan berkata kejadian seperti itu bukan lagi perkara asing kerana itulah tanda negara sudah maju! Saya tak setuju walaupun secara gurauan!
   Kalangan rakan saya pula mempersoalkan bagaimana aktiviti judi haram boleh beroperasi secara bersenang hati bukan sahaja di pekan besar malah kini telah menular  di pekan-pekan kecil. Dari judi empat nombor pasaran gelap hinggalah ke judi mesin komputer.
    Menurutnya, di sesetengah pekan kecil terdapat sehingga lima peremis yang menjalan aktiviti judi mesin secara haram. Memang harampun. Sudahlah judi itu haram, kemudian aktiviti perniagaan seperti itu juga haram di sisi undang-undang negara kerana lesen tidak dikeluarkan.
   Sudah tentulah, rakan saya itu akan mempersoalkan peranan polis dalam membenteras aktiviti haram tersebut. Ada asasnya: pertama aktiviti itu dilakukan di peremis kedai yang terletak di pekan, bukan sorok-sorok. Kedua, dibuka pula sehingga 24 jam. Malah ada peremis yang menggunakan khidmat orang Islam sebagai pembantu mengurus kedainya. Lagi hebat ada orang perempuan / wanita yang menjadi pekerjanya. Menurut dia, kalau orang ramai boleh tahu, takkan polis tak tahu? Polis ada cawangan intipan, cawangan khas dan sebagainya.
   Saya mencelah, mengapa perlu dirunsingkan perkara itu kerana orang melayu dan Islam tidak perlu mengunjungi kedai seperti itu. Tetapi dibantahnya, kerana dia mendakwa kebanyakan pengunjung adalah kalangan umat melayu.  Hisy! begitukah? Saya tahu, saja-saja nak menyucuk.
   “sehingga ada yang berjual tanah dan sampai bergolok -bergadai. Ada yang sampai porak peranda rumah-tangga disebabkan bahana mesin judi tu” katanya dengan meyakinkan tetapi tidak pula dia menyatakan siapa-siapa orangnya.
    Seorang rakan saya pula menceritakan kawannya pernah menghabiskan masa di peremis seperti itu tiga hari tiga malam  dan menghabiskan sejumlah wang RM15,000 tanpa sebarang keuntungan. Paling malang, wang tersebut adalah wang pelaburan yang diamanahkan oleh kawan-kawannya untuk menjalankan aktiviti pertanian.
    Saya semakin cemas mendengarkan ceritanya itu. Sampai begitu sekalikah penangan mesin judi ni. Maklum saya hanya tahu sebut tapi tak pernah tengok pun macam mana rupa apatah lagi nak main mesin judi ni. Lalu saya pun cuba meletakkan masalah tersebut kepada khalayak untuk memecah kebuntuan minda rakan-rakan :
   “Habis, apa Jawatankauasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) buat? Apa pula peranan imam-imam, pegawai-pegawai masjid dan pegawai dari jabatan agama islam buat? Dalam mesyuarat-mesyuarat bulanan mereka, apa yang di bincangkan? Begitu juga majlis daerah dan pegawai daerah! Kalau nak dilanjutkan lagi, bagi wakil rakyat pula hal-hal seperti ini tidak termasukkah dalam ruang lingkup tugasan mereka?”
    Soalan itu tidak dijawab sebaliknya mereka terus memberitahu bahawa kes-kes ragut dan samun bukan lagi berlaku di bandar-bandar malah operasinya juga berlaku di kampung-kampung dan kebanyakan mangsa adalah orang tua.
    Secara tiba-tiba, seorang lagi rakan kami  yang sejak tadi hanya mendengar sahaja terus bersuara:
  “Agaknya pihak berkuasa nak tunggu TV3 lapor baru nak buat tindakan. Baru ada peluang gambar dan suara masuk TV! Baru glamour bang, satu Malaya tahu depa buat kerja”
    Dia yang semacam fed-up dengan tajuk perbincangan itu terus meminta diri dan kami pun bersurai kerana hilang mood disebabkan anti-klimaks yang dibuat rakan itu tadi.
     Bagaimanapun sebelum bersurai saya sempat mengatakan kepada mereka bahawa pihak berkuasa mempunyai teknikal dan prosedurnya sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan. Hanya mereka saja yang tahu, tugas kita adalah memberikan kerjasama seperti membuat laporan.


Jagindas: suka lagu Dato’ M Daud Kilau – HAAANGGGGUSS!!!