Isnin, 22 Oktober 2012

BANK, PEMAJU, AKITEK - CURANG


Mangsa Wajar Segera Dibela

GAMBAR HIASAN: Apa kesudahannya nasib mereka?
MASALAH pembeli rumah yang terpaksa menanggung "hutang buta" dengan bank malah ada yang sudah diisytiharkan muflis disebabkan kes tersebut sebenarnya sudah berlarutan lama.
            Pendedahan mangsa menerusi dada media juga sudah banyak kali. Setiap kali didedahkan pihak berwajib akan menjawab yang kerajaan akan mengambil perhatian berat dan pihak yang menganiaya akan diambil tindakan. Itu jawapan spontan yang biasa kita dengar.
            Hasilnya tidak ada satupun pemaju mahupun pihak bank yang didakwa bahkan kerajaan pula menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pula yang terpaksa mengambil alih pembangunan semula rumah-rumah terbengkalai sebagai langkah menyelamatkan rakyat.
            Justeru, gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) semalam yang  meminta polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemaju perumahan tidak berlesen serta pegawai bank dan arkitek yang bersekongkol sehingga menyebabkan berlakunya projek rumah terbengkalai amat wajar malah sudah sampai kepada kemuncaknya.
            Pihak terbabit pula diharap tidak mengambil ringan perkara ini dan siasatan perlu dijalankan segera bagi memboleh tindakan diambil terhadap mereka terbabit. Yang penting, mangsa sewajarnya mendapat pembelaan manakala pemangsa pula mesti dihukum.
            Kecurangan yang dilakukan oleh pemaju, akitek dan pihak bank bukan sahaja telah menyusahkan pembeli yang tidak kesampaian hajat, malah ia juga turut mencalar nama baik serta masa depan individu dan keluarga terbabit apabila mereka diisytiharkan muflis.
            "Setelah muflis, mereka tidak lagi mendapat sebarang kemudahan pinjaman lain seperti membeli kereta dan sebaginya. Malah, dalam kes tertentu, mangsa juga tidak layak menerima kenaikan pangkat disebabkan muflis atau pernah dikenakan tindakan mahkamah," kata seorang pembaca akhbar memberitahu penulis.
            Bagi penulis, kes ini besar sebab kesan dan impaknya besar terhadap pembeli berkenaan. Balun! mereka mesti dibalun cukup-cukup.
            Justeru, bersesuaian dengan dasar kerajaan yang telus dan tidak melindungi sebarang jenayah dan pelakunya serta mereka yang terbabit dengannya, maka adalah diharapkan jeritan PPIM ini disambut oleh kerajaan khususnya agensi dan kementerian terbabit.


Jagindas: mereka tu lebih teruk dari lintah darat, patut dikena penjara 35 tahun dan kerja berat! Apa macam Tok Nazri, OK tak?


HUKUM HUDUD ALA PAS


Bukan Islam Janganlah Cakap Semba-rangan


SAYA ingin menasihatkan Parti MCA mahu pun Parti Gerakan supaya jangan terlalu gelojoh mentafsir dan memperkatakan perihal berkaitan hukum hudud walau pun ia bermaksud hudud aturan Pas di sini.
            Ini kerana, apa pun persepsinya, hudud itu adalah sesuatu yang berkaitan dengan hukum hakam yang nyata wujud dalam Islam. Malah, sebahagian orang Islam sendiri masih tidak memahami secara jelas tentang hal-hal berkaitan hudud.
            Justeru, keghairahan MCA dan Gerakan untuk menyokong UMNO yang sememangnya tidak merestui hudud PAS, dikhuatiri akan terlajak kata yang kelak akan menambahkan lagi satu masalah baru berkaitan agama.
            “Kami akan terus menerangkan kepada rakyat yang kami tidak boleh menerima negara teokrasi dan hukum hudud ala PAS,” kata timbalan presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung Pemuda MCA  semalam.
            Bagi penulis, dalam bab hudud ini, ada baiknya kedua-dua kompenan utama BN itu  berdiam diri tetapi terus memberikan sokongan kepada UMNO dalam menyatakan pendirian mereka terhadap isu berkenaan.
            Untuk dalam negara kita, soal berkaitan agama Islam biarlah orang Islam sahaja yang menanganinya. Campur tangan pihak lain yang bukan beragama Islam membabitkan isu-isu seperti itu, dibimbangi akan menambahkan kekeruhan walaupun tujuan asalnya baik.
           

Jagindas:Tidak ada hudud ala Pas, hudud ala UMNO mahu pun hudud ala BN. Yang ada adalah hudud dalam Islam.

Ahad, 21 Oktober 2012

WAJARKAH HUKUMAN MATI DITANGGUH

NAZRI AZIZ

Hanya Untuk Selamatkan Keldai Dadah

ANTARA  tajuk akhbar tempatan yang menarik minat penulis hari ini adalah cadangan kerajaan untuk menangguhkan hukuman mati mandatori terhadap pesalah yang disabitkan kesalahan jenayah dadah dan menggantikannya dengan penjara antara 30 dan 35 tahun di sini
            Berdasarkan kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, hasrat tersebut adalah sebagai usaha kerajaan untuk menyelamatkan rakyat negara ini yang dijadikan keldai dadah yang kini sedang merengkok dalam penjara di beberapa buah negara di mana ada di antaranya sedang menunggu hukuman mati.
            Anatara lain, Nazri mengatakan: ''Kalau nak selamatkan keldai dadah warga Malaysia yang sebahagian besar tidak sedar diperkudakan, saya nak tanya macam mana Malaysia nak merayu kepada negara berkenaan supaya mereka jangan digantung sedangkan di sini kita gantung. Jadi tidak kenalah," katanya.
            Penulis tidak bersetuju terhadap hasrat tersebut malah saya juga kurang pasti mengapa pemikiran ini tiba-tiba timbul di benak kerajaan kerana khalayak sedia maklum bahawa jenayah berkaitan dadah amat serius merosakkan masyarakat bahkan kesannya sama seperti "pembunuhan".
            Justeru, hukuman mati mandatori yang telah dilaksankan sekian lama di negara ini memang wajar dikekalkan bahkan hukuman sekeras itu juga masih belum dapat menghapuskan sama sekali jenayah tersebut.
            Soal, keldai dadah yang barangkali sebahagian besarnya adalah terperangkap atau teraniaya tidak sepatutnya dijadikan alasan sehingga negara terpaksa mengorbankan sesuatu yang baik untuk negara sendiri.
            Bagi penulis, jika kerajaan berasa bertanggungjawab untuk membela pesalah 'keldai dadah' yang mungkin teraniaya itu, maka ada baiknya pembelaan mereka dilakukan mengikut lunas undang-undang biasa. Bermakna, untung batu tenggelam, untung sabut timbul. Dan, siapa pun, kenalah bersedia menerima hakikat tersebut.
            Sehubungan itu, bagi penulis Nazri perlu melupakan hasrat tersebut. Apa-apa keputusan yang hendak dibuat hendaklah diambilkira secara kolektif bukan atas sebab-sebab satu-satu hal yang mungkin bersifat terpinggir. Dengan kata lain, ketegasan kita juga adalah satu bentuk pendidikan kepada rakyat negara ini dan luar negara.


Jagindas: haiii....peliklah, macam ada yang tak kena saja...

SEMBANG AHAD: APABILA UPSR, PMR DIMANSUHKAN


Guru Ambil Peluang Bersenang Lenang ?

KEPUTUSAN kerajaan memansuhkan sistem Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun 2014 secara umumnya dipandang sepi oleh rakyat. Kelihatan keputusan Kementerian Pelajaran itu bukan satu perkara yang popular di kalangan ibu bapa berikutan komen-komen dan respon terhadap isu tersebut itu tidak begitu memberangsangkan.
            Barangkali, keputusan itu masih memberikan dilema kalangan ibu bapa terhadap pro dan kontranya sama ada kedua-dua penilaian berkenaan baik diteruskan atau dihapuskan meski pun kementerian pelajaran memberi jaminan bahawa pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh dan Maktab Sains Mara (MRSM) masih diteruskan.