Jumaat, 14 September 2012

PENAMBAHBAIKAN DISIPLIN MURID


KPM PERLU BERI PENEKANAN DAN JAMINAN YANG MEYAKINKAN GURU

GAMBAR HIASAN
BARU tiga hari Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pelajarannya, Tan Sri Muhyidin Yassin, selasa lalu pula berlaku kisah 15 pelajar membantai guru disipilin di salah sebuah sekolah menengah di Alor Setar hanya kerana mengarahkan mereka untuk hadir ke perhimpunan pagi di sini.
          Itu (masalah disiplin) adalah kekurangan yang saya dapati kurang penekanan yang disentuh dalam PPPM tersebut. Jika diamati, dalam sebelas (11) anjakan menerusi pelan berkenaan, tiada satu perenggan khas yang menyebut langkah, usaha atau tindakan-tindakan bagi meningkatkan tahap disiplin dan sahsiah pelajar-pelajar.
          Kalau adapun pada anjakan ketiga (iaitu: Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai). Namun, frasa ini tidak begitu jelas memperkatakan masalah itu  atau tidak menampakkan pengkaedahan secara khusus dan tepat menangani masalah disiplin pelajar sekolah.
          Oleh kerana secara umumnya pendidikan di sekolah sangat bergantung kepada kebertanggungjawaban guru terhadap tugasnya, maka jika masalah disiplin tidak diberikan perhatian khusus serta serius adalah dijangkakan pengoperasian sistem pendidikan itu mungkin akan tercalar atau tidak dapat berjalan dengan lancar. Sekali gus impian mencapai kejayaan 11 anjakan PPPM mungkin akan berlaku di luar time-frame yang dipateri.
          Justeru, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sewajarnya memberikan penekanan jelas terhadap masalah ini serta memperaku perlindungan yang meyakinkan golongan guru untuk melaksanakan penguatkuasaan disiplin murid-murid di sekolah-sekolah.
          Masalah disiplin murid di era ini bukan sahaja membabitkan murid dan guru malah juga membabitkan ibu-bapa dan penjaga murid. Campur tangan golongan orang politik, NGO termasuk pejuang Hak Asasi Manusia serta mereka yang bersikap menangguk di air keruh turut menserabutkan lagi masalah berkenaan.
          Seperti kisah paparan akhbar semalam, di mana rumah seorang pegawai kastam di Johor, musnah akibat dilempar dengan bom buatan sendiri dipercayai malatov, tidak mustahil padah yang sama akan berlaku kepada golongan guru pada masa akan datang.
          Nampak menakutkan. Namun, apakah kita mahu menunggu ianya menjadi realiti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perediaan kemas?
          Sebab itu, dikatakan tadi, sistem operasi dan pelaksanaan PPPM mungkin tinggal nama dan gah sahaja kerana tanpa jaminan perlindungan yang  meyakinkan pihak guru-guru akan melaksanakan tugas secara berhati-hati dengan mengenepikan masalah disiplin murid dalam tugas mereka.
          Apa kan terjadi? Mungkin, pertama kita dapat mencapai sasaran seperti yang terhasrat dalam 11agenda PPPM yang dilancarkan tetapi kumpulan pelajar yang dilahirkan kurang bernilai dari segi sahsiah dan kemanusiaan. Dan, jika ini terjadi, apakah corak kepimpinan negara akan datang? ; kedua, barangkali juga tidak tercapai berikutan pihak pelaksana (sekolah) "terhalang" untuk merealisasikannya.


Jagindas:  Ada guru kata, jangan pening-pening kepala, janji ajar sudah! Cukup bulan ambil gaji....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.