Dalam Rumah, Pijak Semut Pun Tak Mati
BILA terbau sahaja cerita mengenai sang
isteri berlaku curang, masyarakat tidak kira lelaki atau perempuan akan cepat
menangkap cerita tersebut dan sedaya upaya akan mengorek-ngorek isi ceritanya
sehingga terlondehlah segala-galanya.
Namun,
boleh dikatakan jarang sekali mendapat perhatian berat atau masyarakat semacam
tidak begitu kisah apabila sang suami yang berlaku curang. Golongan lelaki
mungkin akan ambil peduli sebelah mata sahaja.
Kalau yang nak menjadi isu pun adalah dari kalangan perempuan sendiri.
Padahal, isunya adalah suami isteri yang berlaku curang. Kedua-dua dari sudut
agama memang bersalahan. Apapun, dalam sesebuah rumah tangga, kecurangan sang
isteri amat besar kesalahannya.
Bagi
penulis, isu ini bukan perkara baru malah bukan penyakit zaman moden. Namun,
apabila isu ini timbul di dewan negara semalam ia menarik perhatian penulis
untuk tumpang sekaki menyampuk sedikit berkenaan kes tersebut. berita di sini
Kata
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
Datuk Noriah Kasnon, laporan dari akhbar cina mengatakan kecurangan isteri di
negara ini berada ditahap ketiga dalam dunia amat mengejutkan kerana ia
bercanggah dengan kajian yang dijalankan oleh jabatan yang bertanggung jawab di
negara kita.
Katanya,
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat yang dilaksanakan oleh Lembaga
Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 mendapati perceraian
yang berpunca daripada kecurangan suami atau isteri adalah tidak begitu serius.
Nah,
bagi penulis di situlah silapnya jawapan daripada Noriah. Kita tidak bercakap
tentang perceraian atau perceraian yang disebabkan oleh kecurangan suami
isteri. Kajian daripada pihak luar itu adalah mengumpul data
"kecurangan" yang dilakukan oleh sang isteri. Bermakna termasuk yang
diketahui dan tidak disedari oleh sang suami. Bagi yang menyedarinya,
barangkali itulah saja jalan penyelesaian yang diambil iaitu bercerai.
Bermakna, data yang ada pada Noriah terhadap isu sang isteri curang dikira tidak
dilengkap.
Penulis
masih ingat beberapa tahun lalu, ada seorang rakan mempelawa penulis untuk
berehat di Kuala-Lumpur barang semalam dua atau seminggu. Penulis bertanya
untuk apa? Dengan selamba rakan itu menjawab pada bulan itu kononnya adalah musim
isteri-isteri orang di Kuala Lumpur "makan luar". Penulis terpempan mendengarkannya
lalu bertanya dalam hati; MasyaAllah,
sampai begitu sekalikah masyarakat Islam khususnya golongan isteri di
bandar-bandar sekarang ini? Na'uzubillah minzalik.
Penulis
hanya sempat menasihatinya supaya tidak meneruskan hajatnya itu kerana amat
dikutuk oleh Allah swt. "Kalau kamu
tidak sembahyang, tidak berpuasa, itu adalah dosa antara kamu dengan Allah.
Jangan sesekali lakukan dosa membabitkan orang ketiga. Tanggungan, bala' dan
kifarahnya amatlah berat!," itu saja yang dapat penulis katakan kepada
rakan penulis ketika itu.
Adakah
agensi yang membuat kajian seperti yang Noriah sebutkan, LPPKN, mempunyai data
seperti itu?
Seperkara
lagi, demi menjaga maruah keluarga kedua-dua pihak pasangan yang menyedari akan
kes kecurangan ini ramai yang memilih melaporkan sebab permohonan cerai dibuat adalah
kerana "sudah tidak ada persefahaman". Adakalanya, mereka lebih suka memilih alasan
sedemikian kerana jika diberikan alasan yang sebenar-benarnya pihak terbabit terpaksa
melayan pelbagai karenah daripada Jabatan Agama Islam. Padahal, mereka sudah
nekad untuk bercerai kerana mereka lebih tahu apa yang mereka tanggungi. Sudah
tidak sanggup lagi nak menanggung biawak hidup! Jadi, sekali lagi data yang ada dalam LPPKN
itu juga diragui kejujurannya.
Itu
baru cerita sang isteri yang curang belum lagi data perempuan bujang yang
mengisi ruang sunyinya sesuka hati dengan lelaki bujang mahupun suami orang!
Dan, apabila kes-kes seperti ini berlaku, alasan remeh atau klise' akan keluar
bagi menjawab puncanya. Antaranya suami cuai, isteri tidak puas di ranjang, isteri
kesepian sebab selalu dituinggalkan, suami bersikap pasif, balas dendan kerana
suami ada kekasih dan macam-macam alasan lagi.
Tapi
apa yang pasti, alasan kukuhnya adalah kedua-dua pihak tidak menjadikan agama (Islam)
sebagai panduan berumah tangga sebenar-benarnya melainkan membuat keputusan
berpengerusikan nafsu! Na'uzubillah
minzalik.
Kalau
kita pergi jauh sedikit, penulis fikir zaman ini memang banyak isteri yang
nusyuz. Ramai isteri yang durhaka kepada suami. Ramai suami isteri yang
terikut-ikut rentak berumah tangga style orang
barat (yang nampak Islamnya cuma nikah dan rukunnya sahaja). Pada masa sama,
kalangan suami juga ramai yang megahkan diri kononnya sebagai ketua rumah lalu
ada yang menguruskan rumah tangga bagaikan
sultan beraja dihati.
Kepada
kaum isteri, ingatlah, sedangkan meninggi suara terhadap suami pun dilarang
agama apatah lagi berlaku curang. Ingatlah pesanan Allah dimana dalam kitab
kita ada menyebut bahawa setinggi mana ibadah seseorang isteri itu siang dan
malam namun tempatnya di neraka juga jika tidak mentaati dan durhaka kepada
suaminya. Namun begitu, kepada kaum
suami pula jadilah ketua keluarga yang adil dan waras. Janganlah disebabkan
kedangkalan kamu maka ada orang lain turut teraniaya. Wallahhu'allam.
Jagindas: Astaghfirrullah hal'adzimmmm. Na'uzubillah minzalik!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.