Selasa, 29 Januari 2013

NASHARUDIN MAT ISA TIDAK KALAH DAN TIDAK TERBUANG


Kematangan Politiknya Diiktiraf Rakyat Yang Cintakan Kemanan

PENULIS percaya, berita YB Nasharudin Mat Isa (gambar), yang dipecat daripada Ahli Majlis Syura Pas pada 13 Januari lalu dan pengakuan Tuan Guru Nik Aziz yang mengesahkan Nasarudin tidak tersenarai sebagai calon dalam Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) nanti, sebenarnya tidaklah mengejutkan khalayak melainkan buat-buat terkejut.
            Ini kerana, tingkah laku Nasharudin sejak berlaga arus dalam beberapa isu dengan kepimpinan Pas sebelum ini memberi gambaran jelas akan nasib yang akan diterimanya menjelang PRU13 ini. Dan, khabar semalam adalah jawapan yang mengesahkan bayangan sebelum ini.
            Apapun, Ahli Parlimen Bachok itu adalah antara contoh pembangkang yang harus dihormati oleh semua lapisan ahli politik di negara ini (setakat ini). Dalam sistem pemerintahan demokrasi negara ini, kita memang memerlukan pembangkang tetapi yang memiliki pemikiran seperti Nasharudin.
            Barisan Nasional (BN) harus menerima hakikat bahawa antara penyebab yang menjadikan pemimpin-pemimpin BN serta pengikutnya menjadi alpa dan 'hilang diri' adalah kerana sebelum ini tidak ada siapa yang berani menegur mereka. Lantas, mereka menjadi angkuh, sombong dan perasan akan kekal selama-lamanya.
            Pilihanraya tahun 2008, adalah jawapan kepada semua itu. Nasharuddin dilihat sebagai pejuang parti yang benar-benar berlandaskan Islam dengan menolak fahaman-fahaman ekstrimis seperti Syiah, wahabi dan lain-lain yang nyata memesongkan matlamat perjuangan Islam itu sendiri bahkan turut menghakis nilai akidah sebenar.
            Sebelum ini, pemimpin DAP, Datuk Seri Lee Lam Thye, juga pernah 'membawa diri' keluar daripada perjuangan parti itu apabila beliau melihat matlamat pembangkang yang dibawa oleh DAP itu terpesong daripada nilai-nilai kepolitikan yang menyongsang makna demokrasi sebenar. Demikian juga Tuan Haji Nakhaie yang diberikan taufik melihat kesongsangan Pas itu lebih awal.
            Kini, pada zahirnya Nasharudin sudah tiada tempat lagi dalam Pas. Kalau beliau mahu menyertai UMNO, tentulah kecik tapak tangan nyiru di tadahkan. Namun, bagi penulis, beliau tidak perlu berbuat begitu. Beliau perlu bediri sebagai pembangkang (sekalipun parti 'bebas') yang bertindak sebagai jam loceng mengejutkan pemimpin-pemimpin lain daripada tidur atau terlena khususnya kalangan pemimpin BN dan Umno sendiri.
            Pembangkang yang baik adalah pengimbang dan bukannya perosak dan pembawa bencana. Justeru, penulis percaya Nasharuddin melihat perspektif kedudukannya sebagai pembangkang sebegitu tidak sebagaimana puak Anwarinas yang sanggup menggadaikan apa sahaja demi kepentingan politik peribadi tetapi menjadikan pengikutnya sebagai dinding besi.
            Sejarah politik tanah air juga pernah mencatatkan bahawaTun Dr. Mahathir juga pernah disingkirkan oleh Tengku Abdul Rahman (perdana menteri ketika itu) apabila banyak tingkah laku dan tindakan Tun yang tidak selari dengan kepimpinan Umno dan Parti Perikatan ketika itu. Namun, berkat kejujuran serta memiliki halatuju yang jelas, akhirnya Tun diangkat juga menjadi Perdana Menteri. Bahkan beliau adalah antara pemimpin negara yang dihormati oleh pemimpin-pemimpin di seluruh dunia yang telah membawa kecemerlangan Malaysia di persada antara bangsa.
            Berbalik kepada kes Nasharudin ini, penulis mengucapkan syabas atas semangat saudara untuk terus  berjuang menegakan serta memertabatkan Islam yang berlandaskan perspektif sebenar di negara ini meskipun tidak berdiri atas platform parti politik seperti Pas. Semoga Allah (swt) merestui perjuangan saudara!

Jagindas:.... masih banyak yang tidur lagi weh! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.