Isnin, 18 Februari 2013

PENGARUHI PENDEPOSIT: INSTITUSI KEWANGAN MULA TUNJUK KUAT

Bank Rakyat, PNB dan LTH

Tetapi Taklah Seberapa Sangat..

SEJAK pertengahan tahun 2012 sesuatu yang nampak ketara bagaikan dienjut-enjut adalah penguman kadar dividen yang tinggi bagi saham-saham amanah (ASB), bonus Lembaga Tabung Haji (LTH) dan terbaru dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Koperasi Tentera (LTAT). Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga mengikut jejak yang sama di mana semalam ia mengumumkan kadar keuntungan sebanyak 6.15%.
            Kebetulan pula tahun ini pilihanraya umum (PRU13) akan berlangsung. Dengan pengumuman ini tentulah antara lain bermaksud menggambarkan keadaan ekonomi negara bertambah baik sehingga insutitusi berkenaan mampu membayar dividen dan bonus yang tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Begitu juga, kemampuan kerajaan melaksanakan pelbagai sumbangan kepada rakyat seperti BR1M dan banyak lagi.
            Tahniah kepada kerajaan dan badan pengurusan institusi kewangan yang lain jika benar itulah hakikatnya. Maksudnya bukan sahaja diberi-beri untuk ambil hati rakyat lebih-lebih lagi pendeposit supaya mereka bertambah yakin dengan kerajaan sedia ada.
               Namun begitu, diharapkan jangan nanti tahun ini diberi 8 - 13% tahun depan dan seterusnya pula hanya mampu bertahan 5 - 9%. Jika ini yang berlaku, kalau dihitung-hitung semula puratanya, maka sama saja dengan tahun-tahun sebelumnya. Wal hasil balik asal lah! Jangan buat begitu, nanti rakyat kata dividen yang tingi itu adalah dividen atau bonus pilihanraya. Maknanya kalau nak macam itu juga dapatnya kena tunggu 4 atau 5 tahun lagi lah..Bahaya tu!
            ASB misalnya, dalam kenyataan medianya sebelum ini mengatakan agensi itu sebenarnya mampu membayar lebih dari itu (8.9%) tetapi sengaja mengehadkan sedemikian di mana baki selebihnya di bawa ketahun hadapan. Bagi rakyat yang tidak belajar bab-bab ekonomi, kenyataan seumpama ini agak pelik juga.
            Sebab, jika 12% misalnya memang layak diberikan kepada pendeposit mengapa pula ada tahan-tahan? Seolah-olah, baki yang tidak isytiharkan itu akan menampung jika tahun hadapan pasarannya merudum. Atau, apakah pemberian tahun ini bersifat niaga kontra?
            Pada selapis fikiran khalayak, ASB misalnya yang telah beroperasi lebih 30 tahun sepatutnya seiring dengan dividen saham Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (BR) kalau tidak pun mengatasi daripada itu.
             Justeru, sampai masanya pihak yang mengurus deposit saham-saham amanah seperti ASB yang setulennya hanya untuk kaum bumiputera hendaklah mengkaji semula kadar keuntungan yang diberikan kepada pendeposit setelah beroperasi lebih 30 tahun.
            Mereka (pendeposit) terutama yang telah menyertai skim pendepositan ini sejak lebih 20 tahun lalu sewajarnya menikmati keuntungan selesa sebelum menjelang tahun 2020. Bagi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) wajar memikirkan golongan pendeposit ASB (bumiputra) dapat berbangga terhadap skim tabungan itu sebagai satu daripada sumber pendapatan hari-hari tua mereka atau selepas bersara.
            Tidak seperti Tabung Haji, pendeposit ASB (bumiputra Islam) kena menaksir sendiri zakat simpanan sahamnya.. Bermakna, kalau ASB beri pulangan 8%, ertinya secara kasar pendapatan bersih pendeposit terhadap simpannya hanya 5.75% setelah ditolak penunaian zakat sebanyak 2.5% daripada simpanan yang cukup haul dan nisab itu. Sedangkan walaupun Tabung Haji membayar dividen kepada pendeposit sebanyak 6.5% tetapi ia adalah pendapatan bersih setelah zakat pendeposit dijelaskan.
            Bagaimanapun, bukanlah perbandingan itu yang penting, tetapi PNB sewajarnya berasa malu terhadap pendepositnya sendiri kerana setelah lebih 30 tahun beroperasi agensi itu masih gagal menaikkan kadar keuntungan dan bonus kepada pendeposit-pendeposit melepasi 10% kecuali pada awal-awal operasinya dahulu.     

Jagindas:  Ada yang belum serik menyertai 'skim cepat kaya'...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.