Selasa, 28 Mei 2013

BANK PUN KEKADANG POK KAI JUGA...

Gambar Hiasan
Berbaris Sejam, Tunggu Duit Sejam!

HARI Isnin biasanya adalah hari paling sibuk bagi petugas di kaunter-kaunter perkhidmatan sama ada di sektor swasta mahupun di sektor kerajaan dan badan berkanun. Bank juga tidak terkecuali akibat daripada pelaksanaan cuti umum pada Sabtu dan Ahad.
            Bagi cawangan bank di kawasan-kawasan kecil, biasanya tidak banyak kaunter disediakan berikutan kesibukan tidaklah berlaku setiap hari. Namun ia tetap dan masih mampu memenuhi kehendak pelanggannya.
            Pun begitu, semalam penulis terpaksa berbaris selama sejam disebabkan hanya satu kaunter sahaja yang dibuka manakala pelanggannya pula agak luar biasa. Dan, boleh dikatakan kesemua pelanggan yang berurusan pada hari itu pula adalah untuk mengeluarkan wang. Amat sedikit yang berurusan menabung.
            Dipendekkan cerita, penulis mula masuk baris (tiada sistem nombor giliran disediakan) tepat jam 1300 (1 tgh). Perkhidmatan kaunter yang slow menyebabkan penulis hanya dapat berurusan di meja kaunter pada jam 1400 (2 ptg).
            Setelah pegawai di kaunter menyemak semua dokumen, mengimbas kad pengenalan, menandatangan borang dan menurunkan cap jari, penulis rasa lega setelah sejam tersiksa berdiri. Maklum, dah tua-tua ni lutut bukannya kuat sangat lagi. Beberapa saat lagi akan dapatlah wang yang dihajatkan dan bolehlah berehat di rumah. Itulah yang ada dalam pemikiran penulis yang sudah tidak tertahan lagi menanggung jemu berbaris tadi.
            Malangnya, sekonyong-konyong datanglah pengurus bank tersebut (agaknyalah) ke kaunter dan bertanya kepada penulis apakah saya boleh menunggu lebih kurang sejam lagi bagi mendapatkan wang dengan alasan wang di bank mahupun dalam mesin teller telah kehabisan.
            "Kami sedang menunggu van yang menghantar duit ke bank ini tetapi sampai sekarang masih tak sampai lagi", katanya dengan sopan.
            Mendengarkan itu, pelanggan yang masih memenuhi barisan di belakang penulis mendengus kehampaan. Ada yang bukak langkah terus beredar dengan wajah yang amat keciwa.
            Kalau ikutkan baran hati, mahu rasanya menyergah pegawai bank itu. Apatah lagi dengan cuaca harian yang panas membakar di luar sana. Namun, berkat kesabaran, penulis hanya tertawa kecil lalu terus berdiri menanti van membawa duit sampai. Geli hati rasanya bila bank kehabisan wang.
            "Wah, adakalanya bank pun pok kai juga ye..?", bisik hati penulis sambil tersenyum sindirian.
           

Jagindas: Bagi penulis, pengurus bank itu gagal membuat anggaran belanja mengurus mingguannya...bukan dia tak tak tahu seiap Isnin memang sibuk!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.