Ahad, 2 Jun 2013

APABILA SUNAT DAN ADAT MENGATASI PERKARA WAJIB..

Gambar Hiasan: Upacara Pernikahan
Perintah Allah Menjadi Berat Dan Sukar!

MAJLIS kenduri nikah kahwin begitu sinonim apabila tiba musim cuti persekolah.  Antara kebaikan majlis kenduri itu adalah di situ juga tempat bertemunya sanak saudara dan sahabat handai yang terpisah jauh atau yang sudah lama tidak ketemu.
            Sembang-sembang dengan seorang rakan lama di satu majlis kenduri baru-baru ini ada sesuatu yang penulis fikir elok dijadikan iktibar dan difikirkan bersama. Bukan fikir sahaja, malah yang lebih penting adalah belajar dan bertindak daripada pengalaman rakan penulis itu. Dakwanya, dalam bab nikah kahwin sekarang ini nampaknya masyarakat Islam lebih mementingkan yang sunat daripada yang wajib. Akibatnya, ada pasangan yang sudah beranak dua pun masih belum selesai membayar hutang!
            Menurutnya, dia yang dalam kategori golongan pertengahan sudah menyambut menantu dua orang. Dengan kata lain telah berpengalaman mengadakan kenduri nikah kahwin sebanyak dua kali. Kenduri yang pertamanya, katanya beliau berhabisan RM45,000 (mencakupi daripada belanja hantaran, persiapan dan majlis kenduri) manakala majlis yang kedua pula beliau telah membelanjakan lebih kurang yang sama iaitu RM40,000.          
            Konon katanya anaknya itu adalah lelaki. Makanya ada dua tanggungan berat yang 'terpaksa' dilalui iaitu belanja hantaran kahwin dan kenduri menyambut menantu. Maklum, busuk-busuk pun kalau nak meminang anak dara orang sekarang ini mahu juga cecah RM8,000 ke atas. Orang Perak kata belanja hangus. Mas kahwin lain.
             Secara umumnya di sebut wang hantaran yang lebih kepada hadiah daripada pihak lelaki. Tetapi ianya adalah satu jumlah yang ditetapkan oleh pihak perempuan dan setelah dipersetujui bersama...Konon katanya ada pulak gred dan kategori. Wallahhuallam!
            Belanja wajib untuk mas kahwin tidaklah sebesar mana. Bak kata orang cina 'sap sap soi" saja. Kalau diikut Johor, sejak dahulu hingga sekarang mas kahwin masih RM22.50 sen  Tetapi, wang hantarannya... masyaAllah.. (tengok kategori jugalah... hehehe..)
            Namun, ada sesetengah tempat pihak perempuan tidak menetapkan perbelanjaan seperti itu. Sebagai contoh, jika di sebut RM5,000 bermakna sebanyak itulah yang akan di akadkan nanti. Makna kata, tiada perbelanjaan 'kebajikan' daripada pihak lelaki untuk disubsidi kepada pihak perempuan melaksanakan majlis kenduri kahwin.
            Nampaknya agak kasar dan berat, tetapi bagi penulis ia lebih relevan dan adil kerana wang yang diakadkan itu adalah menjadi hak pengantin perempuan dan berbaloilah jika selepas berkahwin si-perempuan menjadikannya senilai dengan emas perhiasannya seperti gelang, cincin atau rantai.
            Pun begitu, bagi kebanyakan adat, pihak perempuan melebih-lebihkan wang hantaran (belanja hangus). Dan, kononnya itulah puncanya ramai kalangan lelaki rela membujang kerana tidak mampu untuk menyediakan wang hantaran dan perbelanjaan kenduri sendiri. Belum termasuk hal ehwal pinang meminang.
            Menurut kata rakan penulis itu lagi, anak pertamanya diminta menghantar hantran sebanyak RM8,000 berserta hadiah iringan manakala anak keduanya pula diminta hantaran sebanyak RM10,000 berserta hadiah iringan. Hadiah iringan pun katanya, paling tidak cecah juga RM2,000.
            Maka, kira kira punya kira, akurlah penulis dia telah membelanjakan lebih RM40,000 untu satu-satu majlis tersebut. Urusan pernikahan RM10,000, peralatan dan persiapan rumah dan pengantin lelaki RM5,000. Manakala perbelanjaan runcit sebelum kenduri termasuk hal ehwal peminangan busuk-busuk pun RM5,000 dan kenduri RM25,000 untuk jemputan 2,000 orang dengan kadar tempahan RM12 sekepala. Makna kata, kalau dikecilkan jemputan kepada 500 orang pun, perbelanjaan menyusut kepada RM26,000 Yang itu pun bagi penulis satu perbelanjaan yang agak besar juga!
            Yang kita semua maklum bahawa rukun nikah itu adalah; lelaki, perempuan, mas kahwin, ijab dan qabul. Dan DISUNATKAN berbuat majlis kenduri (dan janganlah kamu berlebih-lebihan dengannya) sebagai meuar-uarkan mempelai...
            Dan, dalam sembang-sembang itu juga seorang ustaz mencelah, bahawa apabila kita (umat Islam) berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara apalagi yang bukannya hal-hal wajib, maka kita sebenarnya telah memberat-beratkan urusan Allah. Dan yang demikian itu akan mendatangkan kesusahan. Bahkan paling ditakuti jika tidak wujud keikhlasan dalam ibadah pernikahan itu sendiri, katanya...wallahhu'allam.
            Benar, perkahwinan amat menuntut keikhlasan daripada kedua-dua belah pihak. Amat perlu...

            (..banyaklah lagi hurain berkaitannya yang penulis fikir tidak perlulah dipaparkan di sini)



Jagindas: Orang kaya-kaya lainlah....RM5 juta pun macam RM5,000 sahaja...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.