Isnin, 10 Jun 2013

BUKAN TIDAK DIAJAR TETAPI DEGIL

GAMBAR HIASAN: PERHIMPUNAN MINGGUAN...
Perlukah Pendidikan Perlembagaan Negara Diajar Sedari Sekolah Rendah??

Tulisan Zaini Hasan di ruangan 'Cuit' Utusan Malaysia 5/6/13 atas tajuk 'Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di sekolah' menarik perhatian saya untuk turut membalas pandangan terhadap tulisan beliau itu.
            Pada pandangan saya kajian yang dilakukan Zaini tidak menepati sasaran dan lantaran itu saudara Zaini memperoleh jawapan yang agak mengelirukan. Meskipun, Zaini memperkuatkan alasannya setelah bersoal selidik dengan anaknya sendiri, namun saya masih sangsi dengan jawapan yang diberikan oleh anaknya itu.
            Persoalan yang ditimbulkan Zaini adalah menyalahkan sistem pendidikan di peringkat rendah dan menengah yang didakwanya tidak menyediakan pendidikan dan nilai-nilai kenegaraan sehingga menyebabkan generasi hari ini menjadi biadap terhadap pemimpin dan negaranya sendiri.
            Lantaran itu, Zaini mencadangkan supaya nilai-nilai tersebut termasuk pemahaman terhadap perlembangaan negara diterapkan seawal pendidikan formal berlaku di sekolah.
            Untuk makluman Zaini, kerajaan menerusi kementerian pelajarannya sudahpun melaksanakan pendidikan subjek tersebut sedari sekolah rendah lagi iaitu mulai tahun 4 hingga 6 (tahap dua) menerusi mata pelajaran Kajian Tempatan (KT) dan Sivik kemudiannya disambung didik di sekolah menengah menerusi pendidikan sejarah.
            Di sekolah rendah, menerusi mata pelajaran KT anak-anak didik dikenalkan secara dasar (basic) hal-hal yang berkaitan kenegaraan seperti menegenali pemimpin, sejarah kemerdekaan negara secara sepintas lalu, hal-hal berkaitan institusi raja dan Yang DiPertuan Agong serta Rukun Negara.
            Lima prinsip yang tertera dalam rukun negara Malaysia bolehlah diandaikan mencakupi seperti Pancasila Negara Indonesia (jika mahu diperbandingkan dengan Indonesia). Malah, ada sekolah-sekolah yang menjadikan sumpah rukun negara itu dijadikan amalan setiap kali perhimpunan pagi di adakan di sekolah masing-masing. Bahkan ketika ini, media-media elektronik juga turut memainkan peranan menanam bibit-bibit rukun negara kepada rakyat Malaysia menerusi medium iklan yang terancang.
            Cumanya, kedudukan subjek KT dan Sivik di sekolah rendah tidak diberi penekanan sebagai subjek wajib atau teras. Samalah ketika zaman tahun 60-an membawa kepada 80-an, pelajar-pelajar di sekolah menengah yang menduduki kelas aliran sains ketika itu tidak diajar subjek sejarah dan senilukis dengan alasan kononnya kerana subjek itu hanya untuk kelas sastera dan sekolah tidak mempunyai cukup waktu untuk dimasukkan mata pelajaran tersebut ke dalam kelas aliran sains.
            Namun selepas era itu, subjek sejarah kembali diajar meliputi semua aliran (sastera dan sains) di sekolah menengah. Namun, penekanan terhadap perlembagaan memang tidak ada tetapi pendidikan kenegaraan diteruskan sebagai kesinambungan daripada pendidikan dari sekolah rendah.
            Masalahnya sekarang, adakah pelajar (tak kiralah melayu dan bukan melayu) menerima pendidikan itu dengan ikhlas atau sekadar 'terpaksa' bagi memudahkannya menduduki peperiksaan? Demikian juga kepada tenaga pengajarnya, apakah mereka (guru-guru) mengajar dengan 'ilmu' dan penyampaian yang cukup mantap atau sekadar memberi info bagi memudahkan muridnya menjawab kertas soalan peperiksaan.
            Sejajar itu juga, adakah pendidikan perlembagaan perlu dititipkan di sekolah rendah dengan beranggpan (barangkali) pendidikan kenegaraan sedia ada termasuk penerapan dan pemahaman terhadap rukun negara sedia ada masih tidak mencukupi?
            Rasionalnya, bagi saya untuk di sekolah rendah tidaklah perlu diajar ilmu perlembagaan negara itu ke tahap yang mendalam. Perkara asas sudah memadai. Mampukan murid-murid yang berusia antara 5 tahun dan 12 tahun itu menerimanya?
            Seperti juga rukun Islam, ketika di sekolah rendah anak didik telah diajar perkara-perkara asas tetapi kita yakin dengan seasas itu ia sudah mampu membawa kanak-kanak itu mendirikan sembahyang dan puasa. Dan, mereka akan terus mendalaminya ketika belajar ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di sekolah menengah dan seterusnya.
            Maknanya, didikan asas dan fahaman telah diberi dengan jelas. Apa yang berlaku adalah kedegilan. Sama seperti sembahyang dan puasa, meskipun sudah memahaminya adakah semua umat Islam itu bersembahyang dan berpuasa atau cukup sembayangnya lima waktunya terutama setelah mereka akil baligh?
            Di sekolah jenis kebangsan (Cina dan Tamil) pun hal sama berlaku di bawah satu kurikulum dan satu buku panduan (pendidikan KT). Soalnya, adakah guru di sekolah berkenaan memanfaat masa tersebut untuk tujuan itu atau mereka lebih rela menggantikan waktu pendidikan tersebut dengan subjek teras kerana menganggap ia sebagai subjek picisan yang tidak memenuhi ruang peperiksaan. Maaf, ini bukan satu tuduhan tetapi sekadar andaian dan kita harap ianya tidak berlaku begitu.
            Justeru, tiada sebab mengandaikan mereka yang menghina Yang DiPertuan Agong dan institusi raja-raja hatta menghina mana-mana pemimpin negara ini termasuk menghina negaranya sendiri hanya berandaikan kerana mereka tidak memiliki ilmu kenegaraannya. Kerana kesalahan (kesilapankah?) sistem pendidikan kita yang didakwa Zaini tidak menitik beratkan hal-hal sedemikian terutama perihal berkaitan perlembagaan negara.
            Apapun, saya tidak berhak untuk memaksa Zaini menarik balik pendirian yang tidak menyalahkan Melissa Gooi dan rakan-rakan sibernya, tetapi barangkali saudara Zaini boleh memikirkannya semula bahawa kedegilanlah yang mewujudkan manusia seperti itu kerana mereka di setkan mindanya sedemikian walau sejitu mana sekalipun info dan fakta yang diterapkan kepada mereka. Timbul persoalan di sini, siapakah yang bertanggung jawab mensetkan minda mereka itu sehingga menggila kedegilannya? Bab yang ini kita kena duduk semeja membicarakannya kerana panjang ceritanya....
            Pun begitu, kementerian pelajaran tetap wajar dipersalahkan kerana sekian lama tidak menitik beratkan pendidikan kenegaraan ini melainkan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Kerana apa? Kerana kita mempunyai terlalu banyak perkara yang hendak dikejar dalam satu-satu masa sedang ruang yang ada begitu sempit.
            Fikirkan juga, jangan sampai anak-anak kita sakit jiwa merana otaknnya kerana dibebani dengan pelbagai subjek dan tugasan yang pada pemikiran pemimpin --- demi menyediakan generasi yang berdaya maju.


Jagindas:    Ramai rakyat kita yang tak hormat lagu Negaraku...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.