Sabtu, 16 November 2013

NEGARA PERLUKAN JELAPANG PADI BAHARU

BERAS: negara perlukan jelapang padi baru
Kedah Bukan Lagi 'Jelapang Padi' Masa Depan

DALAM sebuah akhbar melayu tempatan semalam, tercatat peringatan mantan Perdana Menteri (PM), Tun Mahathir Mohamad (Tun M), suapaya kerajaan terus memelihara dan memastikan Kedah tetap sebagai Jelapang Padi bagi menampung keperluan rakyat terutama ketika saat-saat genting apabila negara pengekspot mengalami bencana seperti peperangan.
            Secara tegasnya, Tun M mahu Kedah terus menjadi pengeluar padi dan beras utama negara seperti yang tercatat dalam sejarah bermulanya Tanah Melayu. Pada masa sama beliau menegur supaya teknik penanaman dan penghasila padi di negeriitu dipertingkatkan supaya setanding dengan pengeluaran padi di negeri-negeri bukan jelapang seperti Selangor dan Perak (berita penuh baca di sini)
            Yang penulis bersetuju dengan peringatanTun M ini hanyalah bahagian di mana beliau mahukan teknologi meningkatkan hasil tanaman bagi setiap relong atau hektar pesawah di negeri itu. Menurutnya, setakat ini pesawah di Kedah hanya mampu menghasil 6 tan padi berbanding di Sekinchan pesawah di situ mampu memperoleh sehingga 10 tan (barangkali maksud beliau untuk setiap hektar??).
            Untuk perbandingan selanjutnya, demikian jugalah hasil pendapatan padi di beberapa kawasan di Perak. Jumlah hasil per-hektar juga agak berbeza bagi setiap kawasan tetapi perbezaan itu adalah kecil. Ia melibatkan kawasan sawah  seperti di Krian, Langkap ( Ladang Chuchap), Seberang Perak dan Sawah Padi Trans Perak (Belanja - Lambor).
            Bagi penulis, dari sudut keluasan ladang adalah mustahil bagi kerajaan negeri dan pusat dapat mengekalkan jumlah keluasan sawah padi di Kedah kerana ia terpaksa bersaing dengan keperluan asas penduduk di negeri itu sendiri.
            Ini, berikutan perkembangan dan pertambahan rakyat negeri itu dari masa ke semasa. Dari segi teori ekonominya, apabila berlaku perkembangan penduduk makanya berlakulah permintaan tanah untuk penempatan dan bandar baru mahupun mengembangkan bandar sedia ada.
            Jika keluasan 'jelapang' itu mahu dikekalkan juga, maka rakyat Kedah mesti bersedia untuk keluar dari negeri itu dan menetapkan (dikonstan atau ditambah) jumlah sawah serta bilangan petani yang berkepentingan sahaja.
            Namun hakikatnya, ladang atau jelapang padi di Kedah hari ini, memang sudah mengecil dan dijangka akan terus mengecil berdasarkan kepesatan pembangunan teknologi dan peradaban infra ekonomi moden. Banyak tanah sawah yang sudah di convert title-nya kepada tapak sekolah, perkilangan, dan perumahan selain penempatan bandar-bandar baru. Ini adalah keperluan asas yang terpaksa dan memaksa kerajaan negeri berbuat demikian selain daripada berikutan lunturnya minat generasi baru terhadap aktiviti pertanian seperti bersawah padi.
            Justeru, rayuan Tun M terhadap masalah itu bagi saya bagaikan 'sebuah mimpi yang tidak akan menemui realitinya'. Yang itu penulis pasti. Bahkan, penulis fikir, Menteri Besar Kedah sekarang pun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, juga bersetuju dengan pandangan penulis ini. Kerana, apa yang penulis kata itu adalah fakta tampak dan dirasai oleh rakyat Kedah sendiri tanpa ragu.
            Ini bermakna, kerajaan tidak lagi boleh menumpu atau meletakkan tanggung jawab pembekal padi dan beras negara kepada Kedah sebagai 'jelapang padi'. Semua negeri di Semenanjong Malaysia lambat laun akan mengalami proses yang sama. Terpaksa! Pembangunan apa sekalipun tidak akan mampu bersifat syumul dan adil melainkan akan mengorbankan satu atau lebih apa yang kita sayang dan hargai.
            Justeru, kerajaan pusat sewajarnya bersedia memindahkan 'mahkota' jelapang padi itu ke satu tempat lain yang masih luas serta boleh bertahan lebih lama untuk menjadi pengeluar padi dan beras negara, misalnya di Sabah dan Sarawak.
            Pelbagai agensi terbabit sewajarnya sudah dengan serius berusaha, bersedia dan cukup tenaga serta prasarana untuk membuat kajian tanah dan infra bagi memindahkan semua teknologi berkaitan padi dan beras ke negeri tersebut.
            Memang benar, usaha-usaha ke arah itu sudah dan sedang bermula. Namun apa yang diharapkan adalah ia harus disegerakan. Kerancakannya seharusnya mendahului masa. Kita tidak mahu nanti, negara akan kelam kabut membangunkan industeri tersebut di saat-saat negara dalam keadaan 'nazak' mengahadapi isu padi dan beras tempatan.
            Saya amat setuju kata Tun M, bahawa negara perlu ada kesedaran dan kesiapsiagaan awal terhadap stok bahan makanan asas itu sebelum negara-negara pengekspot tempat kita bergantung selama ini seperti Thailand, Burma, Kemboja, vietnam, Indonesia dan lain-lainya dilanda krisis -- sama ada krisis dalaman mahupun bencana dan malapetaka seperti perang.
            Justeru itu, agensi-agensi yang terbabit dengan pertanian dan insdusteri berkaitan perlu digerakkan segera jangan sampai menunggu dahi terhantuk barulah terpinga-pinga menengadah menyalahkan bendul yang melintang.


JagindasTeringat masakan tepek pisang awak yang emak buat untuk bekal ke sekolah...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.