Khamis, 20 Mac 2014

HAIRAN MASIH BELUM DIJUMPAI

Meski Guna Alatan Berteknologi Tinggi

MISTERI kehilangan pesawat B777-200 MH370 milik negara (MAS) sehingga ke hari ini memang benar-benar misteri. Pakar-pakar mencari dan menyelamat dari seluruh dunia masih gagal memastikan lokasi dan situasi pesawat itu melainkan masih menyifatkannya sebagai ‘misteri’.
            Bekas perdana menteri, Tun Mahathir, yang tidak terkecuali mengikuti perkembangan kemisterian itu baru-baru ini turut melahirkan rasa hairannya berikutan hampir semua peralatan yang berteknologi canggih digunakan namun pesawat itu masih belum diberi sedikit ‘tanda-tanda’ untuk ditemui.
            Beliau berkata demikian kerana menurutnya peralatan secanggih itu sebelum ini dakwanya mampu menjejaki apa jua objek walau sekecil seperti manusia dan di mana ia berada.
            Jika dipandang selapis maksud kata-kata beliau itu, mudah sahaja untuk menjawabnya: “Secanggih dan sepintar mana sekalipun manusia di alam maya ini, jika Allah tidak mengizinkan, apa pun tidak akan berlaku”.
            Begitupun, bagi penulis kata-kata Tun M itu lebih bersifat retorik dan sinis yang barangkali ditujukan kepada beberapa negara tertentu. Ini kerana sebelum inipun dunia pernah dikejutkan dengan pelbagai peristiwa ngeri dan dahsyat yang berlaku dan dilakukan kononnya atas nama “keganasan dan pengganas” namun pelaku atau peneraju utamanya dapat dikesan oleh pihak terbabit meskipun berada dalam gua di tengah benua.
            Justeru, tentulah pelik dan hairan bagi Tun (malah rakyat dunia sekalipun) jika peralatan yang sama itu masih gagal mengesan pesawat MH370 yang besarnya berkali ganda berbanding seorang manusia. Malah barangkali tidak ada gua yang boleh menyimpan pesawat sebesar itu. Demikian juga jika pesawat itu sekalipun telah terbenam di dasar lautan, masa kan peralatan dan teknologi canggih sedia ada masih gagal mengesannya.
            Secara jujurnya menyingkap kembali kata-kata Tun itu; Pertama, benarlah bahawa sekuat dan sepintar mana manusia di dunia ini, ia tidak akan mampu mengatasi kuasa Allah dan kehendak-Nya. Kedua, barangkali ia dimaksudkan apakah sebenar-benarnya peralatan tersebut telah dimanfaatkan sepenuhnya secara maksimum dan optimum bagi mengesan pesawat yang hilang itu. Dan ketiga, barangkali apakah mungkin ada maklumat yang masih disembunyi oleh pihak tertentu atas sebab-sebab mereka sahaja yang tahu.
            Jadinya, fikir-fikirkanlah kata-kata Tun yang sependek dan sesinis itu dalam konteks kes mengesan kehilangan MH370 berbandiing mengesan lokasi ‘pengganas’ yang telah mampu dihapuskan oleh pihak berkenaan.
            Apapun, dapatan pengesanan yang dibuat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Australia semalam yang menjejak dua objek di 2,300km dari Perth diharapkan menjadi noktah pencarian pesawat malang itu berserta 239 penumpang dan anak kapalnya.
           


Jagindas:  Teruskan berdoa...! Hari ini nasib mereka, masa depan kita pula belum tahu entah bagaimana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.