Isnin, 5 Mei 2014

TENTANGAN TERHADAP GST DAN HUDUD

Kerana Sistem Penyampaian Yang Lemah

ANTARA perkara yang menjadi heboh di kalangan rakyat Malaysia hari ini adalah isu Cukai Barangan Dan perkhidmatan (GST) dan Hukum Hudud. GST diilhamkan oleh kerajaan setelah mengambil kira kebaikan dan faedahnya kepada negara dan rakyat berdasarkan lebih 160 negara yang telah mengamalkannya manakala ‘hudud’ pula hasil perancangan parti Pas yang didakwanya merupakan salah satu daripada hasrat parti itu dalam usaha merealisasikan sistem perundangan (jenayah) Islam sesuai dengan konsep dan prinsip negara ini yang meletakkan Islam sebagai agama resmi.        
             Negara Brunei yang sudah pun menguatkuasakan hukum hudud mulai 01 mei, 2014 (01 Rejab 1435) lalu sedikit sebanyak menguatkan lagi iltizam Pas untuk melaksankannya paling tidak di negeri-negeri yang diperintah oleh Pas atau Pakatan Rakyat. Antara isi kandungan hudud di Brunei baca di sini.
            Majoriti orang melayu telah menunjukan raksi berbeza terhadap ke dua-dua isu itu. Bagi menentang GST, satu perhimpunan jalanan telah dilakukan di Kuala Lumpr pada 01 Mei lalu bertepatan pula sempena sambutan hari pekerja. Namun, bagi isu hudud setakat ini ia hanya dilihat perbahasan mulut antara pemimpin dan di kedai-kedai kopi tetapi tidaklah (belum lagi ?) sehingga dizahirkan menerusi demonstrasi untuk menentangnya. Pun begitu, kita percaya bukan sahaja di kalangan orang Islam, mereka yang bukan Islam juga tentunya tidak menyetujui hudud dilaksanakan meskipun di negeri yang diperintah Pas.
            Mengapa berlaku pertentangan sedangkan kedua-dua pihak yang beriltzam untuk melaksanakan GST dan Hudud nampak jelas kebaikannya kepada rakyat dan negara?
            Jawapan mudahnya, kerana rakyat tidak diberi penjelasan yang terperinci,lengkap serta padat mengenainya. Kerajaan atau pihak terbabit hanya bercakap besar-besaran menerusi media dan akhbar yang amat terbatas pendedahannya. Kalau ada pun, barangkali media-media baru cuba membantu menjelaskannya menerusi blog-blog dan sebagainya. Barangkali juga masih ramai kalangan menteri dan ahli-ahli yang berhormat pun yang masih teraba-raba untuk memperkatakan kedua-dua isu tersebut dengan jelas.
            Berapa kerat sangatkah rakyat yang membaca akhbar, membaca dan menelaah media-media baru? Dan benar-benar fahamkah mereka jika membacanya atau akan dan telah berlaku fahaman songsang?
            Baik macam mana sekali pun GST dan hudud ini, ia tetap isu besar yang memerlukan penjelasan yang amat teliti. Kalau kita masih ingat ketika pemerintahan Tun Mahathir (Tun M), di zamannya pernah wujud beberapa isu besar dalam negara antaranya seperti isu di mana kerajaan memutuskan untuk mengehadkan kuasa raja-raja.
            Apabila Tun M mula bercakap tentangnya, negara  menjadi riuh rendah sehingga ada yang membuat kesimpulan bahawa itu adalah titik permulaan Tun M untuk menghapuskan sistem beraja di negara ini. Riuh satu Malaya! Justeru, apa yang Tun M buat?
            Beliau telah menjelajah ke seluru negara menjelaskannya kepada rakyat – sebab mursabab, kepentingan serta nilai tambah yang mahu dibuatnya terhadp sistem beraja di negara ini. Sebab, Tun M yang lebih mengetahui berikutan idea itu datang daripadanya. Beliau menyampaikannya dalam bahasa yang paling mudah difahami yang akhirnya rakyat akur.
 Terlebih dahulu, para menteri dan yang berhormat telah diberi kefahaman lengkap mengenainya meskipun pada permulaannya ada yang ragu-ragu! Itu langkah utama dan pertama yang dibuat olehnya setelah beliau (Tun M) memikirkannya dari pelbagai sudut sebelum beliau membuat keputusan untuk mendapatkan sokongannya di Parlimen.
            Ketua Kampung (termasuk JKKK), Penghulu, Pegawai Daerah, wakil-wakil rakyat kita adakah sudah betul-betul diberi kefahaman dan ilmu terhadap kedua-dua isu itu? Kalau mereka pun masih ‘mantah barut’ terhadap isu tersebut, apakah info yang dapat diturunkannya kepada rakyat jelata?
Menurut Datuk Shafie Afdal beliau baru hendak menggerakkan jentera untuk menabur ilmu dan pengetahuan GST kepada Jawatankuasa Kerja dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedang rakyat sudah riuh rendah sekian lama dan tahun 2015 akan menyusul beberapa bulan sahaja lagi? Baca di sini.
            Kenapa saya kata begitu? Sejak beberapa bulan lalu hinggalah ke hari ini, apabila penulis berbual-bual dengan beberapa rakan yang berniaga (berbisnis), boleh dikatakan mereka menyifatkan GST bakal menyusahkan rakyat kerana banyak barangan yang akan dikenakan cukai berganda. Itulah fahaman yang ada pada mereka sekarang. Makanya, sebab itu ia ditentang dan dan cabar!
            Meski media-media cetakdan elektronik ada memaparkan maksud GST, jelas mereka sebenar masih kurang atau tidak faham langsung. Itu pandangan orang berniaga. Bagaimana pula rakyat marhaen? Mereka berhubung terus dengan peniaga-peniaga bagi mendapatkan keperluan harian dan itulah juga fahaman yang disumbat oleh peniaga-peniaga kepada pelanggannya! Dan, sesuatu yang terlebih dahulu melekat di pemikiran itulah yang kelak menyusahkan kerajaan untuk memperbetulkannya. Kenapa? Kerana racun masuk terlebih dahulu. Sebab, pihak bertanggungjawab lambat bertindak menyampaikan maklumat tepat bagi isu-isu besar seperti ini ke akar umbi.
            Demikian juga, mengapa perlu takut dengan hudud (hukuman jenayah)? Mengapa hukuman gantung bagi mereka yang terbukti melakukan jenayah sebagai pengedar dadah dan pembunuh tidak ditentang. Ia juga sebuah hukuman yang membabitkan nyawa tanpa mengira bangsa dan agama. Jadi, sekali lagi kita bertanya; mengapa hudud? Jawapan mudahnya kerana DIA TIDAK FAHAM. Justeru...?


Jagindas: Syukur Malaysia masih aman....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.