Jumaat, 29 Jun 2012

SAMAN MANDATORI! BARU DIA ADA AKAI...

Pembentangan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini terhadap Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang antaranya bertujuan menaikkan kadar denda beberapa kesalahan jalan raya menjadi topik perbincangan geng sembang petang, semalam.
            Tingkah laku yang disifatkan sebagai kebiadapan pengguna jalanraya yang telah banyak mengakibatkan nyawa terkorban dan kecacatan anggota mangsa kemalangan tidak lagi boleh dipandang sambil lewa oleh semua pihak sebaliknya kerajaan sewajarnya mengenakan denda yang lebih keras dan mandatori.
            Menurut rakan saya, ini kerana, setelah bermacam-macam usaha, kempen dan didikan diberikan kepada masyarakat negara ini, namun  kesannya agak mengecewakan malah adakalanya pengguna bagaikan mencabar keberkesanan undang-undang yang telah digezetkan.
            Justeru  kami berpendapat, pesalah terbabit hendaklah dikenakan tindakan undang-undang secara mandatari dengan kadar yang lebih tinggi. Sebagai contoh, jika pemandu berlesen yang memandu tidak memakai tali pingang keledar boleh dikenakan denda mandatori RM300, mengapa perlu pula pemandu yang tidak berlesen diberikan dendaan pilihan.
            Logiknya, kesalahan memandu tanpa lesen walau sesopan santun mana sekalipun adalah lebih serius berbanding mereka yang berlesen sah. Pertimbangan kepada kesalahan pertama dan sebagainya yang dilakukan oleh pelaku hendaklah diabaikan.
            "Tak perlu diberi hukuman pilihan, terus sahaja kenakan denda RM2,000 bagi semua kesalahan trafik dan bagi kesalahan memandu tanpa lesen sah RM3,000 mandatori", itu yang dirumuskan oleh rakan sembang petang ini.
            Malahan dalam kes ini, kerajaan diharapkan menguatkuasakan undang-undang terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan kenderaan bermotor mereka dipandu oleh orang yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah sama ada kebenaran itu diberikan secara sedar mahupun atas kecuaiannya sendiri.
            Lebih-lebih lagi,  kerajaan perlu mengambil tindakan serta merta terhadap ibu bapa atau mana-mana pemilik kenderaan yang membenarkan anak atau kanak-kanak bawah umur menggunakan kenderaan mereka.
            "Kalau tidak silap, undang-undang ini sudah ada jadi kita perlu dikuatkuasakan demi mendisiplinkan pemilik kenderaan bermotor? Untuk masa akan datang, pihak berkuasa dan pendakwaraya perlu mengenakan tindakan kepada mereka terbabit secara automatik apabila disabitkan dan dikenakan tindakan mandatori juga", katanya yang kesal tindakan ramai ibu bapa yang sewenang-wenangnya membenarkan anak-anak mereka yang masih di bawah umur menunggang motosikal yang kerap dilihat di kampung dan di taman-taman perumahan.
            Bagi saya, meskipun cadangan itu nampak keras, namun kita sudah tidak ada pilihan lain untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya dan pemilik kenderaan untuk lebih bertanggung jawab setelah bermcam usaha dilakukan kerajaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
             Undang-undang yang dibina bukan untuk menjaga kepentingan sebelah pihak sahaja malah ia adalah untuk kepentingan semua. Justeru, sampai masanya kerajaan perlu mengajar rakyat negara ini menghargai keselamatan diri sediri dan juga orang lain  menerusi penguatkuasaan undang yang bersifat mandatori.
            Ini kerana, semakin diberi peluang dan ruang untuk memilih, nampaknya sikap rakyat kita semakin mengada-ngada. Oleh itu, kerajaan tidak perlu teragak-agak untuk melaksanakan undang-undang baru tersebut demikian juga kepada pihak berkuasa janganlah teragak-agak untuk mengambil tidakan kepada pesalah terbabit.



Jagindasbaru lepas bayar saman RM300 kerana tak pakai tali pinggang keledar.., hehehe lari bajet weh bulan ni!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.