Jumaat, 6 Julai 2012

Jagindas mengulas: MENTERI BESAR BAKAL BERDEPAN DESAKAN "ORANG SAYA" - bhg. 1


ada YB yang sudah melahirkan suara merajuk..


ENTAH bila pilihanraya, tidaklah dapat dipastikan. Hanya Datuk Seri Najib Tun Razak,  sahaja yang tahu. Namun, cakap-cakap pilihanraya telah pun bermula. Cerita-cerita angin syurga dan bunga-bunga rajuk-merajuk juga telah mula menyerikan meja perbualan terutama di kedai- kedai kopi.
            Ada khabar menggelikan sampai ke telinga saya memberitahu terdapat ura-ura seorang Yang Berhormat (YB) kononnya akan bertanding atas tiket Bebas pada pilihanraya ke 13 (PRU13) nanti sekiranya nama beliau tidak dicalonkan semula. Entah ya entah tidak. Kadang-kadang rumus politik di kedai kopi ini lebih ribut angin dari ribut! Namun, jangan pula diambil ringan.
            Menurut sumber, orang-orang YB berkenaan masih mahukan beliau menjadi wakil rakyat ditempatnya. Namun pada masa sama ada desas-desus mengatakan nama beliau mungkin akan terkeluar untuk PRU13 nanti. Tidak tahu pula apa sebabnya. Yang pasti, kalau benar berlaku mesti ada sebabnya. Paling tidak mungkin sudah lama...
            Memang setiap YB tentu ada pengikut atau penyokongnya. Namun, apakah YB berkenaan telah meneliti berapa orangkah sebenarnya yang didakwanya penyokong yang masih memerlukan khidmatnya? Kalau melebihi 90% kira ok lah, tapi kalau 9% sahaja macam mana?
            Misalnya, kalau pengundi di tempatnya ada 5,000 orang sedang penyokong tegar dia cuma 500 orang, apakah alasan itu mampu mempertahankan kehendaknya dan menjamin kemenangan?
            Kalaulah benar gosip seperti itua, apa yang jelas adalah sikap YB tersebut masih tidak memahami signal yang diberikan oleh pihak atasan. Apabila seseorang YB tidak lagi disenaraikan dalam pilihanraya berikutnya, tentulah ada sebab-sebabnya selain dari parti mahu memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
            Tindakan segera yang diambilnya dengan melahirkan hasrat berpaling tadah (guna tiket bebas atau lain-lain) itu menampakkan kerakusan dan ketidaksetiaan beliau terhadap parti yang pernah meletakkannya sebagai YB.
            Barangkali aura Tok Him (Datuk Ibrahim Ali, MP- Bebas, Pasir Mas, Kelantan) telah meresap ke sanubari YB berkenaan. Kalau begitulah yang difikirkan, silap besarlah anda, YB. Percaturan Tok Him berbeza dengan pengundi di kawasan YB. Amat berbeza!
            Oleh itu, apa pun agendanya, kepimpinan parti hendaklah berhati-hati terhadap orang seperti ini dan jika ada peraturan yang membenarkan, maka cantaslah orang tersebut daripada UMNO selama-lamanya. Jangan diterima lagi sebagai ahli pejuang bangsa hatta dia bertaubat nasuha menyembah kaki presiden sekalipun.
            Inilah senario buruk sesetengah sikap politik orang melayu yang terdapat dalam UMNO. Keadaan sama pun nampaknya sudah berjangkit dalam parti-parti lawan. Pendek kata, bila tiba bab nak jadi calon, senario seperti itu akan berlaku kerana yang ghairah tidak dapat menahan nafsu dan membendung keakuannya.
                  Kalau kita masih ingat, ketika Perak kelam kabut di terajui pembangkang selepas PRU12, seorang wakil rakyat BN telah mengisytihar keluar BN dan menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR). Hanya sebentar, dan beberapa hari selepas itu dia kembali insaf. Kerana ketika itu kita memerlukan sokongan untuk memerintah, maka kembalinya beliau kepangkal jalan diterima. Namun, ahli UMNO seperti inikah yang layak bercakap tentang perjuangan agama, bangsa dan negara? Fikirkan sehalus-halusnya.
            Bagi saya kita biarkanlah mereka dari puak pembangkang itu. Yang kita nak pertahankan keharmoniannya adalah mereka yang layak menjadi calon dari kalangan ahli UMNO supaya tidak berlaku perebutan, kecil hati lalu merajuk langsung beralih arah.
           
Jagindas:   ada yang sebelum jadi YB bukan main berapi-api, bila dah duduk di kerusi menyakitkan hati!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.