Isnin, 24 September 2012

ORANG MELAYU LUPA DIRI


Salah Siapa?
Bukan untuk mencari salah sesiapa tetapi itulah hakikatnya

Tun Mahathir kata, orang melayu sudah lupa perit jerih dan derita ketika dijajah orang putih, Jepun dan komunis menyebabkan suasana politik dan perjuangan orang melayu terhadap bangsa dan negaranya bagaikan tidak ada fokus yang tepat.
            Beliau melahirkan rasa sedih itu melihatkan orang melayu sanggup bergaduh sesama sendiri, rela dipecah belah serta diadu domba oleh pihak lain hanya semata-mata untuk merebut kuasa  di sini.
            Banyak sebabnya mengapa melayu jadi begitu terutama sejak akhir-akhir ini. Orang melayu terutama generasi hari ini bukannya lupa tetapi memang mereka tidak memahami sejarah negara secara tepat. Lupa bererti pernah melalui atau melihat sesuatu peristiwa tetapi kemudian melupakannya atau buat-buat lupa atas sebab-sebab tertentu.
            Sedangkan generasi hari lahir dalam zaman dunia sudah terbuka dan merdeka. Manakalah jumlah orang melayu yang sezaman dengan Tun hanya tinggal beberapa kerat sahaja lagi.
            Ketika sistem pendidikan menengah terpecah dua dengan aliran sastera dan sains, pelajar-pelajar aliran sains boleh dikatakan langsung tidak menyentuh sejarah negara. Kalau ada pun hanya dari penceritaan kawan-kawan atau orang-orang tua dan terlalu sedikit yang mendapatkannya menerusi pembacaan sendiri.
            Kemudian, pendidikan sejarah di negara ini dirosakkan pula apabila ia dikeluarkan terus dari jadual akademik di sekolah rendah bermula seawal tahun 1980an hingga sekarang manakala teks kandungan sejarah di sekolah menengah pula dilembutkan konon bagi menjaga perasaan antara kaum. Tindakan ini mungkin dibuat atas prinsip pendidikan sebagai alat penyatu bangsa negara dan mana-mana yang sensitif akan cuba tidak disentuh sama sekali.
            Dan, inilah generasi yang membesar sekarang. Malah mereka juga telah dilahirkan dalam keluarga di mana ibu dan bapa mereka juga amat lemah pengetahuan sejarahnya terhadap negara sendiri.
            Justeru, kita tidak boleh menyalahkan genarasi melayu ini kerana mereka tidak memiliki bekalan itu sejak bermula dilahirkan. Sebagai contoh terdekat, saya sendiri kerap berbincang dengan anak-anak yang sedang remaja kini mengenai sejarah negara.
            Memang saya lihat pengetahuan mereka amat tipis. Namun, bertuahlah mereka kerana saya memiliki pengetahuan itu dan dapatkan mereka mendalami sesuatu tentang peristiwa dalam negara mereka terutama bagi perihal-perihal yang tidak terkandung dalam teks.
            Persoalannya, berapa ramaikah orang melayu yang mampu berbuat demikian terhadap ahli keluarga sendiri. Mungkin ada yang berhasrat untuk menyampaikannya kepada anak-anak tetapi malang kerana diri sendiri tidak mempunyai pengetahuan yang luas terhadap sejarah.
            Guru-guru kita juga adalah dari generasi moden yang juga tidak begitu mantap pengetahuan sejarahnya kecuali yang mengambil pengkhususan bidang sejarah ketika di institut pengajian tinggi.
            Jangan anggap mudah untuk mengajar pendidikan sejarah. Guru bukan sahaja perlu ada pengetahuan dan ilmu berkenaan malah mereka juga perlu memahami sesuatu peristiwa itu dengan mendalam sehingga dapat menyelami hal-hal yang tersirat. Seperti juga mengajar pendidikan Islam. Sesorang guru agama itu perlu lebih bersedia terutama yang membabitkan kemusykilan dan sebagainya.

Jagindas:  KITALAH sebenarnya terlupa betapa pentingnya pendidkan sejarah itu. Baru sekarang nak berkisah-kisah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.