Rabu, 21 November 2012

PEMANDU TEKSI PULANGKAN RM2.7 JUTA

SIA KA TIAN..... Amanah

Ka Tian Wajar Terima Penghargaan Negaranya

SIA KA TIAN, 70, sudah mencecah 31 tahun berkerjaya sebagai pemandu teksi di negaranya, Singapura. Ketika usianya kini  7o tahun, sepatutnya beliau  boleh membina hidup senang meniti hari tuanya jika dia memiliki simpanan sebanyak Singapura$1.1 juta (RM2.7 juta).
            Beberapa rakan sebaik sahaja membaca kisah pemandu veteran ini (klik di sini) memberikan pandangan yang berbeza-beza. Ada yang kata Ka Tian bodoh. Ada yang kata Ka Tian nak tunjuk baik konon. Ada yang kata demi publisiti kecil Ka Tian sanggup pulangkan wang itu kepada pemilik (penumpang) yang tertinggal dalam teksinya. Macam-macam rasa dan anggapan timbul. Rasa ini timbul sebab jumlahnya besar! RM2.7 Juta.
            Dari reaksi rakan-rakan penulis itu, meskipun mereka meluahkannya secara berseloroh, dapatlah disimpulkan bahawa memanglah susah untuk mendapatkan orang yang amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.          
            Kebanyakannya mudah gelap mata. Ya, RM2.7 juta bukan nilai yang kecil. Seorang pegawai kanan kerajaan pun kalau dia berkhidmat selama 31 tahun kemudian bersara, dia juga tidak mampu menyimpan sejumlah itu sehingga di akhir perkhidmatannya.
             Sebelum ini penulis beberapa kali menyelitkan dalam tulisan di blog ini tentang bagaimana akal membentuk kemanusiaan seseorang meskipun manusia itu memiliki ilmu yang tinggi (sama ada ilmu dunia mahupun ilmu akhirat).
            Barangkali Ka Tian bukanlah terdiri dari kalangan mereka yang berpendidikan tinggi. Namun, oleh kerana kewarasan akal budinya maka dia telah memilih jalan memulangkan wang yang dijumpainya itu kepada yang berhak.
            Dia tahu bahawa meskipun sudah berusia 70 tahun, namun dia perlu menghabiskan sisa-sisa hidupnya di atas kehidupannya sendiri dan bukan daripada penderitaan orang lain.
            Penulis angkat topi kepada  Sia Ka Tian. Di tempat kita, usahkan wang terjumpa, malah duit kutipan zakat fitrah pun turut dikebas pengamanahnya. Paling tidak berstatus ustaz, imam atau bilal. Pendek kata ilmu agama serta batas halal haram, syurga neraka memang dia tahu. Tapi, akal tidak membantu iman dan ilmunya, lantas hanya beberapa ribu ringgit pun mereka sanggup membahamnya apatah lagi yang berjuta-juta.


Jagindas: Binatang tidak ada ilmu, tetapi mereka juga hidup dan berkembang kerana Tuhan memberikan mereka akal yang berbeza-beza....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.