Ahad, 13 Januari 2013

SAYANGILAH ANAK ANDA BERPADA-PADA

GAMBAR HIASAN

Orang Dewasalah Perisai Mereka Bukan Sebaliknya...

BARANGKALI, apabila ada kanak-kanak dalam perhimpunan tersebut maka akan sukarlah pihak berkuasa hendak melakukan sesuatu tindakan keras sekiranya pihak yang berhimpun melakukan sesuatu "keterlanjuran". Misalnya, kalau polis sembur gas pemedih mata dan kena pada kanak-kanak itu maka bertambah mudahlah mereka menuduh betapa zalimnya pihak berkuasa sehingga sanggup berbuat begitu kepada kanak-kanak.
            Mat Sabu kata, peserta terbabit tidak dapat meninggalkan anak-anak kecil mereka di rumah kerana tiada pengasuh atau orang yang diharap untuk menjaganya. Senangnya Mat Sabu memberikan alasan bagi pihak ibu bapa tersebut.
            Bermakna, biarlah anak mati atau ditimpa malang dalam perhimpunan itu asalkan ibu bapanya merasa puas demi berkorban untuk penganjur perhimpunan berkenaan. Biar mati anak asal jangan mati politik? Begitukah?
            Walaupun kes ini dikatakan terpencil kerana bilangan ibu bapa yang berbuat demikian didakwa amat sedikit, tetapi sudah cukup menggambarkan penganjur gagal menghargai keselamatan kanak-kanak malah sanggup memperjudikan nyawa dan keselamatan kanak-kanak demi kepentingan politik mereka. Astaghfirullah...
             Jika penganjur benar-benar bertanggung jawab terhadap nyawa dan keselamatan kanak-kanak, mereka sewajarnya telah mengetatkan peraturan itu kepada pengikut mereka. Apakah bersalahan benar jika pihak terbabit melarang sama sekali ibu bapa sedemikian daripada menyertai perhimpunan itu?. Apakah dengan larangan seperti itu akan merosakkan majlis perhimpunan tersebut atau sehingga boleh menyebabkan kehilangan sokongan?
            Dan, jika selepas ini (esok atau lusa) ibu bapa berkenaan dipanggil untuk diambil tindakan undang-undang kerana telah melanggar syarat perhimpunan yang ditetapkan. Adakah pihak penganjur bersedia menerima secara terbuka tindakan kerajaan atau pihak berkuasa itu? Atau, ini juga akan dijadikan isu bagi meraih lagi simpati khalayak dengan mencipta pelbagai cerita dan sketsa lain asalkan khalayak melihat itu sebagai kezaliman pihak berkuasa.
            Walaupun kerajaan telah memberikan beberapa syarat termasuk memastikan perhimpunan dibuat secara aman tetapi itu bukanlah satu jaminan mutlak yang majlis perhimpunan itu semestinya berjalan dengan aman! Tiada siapapun yang boleh memberikan jaminan sedemikian. Syarat, peraturan dan undang-undang adalah satu garispanduan yang wajar dipatuhi demi menjaga keselamatan dan kepentingan awam. Tetapi, ia tetap bukan sebagai satu jaminan yang mutlak. Perhimpunan berlaku secara dirancang dan terancang namun ketidak berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini cumalah satu kebetulan bukan ketetapan yang bersandarkan syarat, peraturan dan undang-undang tadi. 
            Sebagai sebuah pakatan yang mengakui bijaksana tidakkah tingkah laku seperti ini tiada dalam pemikiran sarjana tuan-tuan? Di manakah akal budi saudara-saudara lebih-lebih lagi ibu bapa kanak-kanak terbabit terhadap keselamatan dan masa depan anak sendiri. Anak yang belum tahu apa-apa, yang baru hendak mengenal dunia. Kanak-kanak yang asalnya dilahirkan sihat, segar bugar tetapi berkesanggupankah tuan-tuan membesarkannya sebagai orang yang cacat. Cacat yang disengajakan di atas kehendak ibu bapanya sendiri!  Atau lebih malang lagi jika kanak-kanak itu mati dilenyek oleh ribuan manusia yang juga atas kehendak ibu bapanya sendiri berikutan insiden kejadian yang tidak diingini di perhimpunan tersebut.
            Sedarlah, apa yang berlaku hari ini adalah secara kebetulan. Cukup-cukuplah menyiksa anak-anak yang masih belum tahu apa ronanya hidup ini. Orang dewasalah yang sepatutnya menjadi perisai kepada anak-anak bukan sebaliknya menggadaikan nasib kanak-kanak untuk kepentingan orang dewasa.
            Tidak sampaikan pemikiran dan akal saudara-saudara ke peringkat itu?
           

Jagindas: Malang sungguh kanak-kanak itu kerana....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.