Sabtu, 9 Februari 2013

BENARKAH PENGUNDI ADA DISEDIAKAN SUBSIDI TAMBANG?



Ramai Merajuk Kerana Dakwa Kena Tipu!

BAHANG PANAS dan kadang-kadang meniupkan angin seram sejuk sudah mula amat terasa. Sambutan Tahun Baru Cina kali ini bagaikan batu sempadan untuk membilang urutan 10 ke 0 bagi membuka mulut Datuk Seri Najib mengisytiharkan pembubarkan parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebagai menandakan tamatnya sesi penggal ke 12 ini.
            Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah penuh yakin urusan mereka telah selesai dan bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk melaksanakan proses pilihanraya. Meskipun, pada masa sama pengerusi SPR mengakui urusan daftar pengundi yang disediakan oleh pihaknya tidaklah "menjamin" 100 peratus bersih atau 'zero' kesilapan, namun, SPR yakin pilihanraya kali ini memang akan dilaksanakan dengan penuh telus dan bersih. Pelbagai langkah telah dirangka bagi memastikan Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) berjalan dengan lancar.
              Di peringkat akar umbi, pihak-pihak parti yang bertanding juga telah menyatakan kesiapsiagaan masing-masing menghadapi hari-hari penentu merealisasikan mimpi yang diulit selama ini. Hanya menunggu nafiri tanda bermulanya 'peperangan'.
            Kempen dan rayuan juga berjalan tanpa henti. Apa sahaja yang boleh membawa 'keuntungan'  kepada parti akan digunakan. Apa sahaja!. Sehingga terkadang ada yang terbabas ketika asyik menelusuri kempen-mengempen lalu memecah peradaban.
            Namun, di satu sudut ada suara sumbang yang mengungkit pihak parti yang bertanding semacam mengetepikan atau mengabaikan pengundi di kawasan masing-masing yang menetap di tempat atau negeri lain. Misalnya, seseorang akan mengundi di Ipoh tetapi dia tinggal di Johor Baharu kerana berkerja di sana.
            Walaupun, kempen dan galakan kembali ke kawasan masing-masing untuk mengundi telah dan sedang diperhebatkan namun menurut mereka daripada pengalaman lalu,  kehadiran pengundi-pengundi terbabit bagaikan tidak bererti bagi parti-parti bertanding  terutama parti teras yang menunjangi kerajaan sekarang. Kumpulan ini dianggap bagaikan melukut di tepi gantang.
            Kononnya, parti-parti ada menyediakan sedikit subsidi tambang kepada pengundi berkenaan tetapi apabila diminta,  pihak-pihak yang bertanggung jawab masing-masing mengelak. Penulis pun tidak pasti dari mana duit itu datang. Cuma, petugas memahamkan kononya orang dari luar yang balik untuk mengundi memang ada disediakan sedikit subsidi sebagai mengenangkan pengorbanan mereka itu. Ianya tidaklah mencukupi tetapi cukup sekadar 'pemanis' menghargai penat lelah mereka kembali ke kawasan masing-masing hanya semata-mata untuk mengundi.
             Jika subsidi tambang diandaikan RM50 bagi setiap pengundi seperti itu,  maka bagi suami isteri yang kembali balik kampung untuk mengundi sepatutnya menerima subsidi sebanyak RM100. Kira bagus juga, sekurang-kurangnya lepas jugalah buat makan minum di tengah jalan.
            Bayangkan pula, jika ada 100 pengundi yang balik dan mereka tidak diberikan subsidi maka sejumlah RM5,000 telah 'dihilangkan' oleh mereka (petugas pilihanraya) yang bertanggung jawab menguruskan hal itu. Padahal, dalam pertandingan seperti ini, SATU UNDI amat bermakna. Apatah lagi 100 undi! Kerana, untuk menang dan kalah hanya dengan SATU UNDI boleh merobah segala-galanya.
            Itu jika 100 pengundi dan subsidinya RM50. Bagaimana kalau sesuatu kawasan parlimen itu terdapat 500 pengundi yang terpaksa balik kampung untuk mengundi dan sejumlah RM25,000 itu juga 'dihilangkan' ?
            Justeru, tidak hairanlah daripada pengalaman lalu menunjuk sebaik sahaja selesai pilihanraya, mereka mendakwa ada petugas-petugas terbabit menukar kereta mereka daripada Proton Saga buruk kepada Mercedes. Biarpun mercedes terpakai tetapi prestejnya membeliakkan mata orang kampung melihatnya.
            Tidak pasti sama ada kes-kes terpencil seperti ini mendapat perhatian berat petugas-petugas pilihanraya atau tidak. Tetapi itulah yang penulis dengar antara perbualan menarik menjelang pilihanraya ini di warong-warong kopi.
            Ingat, satu undi boleh menyebabkan seseorang calon itu menang dan satu undi itu juga boleh menyebabkan calon itu tersungkur! Bersebabkan satu undi juga boleh mengubah sesebuah kerajaan yang memerintah!
            Justeru, kepada semua terbabit khususnya petugas-petugas pilihan raya dari semua parti bertanding, hargailah nilai SATU UNDI yang datang dari luar, maksudnya pengundi kita yang tinggal di luar.
            Berdasar pengalaman itu ada yang buat keputusan tida mahu balik mengundi, ada juga kata dia akan minta subsidi tambang dulu sebelum mengundi dan tidak akan mengundi jika mereka tidak beri.  Ada juga berkata, kalau mereka tak beri, dia akan....

Jagindas:  Sampai masnya menyebut peribahasa: Tepuk Dada Tanya Selera!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.