Rabu, 6 Februari 2013

BR1M ADALAH SUMBANGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

BR1M .. pemberian Kerajaan Persekutuan

Sesudah Diterima Janganlah Dicaci Hina...


MEMPERKATAKAN tentang sumbangan kerajaan kepada rakyat yang layak sebanyak RM500.00 menerusi program Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) bukanlah satu perkara asing lagi. Sebut sahaja BR1M seluruh rakyat sudah memahami. Mulai semalam dan jika tidak ada apa-apa halangan, hujung bulan ini selesailah pemberian kerajaan itu kepada mereka yang layak. Alhamdulillah.        
              Sekurang-kurangnya, menerusi BR1M ini rakyat turut merasai nikmat rezeki yang diperolehi negara. Benarlah, kata pentadbiran DatukSeri Najib bahawa kekayaan negara wajar dikongsi bersama dengan rakyat. Bak kata orang tua-tua, sedikit sama sedikit, banyak sama terada. Tapi dalam pada itu, rakyat pula janganlah lupa bahawa yang ringan sama-samalah kita jinjing manakala yang berat sama-samalah kita memikulnya.
            InsyaAllah, jika ini yang kita amalkan akan bertambah-tambahlah rezeki negara kita dan dengan itu akan berterusanlah sumbangan kerajaan kepada rakyatnya. Malah, pada masa akan datang jumlahnya mungkin lebih dari itu.     Cuma yang penulis kesalkan terhadap tanggapan murahan segelintir rakyat yang tidak tahu erti bersyukur dan sombong berikutan mereka terbabit mempermainkan sumbangan ikhlas kerajaan itu dengan pelbagai gelaran yang jelek. Namun begitu, RM500 tetap juga dikebasnya. Tersenyum-senyum tersengih-sengih ketika menerimanya! Memang dasar tidak tahu malu!
            Memasang telinga di kedai kopi petang tadi yang riuh dengan suara-suara gembira penerima BR1M, ada juga yang mentafsir maksud BR1M sebagai 'Beri Rasuah 1 Malaysia'. Panas juga telinga dibuatnya. Kalau itulah yang dia maksudkan, mengapa pula diambil dan diberi pulak anak bini makan hasil daripada wang tersebut? Kalau itulah yang dianggap maka haramlah jadinya. Sedangkan air teh jika diteguk dengan menganggap ia sebagai beer maka haramlah teh yang diminum itu walaupun tidak memabukan.
            Itu satu hal. Yang satu hal lagi pulak ada juga yang mendabik dada bahawa BR1M itu kononnya sumbangan UMNO kepada rakyat. Punyalah sengal dan sombongnya bahasa! UMNO mana ada duit sebanyak itu! Kalau ghairah sekalipun sebagai orang kuat Umno, kenalah faham supaya bahasa kita itu tidak menyinggung orang lain dan bangsa lain.
            Kalangan penerima yang bukan penyokong kerajaan tentulah merasa jijik mendengar dakwaan seperti itu. Begitu juga dengan orang-orang Cina dan India. Umno boleh beri sumbangan mengapa pula MIC dan MCA atau Gerakan tidak boleh menyumbang seperti itu? Nasib baik yang tidak faham itu hanyalah segelintir orang Melayu sendiri manakala yang lain memahami benar bahawa BR1M adalah sumbangan kerajaan Malaysia kepada rakyatnya. Ia adalah sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Malaysia yang layak. Bukan sumbangan daripada UMNO, bukan MIC, bukan MCA, bukan Gerakan dan bukan mana-mana parti pun.
            Terima kasih Kerajaan Malaysia.

JagindasMacam ini punya orang pun ada....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.