Rabu, 14 Ogos 2013

PENDUDUK BANTAH SNOOKER DI PASAR AWAM

Undang Masalah Sosial

BATU GAJAH: Orang ramai meminta Majlis Daerah Kinta Barat (MDKB) tidak menjadikan ruang niaga bahagian atas pasar awam yang baru di Batu Gajah dijadikan pusat snooker sebagai langkah alternatif agensi itu mengelak dari ruang niaga tersebut terbiar kosong atau membazir.
            Sebaiknya, masyarakat tempatan mahu MDKB mempelbagaikan bahagian atas (tingkat atas) bangunan pasar baru itu sebagai pusat perkhidmatan setempat untuk agensi kerajaan, swasta dan badan berkanun bagi memudahkan orang ramai membuat urusan masing-masing semasa membeli belah di pasar berkenaan.
            Menurut mereka sejak pasar awam baru itu siap, lot-lot niaga di bahagian atasnya terbazir begitu sahaja akibat terbiar berikutan tiada orang yang berminat menjalankan perniagaan di bahagian tersebut.
            Sehubungan itu, penduduk mencadangkan supaya lot-lot perniagaan di tingkat itu dijadikan pusat operasi agensi-agnsi tertentu seperti Bank Agro, pembayaran bil setempat, pos mini dan sebagainya.
            "Daripada dibiarkan kosong begitu sahaja, mengapa tidak dijadikan tempat masyarakat berurusan seperti pembayaran bil-bil, saman dan ansuran pinjaman bank.
            "Untuk tujuan itu agensi terbabit hanya perlu beroperasi antara pukul 8 pagi hingga 2 petang sahaja ia itu waktu di mana orang ramai berurusan di pasar awam ini. Pada masa sama memudahkan mereka menyelesaiakan hal-hal peribadi yang lain di satu tempat dan dalam satu masa," kata seorang peniaga di situ yang cuma dikenali sebagai Mamat.
            Mamat berkata, khabarnya MDKB telah bersetuju pada dasarnya menyewakan lot-lot di tingkat atas itu kepada seorang peniaga yang akan menjalankan perniagaan snooker.
            Katanya, jika khabar angin ini benar-benar terjadi, adalah amat malang bagi penduduk di sini kerana ia tidak memberikan manfaat yang besar kepada penduduk malahan mungkin mendatangkan banyak masalah sosial lain.
            Justeru, beliau meminta pihak berkenaan meneliti dengan serius cadangan yang telah dikemukakan oleh beberapa peniaga di situ serta orang ramai bagi memanfaatkan lot-lot niaga yang kosong tersebut.
           

jagindas: melaporkan





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.