Selasa, 10 September 2013

BERTANDINGLAH, ASAL JAGA IMEJ PARTI

Umno masih relevan untuk orang melayu
dan bumiputera Malaysia
Jangan Keras Di Pentas, Lembik Di Kerusi

NAIB PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, merasakan keghairahan ahli untuk bertanding dalam Majlis Tertingi (MT) terutama di bangku naib presiden umno Malaysia,  sebagai sesuatu ada yang tidak kena dengan pertubuhan itu mahu pun sikap ahli-ahlinya.
            Katanya, keghairahan itu mungkin disebabkan keterbukaan peraturan baru yang diperkenalkan mulai pemilihan kali ini sekali gus ia juga turut menyifatkan sikap sedemikian mencerminkan seolah-olah umno kini seperti tidak tentu arah.
            Sejajar dengan itu, beliau mahu apa pun natijahnya perihal pertandingan itu nanti, ahli tidak akan merosakan imej umno. Manakala beberapa ahli lain pula mengingatkan agar mereka yang berhasrat bertanding supaya "mengukur baju di badan sendiri"
            "Bukan suka-suka. Bukan untuk menguji populariti dan kemampuan. Jawatan adalah amanah yang wajib ditanggung dan dilaksanakan demi parti dan negara," itu adalah antara kesimpulan yang dicakapkan oleh beberapa ahli umno bagi mengingatkan mereka yang berhasrat besar untuk bertanding kerusi MT.
            Betullah tu. Ingat mengingat sesama umat itu sememangnya dituntut oleh agama kerana fitrah manusia itu mudah alpa dan lupa. Sebab itu, kalau diperhatikan secara ilmiah, bentuk dan sikap perjuangan pemimpin Umno ketika zaman miskinnya pertubuhan itu berbanding setelah ramai yang kaya raya sejak akhir akhir ini, begitu berbeza. Berbeza. Memang berbeza. Melayu baru dengan melayu lama!
            Bertandinglah berdasarkan kepada prinsip dan rukun perlembagaan Umno itu sendiri. Cuma jangan buat perangai, berani menggertak di atas pentas dengan ngauman suara dibantu oleh kecanggihan PA system, namun setelah turun daripada pentas diri menjadi kecut merut, menikus dan menunduk. hati yang besar tinggal sebesar hati kuman.
            Ingat tak suatu ketika dulu, seorang pemimpin umno berdiri megah di atas pentas dengan menghunus serta mengucup sebilah keris tanda keramat perjuangan serta ketuanan Melayu? Ingat tak? Kemudian, ingat tak selepas di gertak dan diugut oleh beberapa pihak termasuk 'rakan kongsi'-nya sendiri, pemimpin itu terus melulu memohon ampun dan maaf. Hampir saja mengalir air matanya kerana terlalu sesal dan bebalnya akan perbuatannya itu.
            Ya, perbuatan seperti inilah yang dikatakan "memburukkan maruah dan merosakkan imej parti". Tolong jangan buat kelaku macam itu lagi. Tolong! Bikin malu anak bangsa. Penulis sebutkan ini kerana orang Melayu selalu mudah lupa. Orang melayu ni selalu saja "sudah terhantuk baru tengadah". Sifat jujur tu bagus dan terpuji, tetapi banyak episod orang melayu sebelum ini berlaku jujur tidak tentu arah!
            Kalau semua sudah faham maksud "jaga maruah dan imej parti, maka tiada salahnya untuk membuat tawar menawar bertanding apa juga kerusi dari atas hingga ke bawah dalam MT Umno itu. Bertandinglah secara anak lelaki tulen, berakal, bertatasusila serta penuh tanggung jawab.
           


jagindas: Masanya dah sampai, ramai yang takut dengan bayang-bayang lalu...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.