Datuk Mukhriz Mahathir |
Perwakilan Akan Pilih Mukhriz?
KETIKA menyaksikan siaran temubual calon Naib Presiden Umno 2013 di tv3
semalam, Datuk Seri Hishamuddin Hussein (juga sebagai penyandang) dan Datuk
Mukhriz Tun Mahathir, penulis teringat sembang-sembang politik bersama
rakan-rakan politik kira-kira 33 tahun lalu. Masa itu penulis baru berjinak-jinak
dengan umno dan ditahun itulah juga pertama kalinya penulis dipilih sebagai
Ketua Pemuda Umno Cawangan Bruas. Masih segar dalam ingatan rakan-rakan
seperjuangan ketika itu. Ramai juga yang telah meninggal dunia. Al-Fatihah. Apa
khabar ckgu Mair Afandi, Datuk Hamdi Bakar dan lain-lainnya. Datuk Malek telah
meninggal dunia...
Masa itu kehebatan perdana
menteri, Dr. Mahathir Mohamad (Tun), sedang meniti di bibir rakyat Malaysia.
Bahkan sampai sekarang pun Tun masih hebat.
Seorang rakan, Osman Tak
namanya, dalam gurau senda politiknya bercerita tentang sejarah Mahathir
menjadi perdana menteri. Konon katanya Tun Mahathir telah memaklumkan kepada
Tun Husein Onn yang ketika itu adalah Presiden Umno dan juga Perdana Menteri
bahawa Tun Husein tidak lagi layak memerintah negara kerana bukan sahaja tidak
mempunyai kemampuan berdaya fikir global malah tidak mampu untuk mengolah
negara ini maju dengan cepat sesaing dengan negara membangun dan negara maju
lain di dunia.
Lalu, beliau (Tun
Mahathir) menasihatkan Tun Husein agar berundur dan memberi laluan kepadanya
memerintah negara jika mahu melihat Malaysia maju mendahului zamannya. Penulis
tahu, apa yang diceritakan itu adalah rekaan semata. Ia hanyalah sebagai
penglipur lara orang-orang politik ketika itu malah tidaklah pula kisah-kisah
seperti itu 'menjadi hal' kepada ahli-ahli umno ketika itu, meskipun ada
kalanya gurau senda politik itu semacam ada kebenarannya.
Konon kata rakan penulis itu
lagi, dek kerana pemimpin dahulu tidak tamak malah berani mengakui kelemahan
diri sendiri, maka dengan senang hatilah Tun Husein mempersetujui nasihat Tun
Mahathir tanpa sebarang perasangka buruk. Dan, seperti yang kita sedia maklum, Tun
Mahathir mampu bertahan memerintah negara selama 22 tahun dengan membawa
realiti impian dan kata-katanya...
Justeru, sempena pemilihan
umno 2013 ini, teringatlah penulis akankah peristiwa si-bapak ini akan turun
kepada si-anak pula?. Maksudnya, Datuk Seri Hishamuddin akan tersingkir dan
tempatnya di gantikan oleh Datuk Mukhriz. Hishamuddin anak Husein manakala
Mukhriz anak Matahir.
Kata orang, sejarah
mungkin berulang cuma versinya mungkin agak berbeza. Bapak Hisham diturunkan
setelah kononya dikatakan bapak Mukhriz bahawa Tun Husein sudah tidak mampu
mememerintah mengikut arus permodenan manakala anak-anak mereka pula dijatuh
dan dinaikan menerusi pertandingan berdasarkan imej politik masing-masing.
Ramai yang kata imej Mukhriz lebih sempurna berbanding Hishamuddin yang
dipadan-padankan dengan pengecut dan lemah semangat!
Mungkinkah
ini terjadi? Dengan kata lain, apakah Isa Samad dan Ali Rostam akan turun tak
bertangga? Jauh kehadapan, jika ini terjadi, pada firasat penulis akan ada satu
lagi gelombang dalam kepimpinan Umno akan berlaku selepas era 2013...Apakah
itu?
Sama-samalah kita berdoa
panjangkan umur, sihat tubuh badan dan akal fikiran untuk melihat dan
menghayati beberapa episod seterusnya...
Selamat memilih demi
survival bangsa Melayu, Agama Islam dan seluruh rakyat negara Malaysia amnya.
jagindas: Hishamuddin berundurlah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.