Khamis, 3 Julai 2014

TAK DAPAT TANDUK, TELINGA DIPULAS

Demikian Perinya Kedudukan Melayu Di Bumi Sendiri

DALAM UTUSAN MALAYSIA  semalam (2/7/14) muka suat 11, ruangan cuit tulisan Zaini Hasan, di mana beliau meluahkan keresahannya terhadap nasib peniaga melayu di bandar bandar utama yang dibayanginya akan pupus berikutan ketidakmampuan mereka bertahan dengan harga sewa perimis perniagaan yang terlalu mahal.
Menurut Zaini berdasarkan pengalamannya sendiri, sewa bulanan perimis di putrajaya boleh mencecah sehingga RM30k sebulan! Sedangkan peniaga melayu terpaksa bertarung dengan modal pusingan dan lain-lain keperluan selain masalah bayaran sewa yang terlalu mahal itu. Baca rintihannya di sini.
Tahun lalu, saya ada menulis mengenai hal yang hampir serupa iaitu bagaimana penaklukan dan penjajahan moden berlaku dalam negara sendiri yang kalau tidak dikawal orang melayu akan terjajah dengan sendirinya di negaranya sendiri. Meskipun tulisan saya itu berkisar terhadap harga rumah dan kesannya kepada sesebuah pembangunan baru atau perbandaran baru namun ia harus dilihat secara global termasuklah hal-hal yang dibangkitkan oleh saudara Zaini Hassan. (Tulisan saya itu boleh di baca di sini ).
Sama ada negara terpaksa membiarkan demikian setelah imej negara bergelar negara maju atau terperangkap sehingga terpaksa meredhakan keperihan yang terpaksa ditanggung oleh orang melayu, biarlah menteri-menteri dan wakil-wakil rakyat yang yang telah kita pilih menjawab dan menyelesaikannya.
Apa yang jelas, ‘kepupusan’ dalam erti kata hilangnya pemilikan harta orang melayu (paling tidak harta asas iaitu rumah kediaman) akan berlaku. Demikian juga ia turut memupuskan orang melayu untuk sama-sama bersaing dalam perniagaan biarpun sekadar perniagaan kecil di bandar-bandar utama seperti yang dibicarakan oleh Zaini Hasan.
Seorang sahabat yang berniaga santan kelapa di Kuala Lumpur membayangkan perniagaannnya akan tersungkur apabila seorang peniaga cina mula berniaga santan berdekatanya dengan menawarkan harga yang jauh lebih rendah. Sedangkan peniaga cina itu juga mendapat bekalan kelapa daripada stokis yang sama . Tektik lawan harga runtuh yang melampu ini juga adalah permainan peniaga-peniaga asing untuk menendang sekali gus memupuskan peniaga melayu di bandar.
Pernah seorang pemilik kilang air batu (melayu) hanya sempat berniaga selama setahun dan selepas itu terpaksa menutup perniagaannya apabila geng pembekal air batu (cina) meruntuhkan harga sehingga ke tahap yang tidak munasabah! Bahkan, mereka sanggup menawarkan bekalan air batu percuma selama sebulan kepada pelanggan-pelanggan utama seperti pemilik restoran.
Seperti yang pernah saya tuliskan dalam beberapa tulisan lain sebelum ini, apa yang kita tidak ada (organisasi melayu dan kerajaan melayu). Dasar-dasar yang cukup kemas dan bersifat membela. GLC-GLC yang kaya raya dan gah bahkan menteri-menteri yang amat petah dan cerdik membahaskan nasib dan masa depan melayu. Cukuplah sekadar itu...
Tun Mahathir, juga pernah membayangkan ‘kepupusan’ melayu dipinggir bandar itu menerusi pemilikan harta dalam tulisanya yang boleh dibaca di blog beliau. Lima puluh tahun lagi. 50 tahun lagi! Itulah satu tempoh yang pada pemikiran saya untuk melihat kesengsaraan melayu di bumi Malaysia ini jika orang melayu sendiri, pemimpin melayu dan organisasi melayu tidak mengambil endah isu itu sedari sekarang. Itu pun rasanya sudah agak terlewat!
Ini kerana, ketika ini pun meski melayu masih memegang tampuk pemerintahan tetapi sedikit demi sedikit harta melayu semakin hilang dan lenyap. Kalau menyimpan, ibarat sedikit sedikit lama lama jadi bukit, tetapi kalau sebaliknya setiap hari akan berlaku kehilangan, apakah akan kesudahnya?
Selain itu, sikap pegawai-pegawai kerajaan dan mereka yang berkuasa yang ‘mudah dibeli’ turut mensengsarakan lagi nasib dan masa depan orang melayu. Apa yang didedahkan oleh media-media tempatan dalam seminggu dua ini mengenai pelbagai kes penyelewengan adalah satu contoh yang amat nyata.
            Dan, terkadang kerap juga saya tertanya-tanya mampukan melayu mengekalkan kuasanya jika hanya bersenjatakan gegar gempita suara dan semangat nasionalis semata?


Jagindas:  Akankah suatu masa nanti melayu terpaksa melutut demi sebuku roti ?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.