Jumaat, 6 Julai 2012

Jagindas mengulas: MENTERI BESAR BAKAL BERDEPAN DESAKAN "ORANG SAYA" - bhg. 2 (akhir)

jangan perjudikan pilihanraya..


MEMANG membimbangkan apabila belum lagi apa-apa, tiba-tiba sahaja terkeluar kata-kata sumbang daripada YB yang sedang berkhidmat di penggal ini akan menentang arus sekiranya dia tidak dicalonkan lagi.
            Zaman menteri-besar menteri-besar (MB) sebelum ini khabarnya ada cerita-cerita yang saya dengar memang memeningkan kepala MB ketika membuat keputusan akhir cadangan nama calon berikutan ada yang menggunakan barisan pendesak yang datang dua tiga bas sehingga semacam wujudnya situasi ugut mengungut pula yang sudah tentu memberi kesan kepada kemampuan melawan pihak lawan.
            Sungguh menjijikan perilaku seperti itu bila sahaja musim pemilihan calon berlaku setiap kali pilihanraya umum apa lagi kalaulah ianya dilakukan oleh kalangan orang UMNO.
            Kepada yang bernafsu lagi ghairah itu, saya menyarankan sebelum mewujudkan barisan pendesak atau bertindak merajuk hati, cermin-cerminlah diri. Bukan soal kacak, manis atau bergaya. Tanya trade record kita sendiri: Bagus sangatkah kita, mampukah kita, apakah kekuatan yang ada pada kita dan macam-macam hal lagi.
            Sebab, wakil rakyat hari ini adalah berdepan dengan rakyat yang sudah maju, celik dan bediri dalam dunia tanpa sempadan. Kekuatan seseorang wakil rakyat pada masa akan datang adalah perlu bijak, kreatif dan produktif sejajar dengan tuntutan globalisasi. 
            Hari ini kita memimpin manusia yang celik ilmu. Namun pada sama kita juga mendepani manusia yang celik ilmu tetapi buta akal. Inilah kumpulan yang yang kerap mendatangkan masalah kepada negara malah jika tidak bijak mengawalnya negara akan huru hara setiap masa.
            Makanya, di sinilah diperlukan bulatnya ketelusan dan kejujuran kepada semua agensi yang diamanahkan untuk memberi maklum-balas kepada pihak berwajib terhadap mereka yang barangkali berpotensi untuk dijadikan calon dengan menolak semua kepentingan-kepentingan peribadi kerana pilihanraya bukan satu perjudian.
            Mereka yang dicalonkan harus mampu membenamkan pihak lawan dan sebaik sahaja menjawat jawatan sebagai wakil rakyat, YB terbabit sewajarnya dapat menumpahkan khidmatnya dengan cemerlang, cekap, berintegriti serta berwibawa.
            Sebagai contoh, saya sendiri pernah menyarankan kepada seorang "orang besar" agensi UMNO supaya menasihati terhadap sikap dan perangai beberapa ketua bahagian dan wakil rakyat yang memuakkan kalangan ahli UMNO. Secara jujur saya menyampaikan saranan itu berikutan ramai antara mereka yang sudah bercakap-cakap di luar sana dan secara diam-diam memberi sokongan kepada pembangkang bukan atas perjuangan tetapi kerana melepaskan geram!
            Namaun, apa yang terjadi pegawai berkenaan menyergah saya dengan angkuhnya mengatakan bahawa semua laporan itu adalah palsu kerana menurutnya kakitangannya sentiasa mendekati orang ramai sekali gus menafikan dakwaan tersebut.
            Inilah sikap pegawai seranta kita. Angkuh, over confident, tidak menerima pandangn orang lain hatta dari kalangan penyokongnya sendiri. Sefaham saya, sebenarnya ramai yang tak berani untuk bersemuka untuk menasihati wakil-wakil rakyat dan ketua bahagian seperti itu kerana khuatir kepentingannya dalam agensi tersebut tergugat. Maka, mahu tak mahu, semuanya dilapor sebagai positif. Dan, menerusi pilihanraya 2008 telah menyaksikan bahawa keangkuhan telah menghukum kita dengan malu yang teramat mahal untuk di tebus sekarang!
            Dalam pada itu, sikap beberapa puak atau golongan yang menangguk di air keruh dengan menimbulkan pelbagai reaksi dan aksi amatlah merimaskan jentera dalaman dan agensi sesuatu parti ketika proses pilihanraya berlaku.
            Justeru, sementara masa masih ada, maka berhati-hatilah mendayung dalam gelombang PRU13 ini. Pengelaman, pengajaran dan hukuman telah kita perolehi.  Janganlah sampai pisang berbuah dua kali. Biarlah pilihanraya kali ini bagaikan memberi nafas dan jiwa baru kepada UMNO dan Barisan Nasional.
            Saya berdoa, semoga Barisan Nasional beroleh kejayaan besar, dan semua calon dari kalangan UMNO menang semuanya, amin.


Jagindas:      Pernah disingkirkan dari jawatan sebagai setiausaha jawatankuasa kerja dan keselamatan kampung (JKKK)  hanya kerana menasihati  sikap YB yang meninggikan hidung ketika bertemu penduduk.. Namun hati perut saya tak pernah luntur terhadap UMNO dulu, kini dan selamanya, InsyaAllah.

Jagindas mengulas: MENTERI BESAR BAKAL BERDEPAN DESAKAN "ORANG SAYA" - bhg. 1


ada YB yang sudah melahirkan suara merajuk..


ENTAH bila pilihanraya, tidaklah dapat dipastikan. Hanya Datuk Seri Najib Tun Razak,  sahaja yang tahu. Namun, cakap-cakap pilihanraya telah pun bermula. Cerita-cerita angin syurga dan bunga-bunga rajuk-merajuk juga telah mula menyerikan meja perbualan terutama di kedai- kedai kopi.
            Ada khabar menggelikan sampai ke telinga saya memberitahu terdapat ura-ura seorang Yang Berhormat (YB) kononnya akan bertanding atas tiket Bebas pada pilihanraya ke 13 (PRU13) nanti sekiranya nama beliau tidak dicalonkan semula. Entah ya entah tidak. Kadang-kadang rumus politik di kedai kopi ini lebih ribut angin dari ribut! Namun, jangan pula diambil ringan.
            Menurut sumber, orang-orang YB berkenaan masih mahukan beliau menjadi wakil rakyat ditempatnya. Namun pada masa sama ada desas-desus mengatakan nama beliau mungkin akan terkeluar untuk PRU13 nanti. Tidak tahu pula apa sebabnya. Yang pasti, kalau benar berlaku mesti ada sebabnya. Paling tidak mungkin sudah lama...
            Memang setiap YB tentu ada pengikut atau penyokongnya. Namun, apakah YB berkenaan telah meneliti berapa orangkah sebenarnya yang didakwanya penyokong yang masih memerlukan khidmatnya? Kalau melebihi 90% kira ok lah, tapi kalau 9% sahaja macam mana?
            Misalnya, kalau pengundi di tempatnya ada 5,000 orang sedang penyokong tegar dia cuma 500 orang, apakah alasan itu mampu mempertahankan kehendaknya dan menjamin kemenangan?
            Kalaulah benar gosip seperti itua, apa yang jelas adalah sikap YB tersebut masih tidak memahami signal yang diberikan oleh pihak atasan. Apabila seseorang YB tidak lagi disenaraikan dalam pilihanraya berikutnya, tentulah ada sebab-sebabnya selain dari parti mahu memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
            Tindakan segera yang diambilnya dengan melahirkan hasrat berpaling tadah (guna tiket bebas atau lain-lain) itu menampakkan kerakusan dan ketidaksetiaan beliau terhadap parti yang pernah meletakkannya sebagai YB.
            Barangkali aura Tok Him (Datuk Ibrahim Ali, MP- Bebas, Pasir Mas, Kelantan) telah meresap ke sanubari YB berkenaan. Kalau begitulah yang difikirkan, silap besarlah anda, YB. Percaturan Tok Him berbeza dengan pengundi di kawasan YB. Amat berbeza!
            Oleh itu, apa pun agendanya, kepimpinan parti hendaklah berhati-hati terhadap orang seperti ini dan jika ada peraturan yang membenarkan, maka cantaslah orang tersebut daripada UMNO selama-lamanya. Jangan diterima lagi sebagai ahli pejuang bangsa hatta dia bertaubat nasuha menyembah kaki presiden sekalipun.
            Inilah senario buruk sesetengah sikap politik orang melayu yang terdapat dalam UMNO. Keadaan sama pun nampaknya sudah berjangkit dalam parti-parti lawan. Pendek kata, bila tiba bab nak jadi calon, senario seperti itu akan berlaku kerana yang ghairah tidak dapat menahan nafsu dan membendung keakuannya.
                  Kalau kita masih ingat, ketika Perak kelam kabut di terajui pembangkang selepas PRU12, seorang wakil rakyat BN telah mengisytihar keluar BN dan menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR). Hanya sebentar, dan beberapa hari selepas itu dia kembali insaf. Kerana ketika itu kita memerlukan sokongan untuk memerintah, maka kembalinya beliau kepangkal jalan diterima. Namun, ahli UMNO seperti inikah yang layak bercakap tentang perjuangan agama, bangsa dan negara? Fikirkan sehalus-halusnya.
            Bagi saya kita biarkanlah mereka dari puak pembangkang itu. Yang kita nak pertahankan keharmoniannya adalah mereka yang layak menjadi calon dari kalangan ahli UMNO supaya tidak berlaku perebutan, kecil hati lalu merajuk langsung beralih arah.
           
Jagindas:   ada yang sebelum jadi YB bukan main berapi-api, bila dah duduk di kerusi menyakitkan hati!

Khamis, 5 Julai 2012

Pemandu Teksi Juga Perlu Mesra Pengetahuan

"SEBUAH KERAJAAN yang perihatin. Kerajaan yang merealisasikan slogan yang dilaungkan tidak hanya manis dimulut dan indah pada tinta tetapi praktikal".
             Itulah yang rata-rata yang diucapkan oleh rakyat jelata terutama golongan marhain. Semua lapisan dan taraf sosio rakyat mendapat perhatian kerajaan dengan satu matlamat mengongsikan kemewahan negara bersama rakyat yang sepatut memperolehnya. Ada pula yang bertanya: Nak apa lagi?
            Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najid Tun Razak, melancarkan program Duta Teksi Pelancongan sebagai usaha mempromosi keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul di Dataran Putra semalam. Mereka yang terbabit dengan program tersebut diberi insentif RM100 sebulan.
            Najib percaya bahawa pemandu teksi yang sopan, beradab tinggi, sentiasa senyum dan mesra menceritakan perkara-perkara baik mengenai Malaysia dapat memberikan gambaran baik kepada negara.
            Seperkara lagi, semua pemandu teksi di negara ini sewajarnya berkemesraan pengetahuan iaitu mereka seharusnya memiliki pengetahuan terhadap negeranya sendiri terutama hal-hal yang berkaitan dengan sejarah dan perkembangan pembangunan semasa negaranya.
            Barangkali, mereka tidak perlu mengikuti kursus ilmu pengetahuan seperti itu tetapi memadai mereka digalakan mendapat maklumat tersebut daripada pembacaan umum atau media-media.
            Ini kerana, keramahan pemandu yang mampu menceritakan sejarah sesuatu lokasi atau perkembangan negara boleh menarik minat pelancung untuk terus berkunjung ke sini.
            Ada pemandu yang gagal memberikan respon terhadap pertanyaan yang dikemukakan oleh pelancung bagi mendapatkan maklumat terhadap lokasi yang mereka lawati sama ada perkara-perkara menarik sepanjang perjalanan mahupun terhadap destinasi sebenar yang ingin mereka tuju.
            Meskipun, di tempat lawatan tersedia unit info dan pemandu pelancong, namun keramahan pengtahuan pemandu terbabit akan bertindak sebagai pemangkin yang menggerak minat pelancung lebih mendalam terhadap negara ini.
            Pengalaman saya ketika menaiki sebuah teksi meronda-ronda di sebuah bandaraya pelancungan terkenal di negara ini menjadi hambar apabila setiap pertanyaaan saya terhdap benda-benda menarik sepanjang perjalanan hanya di jawab sebagai: "saya kurang pasti encik".
            Dengan membayangkan saya orang luar (dari negara lain), saya dapati kemesraan pengetahuan pemandu teksi berkenaan amat lemah dan turut melemahkan saya untuk meninjau lebih jauh terhadap persekitaran di situ.


Jagindas:    saya teringat pada sekitar tahun 70an, sedang leka mendengar keramahan pemandu teksi yang membawa saya dan tiga penumpang lain ke Kuala Lumpur, sampai di satu selekoh tiba-tiba stering kereta tercabut! huh, kelam kabut jadinya. Alhamdulillah, Allah menyelamatkan kami semua.

TAHNIAH TUAN SPEAKER DUN MELAKA !

TINDAKAN Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad, membuat keputusan menggangtung lima anggota DAP menghadiri sidang Dewan DUN Melaka, selama enam bulan kerana mengingkari dan menimbulkan kekecohan pada persidangan dewan hari ini, amat bertepatan dan diUcapkan syabas dan tahniah.
            Mereka terbabit ialah Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana); Goh Leong San (Kesidang); Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh); Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Lim Jak Wong (Bachang).
            Saya amat mengormati tindakan speaker yang telah menggunakan kuasa yang ada pada nya bagi memelihara kehomatan, marwah dan kesucian dewan sekali gus mengajar semua ahli dewan supaya duduk dalam dewan sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab, professional, beradab serta berpekerti mulia.
            Malah, jika sepeaker berpendapat tindakan seperti itu boleh diambil lebih awal, maka untuk masa akan datang dewan tidak lagi perlu memberikan ruang yang lama atau menunggu masa-masa kecoh sebelum keputusan mengusir, menanganggug mahupun menggantung ahli dewan yang biadap.
            Dari sinario peristiwa tersebut, jelas ketidakfahaman bahasa (bahasa melayu) menyebabkan berlaku salah erti dan seterusnya menjadikan dewan kecoh lagi memalukan. Malah, berdasarkan sepanduk yang dibawa ke dalam dewan mereka juga memang tidak menghormati bahasa melayu.
            "Nampaknya beza antara ayat tanya dan ayat pernyataan pun mereka tidak faham bagaimana pula mereka hendak memahamkan hal-hal yang lebih berat daripada itu?
            "Walaupun sudah diperjelaskan oleh speaker, tetapi masih juga menegakkan benang basahnya, itu bererti mereka sengaja mencari fasal untuk menjadikan isu yang akhirnya membazirkan masa persidangan dewan"
            Itulah antara ulasan orang ramai ketika meneliti kes tersebut yang menyokong penuh terhadap keputusan yang dibuat oleh speaker berkenaan. Mereka juga mahu pada masa akan datang speaker terus menggunakan peraturan dewan tanpa memberi ruang yang lebih kepada semua ADUN mahu pun Ahli Parlimen yang berkelakuan biadap ketika dalam dewan.
            Menurut mereka tindakan speaker DUN Melaka itu juga wajar dijadikan contoh oleh semua speaker DUN di seluruh ini dan juga Speaker di Parlimen.

Jagindas:   TUAN YANG DIPERTUA, SAYA MERAKAMKAN SEBESAR-BESAR UCAPAN SYABAS DAN TAHNIAH. SELAMAT BERSIDANG DENGAN AMAN.