Sabtu, 14 Julai 2012

CAKAPLAH APA NAK CAKAP!


AKN TIDAK TANGKAP PENGKRITIK KERAJAAN
NAZRI....rakyat boleh kritik

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata menerusi Akta Keharmonian Nasional (AKN) yang menggantikan Akta Hasutan 1948, kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap rakyat yang mengkritik kerajaan kecuali yang menyentuh perkara sensitif seperti institusi raja dan keharmonian kaum.[di sini]

Kritikan Pertama Jagindas Kepada Nazri :
           
Rakyat memang suka benar dengan kenyataan ini lebih-lebih lagi mulut celupar dari puak pembangkang atau sesiapa sahaja yang sentiasa berpendapat apa sahaja yang dibuat kerajaan semuanya tidak betul melainkan dia sahaja yang betul.
            Justeru, Nazri sepatutnya menjelaskan maksud kritik itu adalah tidak termasuk maki hamun dan fitnah yang tidak berfakta. Sebab, rakyat Malaysia hari ini kalau diberi peluang bercakap, selalunya terbabas dan tidak ikut law kata orang putihnya.
            Walaupun sudah terang lagi bersuluh dan diberi pula kanta pembesar, ada yang masih tidak nampak jelas. Sebab itu hal-hal seperti ini mesti dinyatakan dengan jelas. Kritikan yang macam mana??
            Kita tidak mahu nanti rakyat mabuk mengkritik kerajaan sehingga merendahkan martabat pemimpin, atau bahasa ilmiahnya mengkritik tidak bertatsusila.
            Setiap kiritikan seharusnya mempunyai landasan yang jelas dengan mengemukakan pandangan atau cadangan bernas dan bersifat nasional atau global tidak semata-mata kritikan membabi buta.

Jagindas:   pengkritik bebas di kedai kopi.



EMAS UNDANG BALA

Satu Lagi Isu Bakal Menggugat BN


SAYA tidak pasti sama ada cerita ini benar atau tidak. Tetapi menurut seorang penduduk di tempat saya yang kini sudah lama berhijrah ke Kelantan memberitahu, pemimpin Pas khasnya Menteri Besarnya, Datuk Nik Aziz, tahu tentang perlombongan emas di negeri itu sama ada yang halal mahupun yang haram.
            Namun, pemimpin terbabit tidak melarang sama sekali malah mengucapkan syabas atas usaha mereka yang disifatkannya memajukan diri. Barangkali atas dasar bumi adalah bumi Allah, hak Allah, maka adalah menjadi hak (umatNya) rakyat Kelantan untuk menikmatinya dengan apa cara jua sekalipun.
            Malah katanya, atas restu Nik Aziz itu yang disifatkan mereka sebagai kerajaan bermurah hati dan tidak banyak karenah, maka kasih sayang orang Kelantan terhadap Pas memang cukup tebal. Bermakna, pihak berkuasa kerajaan megeri mungkin sudah tahu aktiviti berkenaan sejak lama tetapi sengaja tidak mengambil tindakan undang-undang berikutan "restu" itu.
            Berita semalam pula dikejutkan dengan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghadapi saat cemas apabila dikepung sekumpulan samseng yang marah terhadapa tindakan kerajaan pusat itu. (Utusan Malaysia 14/7/12 p.3)
            Kes-kes seperti inilah yang mengukuhkan ramalan Tun Mahathir bahawa agak sukar Barisan Nasional (BN) untuk menawan Kelantan kembali. Saya percaya, ketegasan dan tindakan kerajaan dalam kes seumpama ini akan dijadikan modal dan dimanipulasikan oleh penyokong-penyokong Pas dalam menghadapi pilihan raya ke 13 nanti.
            Kepada rakyat Kelantan, meski bumi ini hak Allah, namun Tuhan juga menyuruh kita mengautnya secara peradaban. Kalau tidak, satu lagi bala akan menimpa negeri tuan-tuan kerana murkanya Allah Taala terhadap kerakusan tuan-tuan merobek bumi tanpa mematuhi hukum alam.


Jagindas:   Cuma ada cincin suasa belah rotan...

BARANG PURBA..

Antik.... Gantang diperbuat daripada
teras  kayu dipercayai berusia 200 tahun

GANTANG DIPERBUAT
DARIPADA KAYU
BERUSIA 200 TAHUN
Ruang dalam sukatan gantang



FOTO yang dipaparkan ini adalah gambar alat sukatan bernama Gantang. Gantang ini diperbuat daripada teras kayu dipercayai jenis kayu cengal. Pembuatannya cukup halus di mana teras tersebut ditebuk tanpa memisahkan mana-mana bahagian strukturnya.
            Rekabentuknya bulat dengan ketebalan 1.5cm, tingginya 21cm dengan ketinggian ruang sukat 15cm manakala ukur lilitnya adalah 72.5cm
            Menurut pemiliknya, Mohd Zaini Arshad, 61, gantang tersebut sudah melepasi empat generasi dan dipercayai ketika ini ia sudah berusia lebih 200 tahun.
            Katanya ramai yang berhajat untuk membelinya tapi setakat ini beliau belum berminat untuk menjualnya kerana ia adalah satu-satu harta pusaka yang bernilai antik yang dimilikinya.
            "Ada juga yang berminat untuk meminjam gantang tersebut untuk dijadikan bahan perantara bomoh bagi meminta nombor ekor berikutan nilai usia dan rekabentuknya yang unik", katanya.
Kehalusan rekabentuk luarnya
"peninggalan pusaka yang amat bernilai"

     Bagaimanapun, ketika diajukan sekiranya benar kaji purba mendapati usia gantang itu melebihi 200 tahun dan ada pihak yang menawarkan sehingga RM1 juta, beliau hanya tersenyum.
             






Jagindas:   peminat barang antik, tapi nak yang dapat free, ada ke? hehehe..                                                                                  

            

Jumaat, 13 Julai 2012

ALLAH, Aku mohon belas kasihanMu

BANTULAH ETNIK ROHINGYA MUSLIM INI...

Yang kita tahu, sebahagian besar mereka beragama Islam. Mereka adalah kumpulan etnik di negara Myanmar yang majoriti rakyatnya adalah beragama Budha. Pemerintah Myanmar tidak mengaku etnik Rohingya sebagai rakyat negaranya dan dianggap sebagai pelarian.
            Yang jelas hanya kerana mereka dari kumpulan kecil dan beragama Islam. Mereka di seksa, dirogol dan dibunuh. Rumah dan harta mereka dibakar. Guru aagama dan imam di seksa dan dibunuh!
            Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) telah cuba melindungi mereka namun itu tidak menghalang pihak berkuasa Myanmar terus membaham etnik tersebut.
Meraka juga tidak diterima oleh negara jirannya, Bangladesh. Kitapun faham, meskipun bangladesh negara Islam, namun negaranya juga adalah miskin. Bangladesh juga perlu memikirkan hal ehwal rakyatnya terlebih dahulu sebelum membantu pihak lain.

Tambah malang, tidak ada satupun negara ketiga sanggup menerima pelarian Rohingya ini sejak sekian lama mereka dibegitukan. Kononnya, usaha UNCHR sudah sehabis daya untuk mempengaruhi pihak ketiga namun masih belum berjaya.
            Tiada makanan, tiada tempat tinggal yang selesa, tiada kemudahan untuk beribadat. Itulah keadaan mereka. Siang bermandikan mentari, malam beratapkan langit berselimutkan embun! Kanak-kanak kehilangan kasih sayang dan keperluan asas hidup. Semuanya kerana mereka etnik beragama Islam.
            Saudara-saudaraku, betapa bertuahnya kita di Malaysia ini. Mengapa kesombongan masih menghantui kita? Subahanallah..

Jagindas: Dalam masa-masa terluang, jika terlintas dibenak masing-masing nasib etnik ini, mohon doakan agar Tuhan menyelamatkan mereka. Tiada terdaya kita melainkan atas kehendakNya jua!