Jumaat, 25 Januari 2013

MALANG BAGI YANG MENERIMA, PENGAJARAN BAGI KITA

TINGGAL KENANGAN... William dan ibunya

Jangan Begitu Mudah Yakin Selamat

DENGAN mengambilkira hasil penemuan mayat kanak-kanak di Klang semalam adalah mayat William Yau Zhen Zhong, 6, yang dikatakan hilang sejak 8 hari lalu, maka tamatlah sudah sebuah misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki yang comel. Yang belum selesai adalah hal-hal yang berkaitan dengan kehilangan dan kematiannya. Dan, pihak berkuasa tentulah mempunyai cara yang khusus untuk menyelesaikannya.
            Sejak peristiwa kehilangan itu disebarkan media, rakyat Malaysia sudah berusaha membantu keluarga terbabit, namun rezeki tidak menyebelahi mereka terutama Wiliam sendiri - yang akhirnya ditemui mati.
            Hanya, penulis barangkali juga rakyat Malaysia seluruhnya mengucapkan salam takziah serta berharap keluarga ini akan bersabar dan terimalah kehendak Tuhan dengan seadanya. Kesedihan tentunya amat terasa lebih-lebih lagi sambutan Tahun Baru Cina akan menjelang tiba tidak berapa lama lagi.
            Namun begitu, kepada kita-kita yang lain ini, jadikanlah peristiwa malang ini sebagai pengajaran dan pendidikan kepada kita semua terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak.
            Bahawa, malang dan kemalangan boleh berlaku bila-bila masa walaupun di depan mata atau setelah kita dengan penuh usaha berwaspada terhadapnya. Berhati-hatilah ketika meletakkan nilai keyakinan diri agar ia tidak memakan diri. Tuhan hanya memberi nyawa kepada manusia ciptaannya sekali sahaja. Belum ada 'spare part' untuk nyawa. Lagipun, pengganti (jika dapat pun) tidak sama dengan yang hilang atau yang asal.
            Justeru, bersyukurlah kepada mereka yang masih hidup hari ini dan mereka yang masih panjang umur..

             
Jagindas: Apapun, pendirian penulis terhadap tindakan undang-undang terhadap ibu bapa William atas sebab kecuaian masih kekal... 

BILA SUDAH JADI KES POLIS, BIARLAH UNDANG-UNDANG SELESAIKAN


Kes C Sugumaran Tidak Wajar Dipolemik atau Dipolitikan

ITU SEBABNYA, manusia diminta berkelakuan baik, ikut peraturan dan patuhi undang-undang. Peraturan dan undang-undang bukan sahaja yang tersurat di dunia malah itu jugalah yang dituntut oleh agama lebih-lebih lagi oleh agama Islam.
            Jahat satu hal. Yang suka mencabar-cabar pihak berkuasa pun satu hal juga! Kalau yang jahat itu sifat dan keadaannya adalah manusia, mereka juga kena ingat bahawa penguatkuasa juga manusia. Manusia itu ada hati dan perasaan.
            Memanglah, kita juga diminta tanamkan sifat kesabaran. Tetapi siapalah di dunia ini (apatah lagi zaman ini) yang boleh memiliki nilai kesabaran macam Nabi (saw)? Cuba tunjukkan kepada penulis, kalau ada.

TAFSIRLAH APAPUN, BAHAYANYA TETAP SAMA...

Nostalgia Rokok Dolu-Dolu..

PEROKOK hari ini ramai yang telah bertukar kepada e-rokok. Selain daripada rasanya yang berbagai, e-rokok juga didakwa mampu mengurangkan tabiat merokok malah sudah ramai juga kononnya yang telah berhenti merokok. Begitupun, ia masih lagi dalam 'perbicaraan awam' terhadap kesan dan risikonya. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai,baru-baru ini berkata dari sudut kesannya boleh membawa kepada perokok berhenti merokok amat bagus tetapi rokok itu juga (e-rokok) mungkin membawa beberapa kesan lain yang masih belum dapat dipastikan. Oleh itu beliau mengingatkan kaki rokok supaya berhati-hati dengan cap baru rokok zaman moden ini. 
                   Apapun, menyedut atau memasukkan sesuatu benda asing ke dalam paru-paru selain oksigen dan wangi-wangian dari sudut zahirnya memanglah tidak elok. Bahkan, bau kentut pun kita tidak mampu untuk menyedutnya!
                   Zaman penulis remaja dulu, beberapa jenama rokok popular ketika itu turut diterjemahkan oleh pengisapnya sebagai bahan senda gurau malah ia turut memberi megah kepada peminatnya tersendiri. Antaranya; 




GOLD LEAF - Gelombang Ombak Lautan Dalam, Lambaran Engkau Abang Faham



PALL MALL - Peluklah Abang Lama-Lama, Membuat Abang Lemah Longlai.  Ada juga terjemahan lain: Pinangan Abang Lambat Lagi Mari Adik Lekas Lari



ROTHMANS - Ramai Orang Telah Hilang Maruah Akibat Nafsu Syaitan



BENSON & HEDGES - Bila Eden Nikah Dengan Orang Nagori, Harta Eden Dengan Gaji Eden Salosai




KENT - TNEK - K**ek Engkau Naik Tak ? - Tak Naik Engkau Kata? (yang ini terjemahannya agak kasar sikit, hehehe..) 

Jagindas: Hisap paip..

Rabu, 23 Januari 2013

MCA HARAP IBU BAPA ZHEN ZHONG TIDAK DIHUKUM

Berikutan Mereka Sudah Menyesal 
dan Mengaku Cuai...

Dari Kiri: Senator Lee dan Ibu Bapa William
PEMBELAAN  yang dibuat oleh wanita MCA Selangor agar pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap ibu bapa kanak-kanak yang hilang baru baru ini, William Yau Zhen Zhong, 6, bagi penulis tidak wajar. Meskipun, ibu bapa terbabit telah menyatakan kekesalan dan mengaku kecuaiannya itu namun pengakuan itu tidak sepatutnya menghalang tindakan undang-undang diambil ke atas mereka [laporan di sini]
            Semua pesalah sama ada yang melakukan keslahan ringan mahu pun berat, akan melafazkan nada yang sama untuk mengharap simpati dan tidak dihukum. Tetapi, dari segi kehidupan sosial kesalahan tetap kesalahan. Dan Mahkamah adalah institusi yang berhak memutuskan sebarang hukuman setelah menimbang dari pelbagai sudut.
            Senator Chew Lee Giok, nampaknya sudah mendahului tugas pihak berkuasa kerana ibu bapa terbabit pun masih belum didakwa lagi. Sekiranya proses pendakwaan sudah berlaku, penulis fikir barulah manis jika Lee Giok atau mana-mana pihak menyatakan harapan terhadap yang tertuduh.
            Semua pihak terutama ibu bapa kena ingat bahawa apabila berlaku kes kehilangan seperti ini yang disebabkan kecuaian keluarga secara langsung juga telah menyusahkan banyak pihak lain terutama pihak berkuasa. Walaupun mereka tidak berniat untuk menyusahkan pihak berkuasa dan orang ramai, namun itulah realiti yang berlaku.
            Justeru, sama ada kanak-kanak yang hilang itu dijumpai semula atau tidak, sama ada ia selamat atau sebaliknya, bagi penulis tindakan undang-undang perlu dan wajar dikenakan kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit atas kes kecuaian dan menyebabkan kesusahan awam.
            Tindakan sedemikian juga sebenarnya adalah sebagai pengajaran kepada ibu bapa dan penjaga lain kanak-kanak di seluruh negara supaya mesti mementingkan keselamatan kanak-kanak terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa kepentingan peribadi. Alasan bahawa anak mereka buas (nakal) tidak boleh diterima.
            Jelasnya, bukan sahaja wanita MCA bahkan semua pihak jangan  begitu mudah menyabarkan keadaan hanya atas tiket politik dan berharap mendapat 'political millage' dan pada masa sama tidak membantu mendidik manusia menghargai nilai keselamatan, peraturan dan undang-undang.
            Biarlah pihak berkuasa dan mahkamah menyatakan segala-galanya. Tindakan undang-undang adalah satu daripada cabang pendidikan yang mendidik manusia.

Jagindas: Teruskan membantu keluarga ini mendapatkan semula anak mereka..Semoga Willian selamat!