Rabu, 29 Mei 2013

DULU TAKUT-TAKUT, SEKARANG TIDAK LAGI.....

Ramai Guru Sokong PR

AKHBAR Utusan Malaysia, semalam, di ruangan Forum Utusan, ada memaparkan tulisan daripada seorang pembaca yang kesal kerana masih (lebih tepat dikatakan semakin) ramai kalangan guru yang menjadi penyokong pembangkang  di sini. Saya juga pernah menulis hal yang lebih kurang sama dalam entri blog ini beberapa minggu lalu di sini.
            Ini bukan perkara baru. Malah peraturan tidak membenarkan cerita-cerita politik dimainkan di sekolah, di bilik guru dan di mana-mana sahaja dalam kawasan pagar sekolah sudah lama ditegaskan. Ada ditegaskan dalam peraturan perkhidmatan awam dan juga dalam sektor pendidikan sendiri.
            Namun, sebelum ini ketika Barisan Nasional (BN) selalu mendapat menang besar, orang-orang Umno (BN) tidak pernah patuh terhadap peraturan itu. Di kantin sekolah, di bilik guru malah di mana sahaja guru-guru berkumpul cerita-cerita tentang kuatnya Umno, BN dan buruknya pembangkang dibualkan di sana sini. Hatta, tukang kebun dan pion pun berkuasa menukarkan guru / staf jika ada yang tidak sebulu dengan Umno atau BN. Huh, masa itu....dialah segala-galanya!
            Murid-murid pun dapat merasakannya dan dapat mengenal yang mana satu gurunya sebagai orang kuat parti kerana ada ketikanya sembang-sembang mereka itu melampaui ruang. Apa lagi apabila sesekali terdapat beberapa murid keluar masuk bilik guru kerana menjalankan amanah yang diberikan gurunya. Sesetengah guru bangga apabila muridnya tahu dia orang kuat parti BN. Masa tu, budak-budak tu bukan tahu apa pun. Tetapi sekarang mungkin sudah ada yang jadi wakil rakyat, timbalan menteri ataupun menteri.
            Ketika zaman DS Anwar Ibrahim berkuasa pula, riuh rendah suara-suara mengagungkan kehebatan Anwar bagaikan tidak terhijab lagi. Masa itu, Dr. Mahathir pun jatuh kepada second lead!  Ketikanya Anwar berkuasa sebagai Menteri Pelajaran, beliau benar-benar mampu mengawal semua guru di seluruh negara ini. Meskipun ada guru yang berkiblatkan Pas, namun kumpulan ini tidak berani bersuara atau mengangkat muka. Pendek kata, masa itu Anwar memang berkuasa.
            Politiknya memang tajam dan berbisa taringnya. Dengan nada sengau membaca beberapa potong ayat quran dan hadis ditambah pula dengan beberapa rangkap petikan filosofi-filosofi islam, hancur leburlah guru-guru bahkan rakyat seluruhnya ketika itu. Sesiapa yang melakukan kesilapan, biarpun sedikit saja, esok lusa pindahlah kamu! Demikianlah hebatnya Umno, BN, dan Anwar ketika itu.
            Dan sekarang, orang-orang yang dulunya dibenci Anwar kini menjadi penjilat tegarnya. Apatah lagi yang sememangnya menjadi pengikut tegar Anwar dari dulu hingga sekarang - teramat-amatlah tegarnya.
            Senario hari ini, BN menang yang 'terganggu' membuatkan orang-orang BN malu-malu dan sipu-sipu. Padahal menang! Manakala, pihak lawan pula semakin ampuh dan berani. Mereka kini (penyokong pembangkang) sengaja menunjuk-nunjuk kerana mahu mencabar apa yang kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran boleh buat terhadap mereka. Apakah tindakan-tindakan yang pernah dilakukan ke atas guru pembangkang dalam tahun-tahun 70an dan 80an dulu masih berkuku?
            Kalau kita bercakap atas pusingan roda, tiada yang asingnya. Pelakuan tersebut berlaku kerana mereka kini merasakan sudah berada di atas atau dengan kata lain, kerajaan hampir-hampir tidak mampu atau langsung tidak mampu untuk mengambil tindakan terhadap mereka itu. Kalau setakat cakap, amaran, peringatan dan sebagainya, itu hanya menjadi bahan tawa mereka sahaja. Apatah lagi, kalau dulu, guru besar, pengetua dan penolong-penolong kanan majoritinya orang Umno/BN tetapi sekarang dah terbalik. Terbalik dah...
            Dan, kalau kita bercakap atas dasar peraturan, prinsip, budi dan pekerti tentulah BN akan sentiasa menang besar tidak seperti sekarang. Kini, semua prinsip nampaknya diletak di bawah tapak kaki. Budi bukan lagi untuk dikenang atau dibalas tetapi adalah dinilai sebagai sesuatu yang hak untuk dituntut. Kerajaan mesti berbudi kepada rakyat dan rakyat mesti menerima budi. Kerjaya guru itu (bagi sebilangan besar mereka itu) bukan lagi semulia-mulia tugas dan sebesar-besar tangungjawab tetapi adalah kerja yang semestinya mendapat upah setimpal. Namun, bagi mereka yang seperti itu ianya tidak pernah setimpal-timpal pun.
            Itu, kalau kita bercakap terhadap orang Melayu dan Islam. Bagaimana pula bagi kalangan guru yang bukan beragama Islam? Tak larat nak fikir dan tulis...


Jagindas: No more "YES SIR"....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.