Khamis, 6 Jun 2013

PRESIDEN, TIMB. PRESIDEN TAK BOLEH DITANDING

Elak Perpecahan Atau Memang Gandingan Mantap?


INSYAALLAH, jika tidak ada apa aral melintang, tahun ini juga akan diadakan persidangan agung (pergong) Umno Malaysia seterusnya memilih anggota Majlis Tertinggi (MT) parti keramat itu untuk tempoh tiga tahun berikutnya. Keyakinan ini ditambah kuatkan lagi apabila baru-baru ini presidennya, DS Mohd Najib Tun Razak, telah pun membuat kenyataan rasmi bahawa pergong akan diadakan tahun ini juga.
            Dan, dalam seminggu dua ini di akhbar-akhbar tempatan pula disibukkan dengan pelbagai pihak membuat syor, cadangan malah adakalanya semacam desakan agar jawatan nombor satu dan dua (Presdiden dan Timbalan Presiden) tidak ditandingi. Tentu banyak sebabnya mereka mahukan sedemikian.
            Antaranya mereka berpandangan bahawa pasangan Najib dan Muhyiddin setakat ini dikatakan begitu serasi, mantap dan mampu memberikan keyakinan kepada ahli Umno seluruh negara seterusnya mengendalikan negara ini dengan cemerlang.
            Namun, apa yang jelas, tentulah mereka tidak mahu akan adanya berlaku perpecahan dalam parti sekiranya pertandingan dilakukan. Peristiwa 1988 barangkali banyak mengajar Umno sehingga parti itu pernah di haramkan.
            Justeru, jika demikianlah kehendaknya mengapa tidak pada mesyuarat akan datang ini dibuat satu ketetapan atau meminda perlembagaan Umno sedia ada dengan memasukkan satu ketetapan iaitu:" ..bahawa semua jawatan dalam MT boleh ditandingi kecuali untuk jawatan presiden dan timbalan presiden melainkan apabila kedua-dua atau salah satu daripada jawatan itu mengalami kekosongan..."
            Makanya, dengan ketetapan seperti itu, tidaklah akan ada suara-suara latar seperti sekarang yang memujuk dan mendesak supaya kedua-dua jawatan itu tidak ditandingi. Hanya kerana jawatan itu, maka ramai pulalah yanghendak bercakap-cakap politik. Sambil menyelam minum air, cakap punya cakap dapatlah juga mereka membuat kempen peribadi secara 'tidak sengajakan'.
            Rasional, mengapa perlu takut? Sampai bila kejujuran dan ketelusan orang-orang sesama Umno harus disangsikan. Pelbagai garispanduan dan etika telah dikeluarkan, jadi tiada sebab Umno takut mempertandingkan kedua-dua jawatan tersebut dalam mana-mana pergong pun. Orang Umno sendiri dengan tegas mengatakan bahawa Umno telah matang dan diperkuatkan lagi kedewasaannya apabila tahun 1988 Umno melukiskan sejarah pedihnya yang tersendiri.
            Jika masih berbegini-gini, apa yang jelas adalah parti Umno memang sudah matang tetapi ahlinya masih muda remaja...
            Justeru, jika ada masalah untuk menetapkan secara hitam putih supaya jawatan itu tidak ditandingkan, maka biarkanlah ia berdiri dengan sendirinya dan hadapilah realiti dengan terbuka dan penuh kedewasaan. Seperti kata DS Najib, hadapi realiti bukan persepsi.   
            Dan, jika perlembagaan itu boleh dipinda sedemikian rupa, maka eloklah dipinda dan dibuat satu ketetapan tegas supaya tidaklah terdengar suara-suara 'mengambil perhatian presiden dan perwakilan ' tidak menjadi penyeri akhbar-akhbar dan media-media tempatan. Habis cerita!



Jagindas: Pastikan Naib Presiden Umno Malaysia adalah gandingan mantap pelapis akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.