Khamis, 5 Disember 2013

RAKYAT TIDAK PERLU RUNSING SEMUA BENDA NAIK...

Satu Cara Menyumbang Untuk Negara Tercinta

KITA ada banyak program yang sedang, akan dan telah dilaksanakan bagi membantu dan menaiktaraf hidup rakyat miskin dan termiskin d negara ini. Target negara sebelum menjelma suria tahun 2020, semua rakyat sewajarnya telah maju. Maju pendidikan, maju pembangunan, maju kekayaan harta benda dan budaya. Pendek kata maju segala-galanya. Cuma kita amat berharap jangan pula yang buruk-buruk pun turut maju sama!
            Jadi, untuk mengsukseskan matlamat itu negara perlukankan perbelanjaan yang besar bagi mengisi program-program pembangunan rakyat sepertimana yang telah diuar-uarkan.
            Seperti yang rakyat sedia maklum sumber kemasukan dana negara boleh dikatakan terhad. Yang paling nampak menonjol adalah hasil petrolium (Petronas) selain hasil sawit, getah dan perdagangan antara bangsa.
            Makanya, rakyat perlu menolong sesama rakyat. Menaikan harga petrol, menaikkan kadar caj elektrik (TNB), telefon dan pelbagai caj dan cukai lagi sangat wajar malah amat perlu dilakukan. Bukankah kita ada konsep dan prinsip "saling membantu" ? Sudah lama kita semaikan budaya seperti itu di kalangan rakyat jelata. Sampai masanyalah sekarang rakyat mengaplikasi atau setepatnya merealisasikannya.
            Cuma, penulis rasa kenaikan caj-caj itu masih rendah dan tidak sepadan dan seimbang dengan keperluan kemajuan, program serta keselesaan yang dicapai oleh rakyat jelata di bawah pentadbiran kerajaan pusat Barisan Nasional (BN). Kita perlukan dana yang banyak dengan segera kerana masa sudah amat suntuk untuk bertemu 2020.
            TNB sepatutnya menaikkan caj barunya mulai tahun hadapan sebanyak 40% dan bukan 15% seperti yang disebut-sebut. Kenaikan 15% dijangka masih belum mampu membantu negara untuk membantu rakyat-rakyatnya yang masih banyak marhean. Orang-orang besat dan seluruh pekerja TNB sewajarnya menerima manfaat yang besar kerana GLC itu banyak memberikan manfaat kepada pembangunan insan dan negara.
            Zakat fitrah (Islam) juga sudah wajar mencecah RM50.00 sekepala berikutan ia hanya wajib ditunaikan setahun sekali. Sekali gus, tabung zakat negeri dan persekutuan menjadi lebih kukuh yang mana ia boleh membantu melancar serta memudahkan pelbagai aktiviti syariat Islam berdasarkan asnaf-asnaf yang telah ditetapkan dan yang diluluskan oleh majlis fatwa kebangsaan dan negeri. Apalah sangat RM50 ke jalan Allah, hanya lebih kurang 13 sen sehari..
            Caj bagi bil-bil telefon, internet dan pelbagai peralatan media maya dan tidak maya yang lain juga wajar dikena dan dinaikkan. Ini bagi menggalakkan sikap berterima kasih rakyat dan pengguna kepada kerajaan dan juga salah satu cara tidak langsung mengheret rakyat jelata menyumbang dan berkorban demi negaranya.
            Dalam pada itu, gaji dan pendapatan rakyat biarkanlah seadanya seperti sedia ada bagi mengajar dan melatih rakyat mengenal erti kesengsaraan, kepayahan dan menghargai betapa nilai setiap sen wang Malaysia. Cukai hasil tanah, cukai pintu dan cukai pelbagai terhadap harta-harta juga perlu dikena bagi yang belum tercaj dan dinaikan bagi yang sudah dicaj.
            Caj untuk bil air juga perlu dinaikkan paling tidak menyamai kenaikan caj eletrik. Caj-caj pakir juga jangan dipandang remeh. Setiap jam pakir wajar dikenakan caj sekurang-kurangnya RM3-RM5 (sehingga tahun 2020) manakala kompaun terhadap pengguna yang melanggar peraturan itu dicaj sebanyak RM500.00 mandatori. Ini boleh membantu mengurangkan jumlah kenderaan di bandar dan dijalanraya sekali gus menjadikan bandar dan bandaraya bebas daripada kesesakan lalu lintas.
            Itu  hanyalah sekadar contoh antara usaha-usaha bagi membabitkan rakyat membantu negaranya dan negara pula dapat menyalurkan keuntungan atau hasil kutipan dana itu untuk kebajikan rakyat jelata terutama yang miskin dan papa kedana. Kalau tidak kita, siapa lagi....Agak-agaknya, apa lagi caj-caj yang wajar dinaikan melebihi 40% agaknya?
            Kerajaan tidak perlu kawal harga hartanah (tanah dan rumah). Ini bagi mengajar rakyat menghargai setiap inci tanah yang mereka ada. Orang lain sanggup meneroka haram, tetapi orang kita yang ada depan mata pun tak sanggup nak teroka. Biarkan. Jangan takut rakyat tidak berumah. Di bawah laluan-laluan yang bersimpang siur yang bertingkat-tingkat di bandar-bandar amat cantik dijadikan sebagai penginapan paling tidak sebagai 'pondok berteduh'. Cuma sediakan paip awam dan tandas awam yang sistematik. Ini namanya memaksimumkan kepenggunaan ruang. Tiada lagi pembaziran..
            Rakyat kita pun sudah terlalu manja diajar meminta-minta tetapi tersangat kurang bertanya diri mereka apakah sumbangan mereka untuk negaranya yang tercinta. Mengena dan menaikkan pelbagai cukai, caj dan komisen adalah antara jalan secara tidak langsung yang difikirkan mampu mengheret rakyat merealisasikan korban untuk negaranya. Bahkan, ia satu cara pendidikan kenegaraan yang tidak formal.
            Selain itu, langkah-langkah proaktif sedemikian juga akan turut mengurangkan pertumbuhan populasi negara apabila lebih ramai rakyat yang memilih untuk hidup bujang. Jika ini berlaku, ia juga boleh dianggap satu pengorbanan kerana mereka secara tidak langsung telah mengurangkan permintaan terhadap bahan-bahan keperluan asas negara. Dalam pada itu kerajaan juga dapat menyelamat berbilion pencen berwaris berikutan ramai kakitangannya tiada memiliki waris mutlak.
            Bolehkah begtitu demi negara tercinta..? O..ya, terlupa pulak nak ucap kepada yang tengah bersidang di perhimpunan agung umno sekarangini sejak 4 hari lalu, diucapkan selamat menutup tirai persidangan dan balik ke kampung halaman masing-masing...

Jagindas:  Malaysia berpendapatan tinggi menjelang 2020...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.