Gambar Hiasan |
Pelanduk Tidak Pernah Lupakan Jerat
PERISTIWA pengawal keselamatan menembak mati seorang pekerja bank baru-baru
ini akhirnya mengesahkan bahawa pengawal berkenaan adalah pendatang tanpa izin
yang menggunakan kad pengenalan palsu. Tragedi itu bukan sahaja menyayat hati
malah turut mengejutkan pihak berkuasa sehingga terdedahnya pelbagai perkara
yang jika tidak di banteras segera ia boleh memudaratkan negara.
Namun, kesedaran dan rasa terkejut
pihak berkuasa itu bukanlah kali pertama malah kita sudah banyak kali diperdengarkan
dengan jawapan seperti: Kita sudah lama
mengetahui....Kita telah mengesannya sejak beberapa tahun lalu.....Kita tahu
ada dalang..... Dan begitulah seterusnya sehingga mendesak kerajaan
menubuhkan pelbagai bentuk jawatankuasa khas dan penyiasatan.
Kes itu mengingatkan
penulis di suatu masa dulu di mana rakan-rakan ngeteh (kedai kopi) pernah
membicarakan perihal pihak berkuasa tidak melayan permohonan, cadangan atau
rungutan orang ramai supaya menempatkan lampu isyarat di sesuatu tempat berikutan
pada hemat penduduk laluan tersebut sudah begitu membahayakan orang ramai.
Seperti biasa, kalau ada
respon pun pihak berwajib hanya memberikan pelbagai alasan seperti ianya belum
ada keperluan lagi atau jabatan masih belum ada peruntukan. Wakil rakyat pun
sama. Padahal bukan dia tidak tahu, jika seorang penduduk di situ mati eksiden,
bermakna dia kehilangan satu undi. Dan bukankah satu undi itu amat penting
baginya? Ini bermakna, wakil rakyat pun tidak menghargai undinya sendiri
usahkan pula hal-hal keselamatan penduduk.
Namun, setelah beberapa
kejadian kemalangan maut berlaku di situ, maka dengan serta merta pula lampu
isyarat tersebut disediakan. Cerita-cerita seperti ini bukan cerita baru,
rekaan mahupun fitnah. Tetapi itulah kenyataannya. Sedangkan, apabila berlaku
lawatan orang besar-besar, kerja-kerja turap menurap, bersih membersih longkang
dan jalan yang menelan belanja beratus atau jutaan ringgit semudah itu pula
diluluskan.
Konklusinya, khalayak
berpendapat mentaliti pihak berkuasa kita akan bertindak agresif sekiranya
sudah terbukti berlaku sesuatu yang menyebabkan kehilangan nyawa meskipun
ternyata kesibukan dan keadaan kelam kabut memang berlaku di depan mata dan
setiap ketika.
Mengimbas kembali kes
pembunuhan perkerja AmBank baru-baru ini, penulis merasakan senarionya tidak
jauh beza dengan kes lampu isyarat tersebut. Bak kata orang tua-tua terdahulu;
* ubatilah bengkak sebelum bernanah
*
jangan tunggu terhantuk baru nak tengadah
*
sesudah lulus maka hendak melantai
*
sesudah kecurian baru pintu hendak dikunci
* sesudah kalah baru
hendak berkubu
*
setelah terperlus maka baru hendak menutup lubangnya
Kedegilan terhadap firasat
dan ingatan orang tua-tua itulah menyebabkan ramai yang mendapat susah. Bahkan,
selain nyawa melayang, negara juga turut terancam keselamatannya. Tidak
keterlaluan jika dikaitkan kealpaan dan sikap rasa selesa serta yakin selamat
turut mengheret negara ke pertempuran dengan pengganas Kiram (Sulu) yang
menceroboh negara beberapa bulan lalu yang mengorbankan banyak nyawa dan
mencederakan banyak anggota keselamatan dan orang awam. Barangkali juga, gejala
rasuah turut menambah burukkan lagi masalah keselamatan negara ini.
Memang, ada benda-bendanya
nampak kecil dan remeh tetapi pada masa sama ia adalah virus yang amat
berbahaya. Api dalam sekam, duri dalam daging MEMANG BERBAHAYA DAN AMAT
BERBAHAYA! Dan kita, sudahpun mendapat balanya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.