Sesekali bila balik kampong menziarahi tempat tumpah
darah memang seronok. Ketemu kawan-kawan lama sambil melihat perubahan hidup
mereka sebagai petani yang berjaya mengusahakan sawah padi. Dulu hidup sempit
tetapi sekarang ada yang sudah mampu berumah besar dan punya kereta sendiri
untuk bergerak ke sana ke sini bersama anak dan isteri.
Syukur kepada Tuhan yang memberikan nikmat dan terima
kasihlah kepada kerajaan BN yang prihatin menawarkan subsidi sehingga dapat memberikan
perubahan yang amat ketara terhadap golongan petani berbanding zaman mak bapak
kami dulu.
Kepada petani, kenangkan zaman mak bapak kita dulu
ketika menjadi petani seperti kamu sekarang, mereka hidup begitu dhaif.
Sukarnya mereka nak membesarkan kita apatah lagi menyekolahkan kita.
Bersyukurlah sentiasa semoga Tuhan melimpahkan lagi rahmatnya berterusan dan
berterima kasihlah kepada kerajaan yang didorongkan Allah untuk menyalurkan
pelbagai bantuan dan subsidi sehingga dapat merobah taraf hidup anda semua pada
hari ini.
Saya sempat menemui seorang anak muda kampung yang berkelulusan
kejuruteraan awam dari IPTA tempatan tetapi menjadi petani sepenuh masa. Semua
tanah yang diusahakannya adalah di sewa dan ada yang dipajak daripada penduduk
setempat. Bagi saya dia petani berjaya sebab hasil taninya bukan sahaja untuk
pasaran tempatan tetapi juga di ekspot
ke luar negara.
Katanya, pada mulanya dia hanya membantu bapanya
sebaik sahaja habis belajar. Dia dapati pendapatan daripada usaha-tani bapanya
itu begitu lumayan. Oleh itu, dia membuat keputusan untuk terus menjerumuskan
diri dalam bidang itu dengan meluaskan empayar bapanya meskipun tidak memiliki
seinci pun tanah sendiri.
Menurutnya, sekarang bapanya hanya bertindak sebagai pemantau kerana sudah tua. Beliau menggalas semua tugas bapanya dengan dibantu oleh beberapa pekerja tetap.
Kisah anak muda ini lain sedikit sebab dia tidak
bermula dari "0". Dia boleh
dikategorikan sebagai mewarisi usaha bapanya. Namun begitu, saya tabik hormat
kepadanya terhadap sikap dan atitud beliau yang memilih bidang pertanian
sebagai kerjaya sepenuh masanya.
Syabas anak muda! Tak ramai anak muda seperti kamu. Jangan
lupa diri dan jujurlah ketika bersahabat dengan bumi.
Jagindas: pernah beli sekeping tanah, malangnya bila
jabatan pertanian buat penilaian tahap kesuburan tanah, rupa-rupanya tanah
berkenaan langsung tak ada kandungan air meneral....hehehe