Ahad, 1 Julai 2012

SEMBANG AHAD: PADA HEMAT SAYA... bhg, pertama


TIGA KISAH yang saya paparkan menerusi tajuk: DAH PENCEN SOKONG PEMBANGKANG PULAK DAH.., AKULAH CALON PKR PRU13 NI,  DAN APA DAH JADI NI!  menyentak benak saya untuk menyelami nasib Barisan Nasional dalam PRU13 nanti bukan sahaja untuk di negeri Perak malah di negeri-negeri lain juga.
            Keyakinan Datuk Seri Najib adalah juga keyakinan saya. Begitupun, ibarat memandu kereta, sepandai manapun kita memandu atau sepatuh mana kita mematuhi peraturan jalan raya, namun kita perlu sentiasa berhati-hati di jalan raya.
            Adakalanya, kita di landasan betul, namun datang sebuah kereta yang pemandunya mabuk maka tak pasal-pasal kita dirembatnya. Demikian, pemanduan kita yang begitu cermat dan berhemah, malang tak berbau tiba-tiba melintas sebuah kenderaan merentasi jalan. Dalam kedua-dua kes itu, kemalangan pasti berlaku. Siapa-siapa yang hidup, mati, cedera, selamat atau tidak, belum tahu!
            Jelas, skop pemikiran khalayak terhadap kuasa politik tidak lagi tertuding ke parti-parti politik semata, malah pada era ini dan seterusnya, keberkesanan operasi agensi kerajaan dan swasta juga turut menjadi elemen penting dalam minda pengundi ketika mempertimbangkan keputusan yang amat penting dalam satu-satu pilihanraya umum.
            Sekaligus, ada pihak yang akan menjadikan pilihanraya satu eksperimen tanpa makmal atau apalagi yang menjadikannya sebagai bahan jenaka yang akan meletakkan pilihanraya sebagai pentas yang paling malang dalam sejarah sesebuah negara demokrasi.
            Bermula dengan corak penyampaian kempen yang kasar, kurang berbudaya, menggunakan hujah agama melindungi kepentingan politik hinggalah ke pesta menaburkan kibaran bendera lalu terbawa-bawa ke peti undi bersama pilihan hati yang telah terpahat mengetepikan kejatian pemikiran yang berpaksi.
            Memang, apapun selepas lima tahun jika yang dicuba gagal merealisasikan semangat dan janji-janjinya, sekali lagi rakyat diberi kuasa untuk merobah semula pentadbiran negara menerusi pilihanraya seterusnya atau lebih singkat dari itu melalui saluran teknikal yang lain.
            Ibarat orang berjudi, kalau semua wang simpanan, harta dan segalanya telah tergadai, mampukah si kalah judi bertarung lagi usahkan untuk mengaut untung kalau sempat mengembalikan harta yang hilangpun sudah memadai. Akhirnya, ada orang lain yang akan mengambil kesempatan seperti yang berlaku di negara-negara luar sekarang. Negara tidak stabil dan rakyat terus menderita sedang orang luar terus memasung tali aguk ke tengkok kita.
            Apa pun semua pihak mesti berpada-pada, sederhana tetapi tegas mengikut landasan dan lunas yang sebenar. Apa lagi bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan demokrasinya dirikan oleh multi-parti.
            Akibat kegagalan mengawal diri, hati dan pemikiran pemimpin mahupun pengikutnya, barangkali melahirkan kebimbangan bekas perdana menteri, Tun Mahathir (Tun), yang bimbang tahap sosialiti di negara ini semakin menampakkan kepuakan dan rasis. Kebimbangannya itu pada saya sudah tidak boleh dipertikaikan lagi kerana ia berlaku jelas di depan mata dan dicuping telinga masyarakat Malaysia. Tun sendiri nampaknya ngeri terhadap keadaan ini.
            Wajarannya, siapapun yang berhasrat untuk memerintah negara bukan sekadar mempertahankan ideologi, prinsip dan dasar perjuangannya tetapi juga mesti mendidik pengikutnya supaya menghormati kedaulatan dan keharmonian negara.
            Ini kerana, didikan tindakansemborono dan keterlaluan daripada pemimpin sebenarnya akan juga menempelak diri sendiri nanti apabila sampai masa ditakdirkan memerintah berikutan tidak ada seorang manusia pun yang akan terlepas daripada melakukan atau terlaku salah dan silap.
            Adalah menjadi tugas pemimpin bawahan supaya menjelaskan secara jujur dan terang kepada rakyat terhadap serangan-serangan menerusi isu-isu besar atau kecil yang dimainkan oleh pihak lawan.
            Mereka inilah seharusnya memahami signal yang dicakapkan oleh pemimpin atasan. Jadi, oarang di peringkat bawah kena ada ilmu untuk mendepaninya. Bertindaklah segera tanpa perlu diarah atau dimajlis-majliskan tetapi jangan terburu-buru.
                         

[bersambung ke bahagian 2]


Jagindasorang tua-tua kata: kalau banyak sangat cakap nanti nanti akan  banyaklah salah, bila banyak salah banyaklah dosa! KALAU DAH BANYAK DOSA? .... (kurangkan dosa, kurangkan salah, kurangkan cakap. jom buat kerja!)

ALAMAK! APA DAH JADI NI......


TENGAHARI semalam Jagindas sempat menghadiri jmputan kenduri tahlil seorang rakan di kampung dia kira-kira 45 minit perjalanan dengan kereta. Bayangkanlah, gulai tempoyak ikan tengalan dan kambing masak kawah serta beberapa lauk pauk dan ulaman. Ada kuih muih, cendol dan goodies lagi! Kenduri tahlil macam kenduri kahwin. Orang berduit boleh lah... yang penting niat dia ikhlas.
            Selepas makan, saya ambil masa bersembang-sembang dengan seorang jemputannya. Orang panggil dia Jak. Saya panggil Jak juga lah. Entahkan Razak ke, Sujak ke tak pasti pulak nama betulnya. Tapi saya tahu dia orang kuat UMNO di bahagiannya.
            Macam nana? Itu soalan pendek saya. Dia orang politik, jadi dia faham maksud saya.
            "Masih kelabu yop. Kalau ikutkan sambutan cawangan di kampung-kampung, ahlipun tak nak keluar masa mesyuarat. Semangat nampaknya semakin hambar. Pemimpin pun tak turun padang, semua nak harapkan dari atas. Apa yang kerajaan curahkan habis disebat tapi nilai sokongan tak berbaloi.
            "Untuk negeri, saya tak berani nak komen, parlimen mungkin boleh menang. Tapi apa ertinya? Hasil mahsul datangnya dari negeri. Kalau dibuatnya 5, 6 negeri puak tu dapat, merana Puterajaya nak memerintah yop", dia berkata serius dan nampak begitu tertekan membicarakan isu itu.
            Baginya,  pemimpin di peringkat bawahan iaitu Bahagian dan Cawangan gagal memanfaat ruang dan peluang sedia ada untuk kembalikan minat rakyat terhadap BN terutama kaum ibu, janda, kaum belia serta orang tua-tua di kampung-kampung dan pendalaman.
            Seperkara lagi menurutnya, rasa kecewa orang ramai terhadap gelagat dan sikap pemimpin BN masih tebal. Meskipun media massa membuka pelbagai pekong cerita pemimpin pembangkang, tapi pada masa sama penduduk setempat turut meneliti gelagat dan perangai pemimpin di kawasan mereka.
            "Mereka masih berperangai dan sikap lama. PM dan TPM berhempas pulas tenaga dan suara tetapi  pemimpin di bawahan masih leka dan bersuka ria. Masih ada lagi "orang saya" bukan orang saya". Inilah yang dinamakan tak faham bahasa," katanya yang menampakan kekecewaannya lebih resah.
            Sementara itu, menurutnya kempen mengajak pengundi marahkan nyamuk kelambu dibakar semakin menjadi-jadi dan mendapat sambutan. Mereka mendakwa kelambu yang ada sekarang sudah teralu lama dan perlu diganti dengan yang baru.
            Berdasarkan luahan rakan saya itu, bagi saya, rakyat hari ini sudah keliru. Kalaulah nak dikatakan kejayaan pun, itulah kejayaan puak-puak pembangkang kerana berjaya mengelirukan pemikiran rakyat sehingga  ramai yang terpilihkan batu yang diwar-warkan permata.
            Manakala, kelemahan jentera diperingkat bawahan pula adalah, kebanyakannya  masih gagal mempergunakan ruang dan peluang yang ada untuk memperbetulkan keadaan. Memang letihlah PM dan TPM kalau beginilah seterusnya sikap bala tentera yang ada!
            Lahiriahnya, menegur dan mengajar manusia bukan senang kalau kita tak ada ilmu dan persediaan yang cukup. Pun begitu, belum tentu yang ditegur atau diajar akan dapat memanfaatkan teguran dan ajaran kita. Sebab, tidak semudah itu manusia boleh sedar diri dan insaf terhadap apa yang berlaku pada diri sendiri apalagi hal-hal yang disekelilingnya, melainkan dengan kehendak Allah jua.
            Ruang masih ada, justeru, marilah sama-sama membetulkan keadaan bagi memastikan ketuanan melayu tidak sekadar tercatat dibuku sejarah suatu masa nanti. Ada yang tersirat dalam amanat raja-raja melayu.


Jagindas:    susah orang susah, sebelum tidur dia memikir esok mana nak cari duit nak beli segenggam beras, tapi susah orang senang dia nak cari setengah juta lagi untuk dana projeknya... Kedua-duanya pun orang susah juga!

LOGO HALAL





MULAI HARI INI,  hanya sijil dan logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dibenarkan berada di pasaran.
            Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha, pertubuhan atau perbadanan yang melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan yang berikut dalam kes yang sama denda tidak melebihi RM500,000.
            Katanya, bagi bukan pertubuhan atau perbadanan, pesalah akan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.‘‘Bagi kesalahan kedua dan berikutnya denda sebanyak RM250, 000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekalii," katanya.
            Jakim, katanya, mengingatkan dan memohon kerjasama pengusaha premis agar lebih bersedia dan peka perintah Akta Perihal Dagangan (APD 2011) dari semasa ke semasa.
            Dalam pada itu katanya, Jakim juga berharap orang ramai menyalurkan maklumat kepada jabatan itu sekiranya berlaku penyalahgunaan logo dan ungkapan halal di mana-mana premis.
                                                             [sumber: Utusan Malaysia, 30 Jun, 2012]

JagindasKelmarin, Jagindas sempat merayap-rayap ke Tanjong Tualang yang konon nama jolokannya Pekan Udang Galah. Jauh juga tempatnya! Memang banyak rupanya restoran yang menyediakan masakan berasaskan udang galah sungai. Besar-besar restorannya. Ada juga saya tengok beberapa orang Islam melahap di situ.  Tapi pada pemerhatian Jagingas, tiada satupun restoran tersebut mempamerkan sijil halal. Eeee.. geli la..

Sabtu, 30 Jun 2012

MAHALNYA ....


PETANG tadi saya ajak seorang kawan menjala ikan di kolam bekas lombong. Dapat lampam, talapia dan haruan. Bolehlah.. sebesar-besar tapak tangan. Lepaslah makan untuk dua tiga hari.
            Bukan apa, dah tak larat makan ikan termenung dan ikan rebus setiap hari. Ikan lain tak larat nak beli! Punyalah mahal. Mahal betul. Ikan termenung tu adalah ikan yang termurah diantara yang termahal. Sayurpun mahal. Cabai bawang pun mahal. Rempah ratuspun mahal. Mahal, mahal, mahal!
            Agaknya itu sebab banyak lelaki memilih bujang trang tang tang sekarang sebab takut nak kahwin berikutan dikhuatiri anak bini kelaparan kalaulah harga barang terus-terusan begini sedangkan pendapatan bergerak perlahan. Susu tepung untuk bayi dan kanak-kanak pun MAHAL!
            Serba salah dibuatnya, dinaikkan gaji untuk seimbangkan keperluan harian. Pada masa sama pulak, barangpun naik harga juga. Rakan-rakan kata kalau macam itu ibarat enam tolak enam (6-6), kong kali kong. Demikianlah keadaannya selagi sampan kita punya tapi tali dan sauhnya orang lain yang pegang! 
            Puasa nak tiba, lepas tu raya puasa pulak. Lepas tu pulak entah-entah pilihanraya. Mesti banyak hal punya...
            Apapun, saya percaya mesti ada jalan penyelesaiannya. Fikir, fikir, fikir! Khalayak bercakap-cakap tentang hal ini. Suri-suri rumah menggelabah setiap hari sebab suami sering bagi duit tak cukup. Cuma yang saya nak bagi tahu, khalayak yang bercakap dalam hati tu yang berbahaya. Kesannya amatlah menyakitkan.
                        Ekonomi kita dikatakan semakin rancak dan meriah. Duit kita dikatakan semakin bernilai tinggi berbanding US Dollar. Tapi kalau bawak RM50 ke pasar, nampak tak jadi apa!  Barang-barang yang dibawak balikpun  ciput saja.
            Tak apalah asalkan kaum nelayan bahagia. Sebab, nelayan marhain juga perlu hidup selesa. Tapi, saya nak tanya nelayan, you orang  jual ikan kepada pemborong mahal tak? Petani jual sayur kepada pemborong mahal tak? Kalau mahal, berbaloilah. Bak kata orang putihnya fare and square.


Jagindas orang rumah dah tak tahu nak masak apa...