Selasa, 4 September 2012

PEMARTABATAN BAHASA MELAYU


KEMENTERIAN PENDIDIKAN PERLU LEBIH SERIUS
DI ARAS MANA LETAKNYA BAHASA MELAYU?

KALAU tidak silaplah, sebaik sahaja Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) diangkat dalam perlembagaan serta dimartabatkan sebagai bahasa rasmi negara, maka antara lain kerajaan telah menetapkan secara umumnya supaya tanda nama bagi bangunan-bangunan kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta perimis-perimis perniagaan  hendaklah ditulis dalam bahasa Malaysia manakala bahasa-bahasa lain boleh digunakan dengan syarat kedudukannya tidak mengatasi bahasa rasmi itu dan saiznya juga hendaklah lebih kecil dari itu.
          Begitu juga, untuk papan tanda sekolah-sekolah di Malaysia, tidak kira sama ada sekolah bantuan penuh kerajaan atau pun sekolah bantuan modal kerajaan termasuk sekolah-sekolah mubaligh, nama sekolah tersebut hendaklah mengutamakan tulisan dalam Bahasa Melayu (huruf roman yang tidak bermaksud bahasa Inggeris) kemudian dibolehkan diikuti dengan bahasa-bahasa ibunda yang lain termasuk tulisan jawi dengan syarat ianya ditulis dengan saiz yang lebih kecil daripada Bahasa Melayu.
          Kelonggaran diberi kepada sekolah agama (Islam) dengan mengutamakan tulisan jawi (dalam ertikata bacaan bahasa Melayu bukan bahasa Arab) dan  diikuti dengan nama dalam bahasa Melayu.
           Itupun kalau masih digunapakai. Tak tahulah pulak garispanduan ini sudah dilepas dan dibebaskan!
          Justeru, sekolah ini macam mana (lihat gambar)?  Difahamkan sekolah ini adalah jenis bantuan modal dengan muridnya tidak sampai 50 orang. Difahamkan juga pada tahun 2009 (di bawah pemerintahan Pak Lah dan Datuk Seri Hishamudin sebagai Menteri Pelajaran) kerajaan telah memberikan lebih RM2 juta untuk projek pembangunan dan kerja-kerja naiktaraf sekolah berkenaan.
          Jadi?? Hahaha..., banyak tu. Jumlah ini menunjuk bancian sekepala murid di sekolah itu lebih kurang RM400,000 setiap seorang murid! Setaraf dengan pembinaan sebuah kolej! Biarkan hal itu, kerana ia adalah hak kerajaan untuk memberi atau tidaknya.
          Soalnya, sejauh mana sekolah ini menghormati Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara ini? Dan secara umumnya, sejauh mana pula institusi pendidikan negara ini memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan juga peranannya dalam membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap kedaulatan bahasa itu.   
            Bahkan, sejauh mana pula kementerian pendidikan memastikan pematuhan garispanduan tulisan di papan tanda nama sekolah-sekolah di Malaysia?

          [ ini sekadar contoh sahaja, barangkali banyak lagi di luar sana]

                  

Jagindas   Nak tahu, apa sensitiviti unit bahasa dan protokol di Pejabat Pelajaran Daerah, Pejabat Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia?


Isnin, 3 September 2012

DEMI MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA


PENGHINA PERLEMBAGAAN DAN RUKUN NEGARA WAJAR TERIMA HUKUMAN
PATRIOTIKKAH JIKA BENDERA DIBEGINIKAN?
TAHNIAH, terima kasih dan syabas kepada kerajaan khususnya pihak berkuasa kerana nampaknya akan bertindak tegas terhadap penoda Jalur Gemilang dan golongan bangsat yang memijak dan menghina gambar pemimpin negara khususnya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib baru-baru ini.[di sini]

Ahad, 2 September 2012

INSTITUSI MELAYU KIAN TERCABAR (BAHAGIAN DUA)


BERSEDIALAH HADAPI SEBARANG KEMUNGKINAN
(baca dulu bahagian satu)

INSTITUSI RAJA: PAYUNG KEDAULATAN ORANG MELAYU

Apakah sebenarnya yang meruntun naluri sehingga mengucapkan begitu?

1.  Najib, Mahathir dan lain-lainnya hanyalah seorang pemimpin. Pemimpin datang dan pergi apabila sampai masanya. Namun, institusi raja, perlembangaan, rukun negara dan undang-undang akan terus kekal malah terus berdiri sebagai tunggak negara bahkan sesebuah negara. Sebelum ini pun ramai yang telah memperkotak-katik, memperolok, menghina dan mencerca peradaban-peradaban, namun itu pun tiada "kekerasan" yang diambil, apalah sangat dengan memijak gambar pemimpin, membakar bendera dan menayangkan bendera!

2.  Hindraf yang sudah jelas sebagai pertubuhan yang tidak berdaftar, namun mengapa masih sewenangnya golongan atau aktivis terbabit menggunakan nama itu.

3.  Kes Suaram, yang semakin ramai meraguinya,mendesak supaya diambil tindakan, pun pihak berkuasa masih berdiam diri.

4.  Kes Ambiga, yang sudah terang lagi bersuluh, pun masih bebas dan terlepas

5.  Individu atau rakyat yang menghina sultan, institusi raja dan perlembagaan (sebagai contoh Nizar bekas Menteri Besar Perak) secara jelas dan terang, pun semacam  tidak menampakkan kesalahan mereka

6.  Gerakan mengkristiankan orang Melayu! senyap begitu sahajakah?

7.   Aktiviti judi haram (contoh: mesin judi dan nombor ekor haram) dan pelbagai kegiatan haram yang berlaku di depan mata (kini merebak dipekan-pekan kecil) tetapi bagaikan tidak pernah wujud bagi pihak berkuasa. Ia bukan sahaja haram di segi hukum syarak, malah turut meruntuhkan kerukunan hidup orang Melayu setempat malah ada yang mengatakan antara sebab berlaku banyaknya kes-kes kecurian, pecah rumah, ragut dan samun.

8.  Lambakan orang asing di negara bagaikan tiada kawalan sempadan sehingga menggugat ketenteraman dan keselamatan rakyat. Masihkan kita perlu berbudi bahasa, berlemah lembut, bertimbang rasa seperti kata Usman Awang: dagang lalu nasi ditanakkan!

9.  Sistem pendidikan yang kian dicabar keikhlasannya

10. Banyak sudah yang dilepas berikutan sikap tolak ansur orang Melayu. Akan kekalkan kita bersikap sentiasa beransur setiap kali orang lain menolak dan menggertak?

11. Dan, kita hanya mampu memberikan peringatan demi peringatan, amaran demi amaran. Dewan bergegar dengan sorak dan tepuk tangan bila berhimpun, kemudian disudahi dengan tawa hilai sesudah tamat persidangan. Cuma yang nak didengarnya: bagaimana ucapan aku tadi?  Ok ke?

Itu hanyalah sekadar beberapa contoh yang sempat dipaparkan.Masih banyak lagi yang khalayak sendiri dapat merasakan. Cuma, barangkali setakat ini ia hanya berdetik dalam hati kecil sementara menanti waktu bengkaknya!


Jagindas:   Sedang dalam hati orang lain mereka terus mentertawakan kita...Dan Melayu semakin alpa!


INSTITUSI MELAYU KIAN TERCABAR (BAHAGIAN SATU)


BERSEDIALAH HADAPI SEBARANG KEMUNGKINAN
LAMA  juga saya memikir untuk menulis paparan hari ini. Namun, setelah meneliti laporan media dan akhbar-akhbar, maka saya membuat keputusan untuk memamparkan pandangan saya kepada khalayaK terhadap isU semasa yang ada antaranya sudah menjadi polimik, berhenti dan kemudian dipolimikkan semula di dada-dada akhbar dan media.
            Ringkas sahaja, iaitu mulai saat ini rakyat Malaysia khususnya orang Melayu mesti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku dalam negara ini berikutan sikap terlalu berhati-hati pihak berkuasa menangani sesuatu isu khususnya yang bersifat sensitif.
            Sikap demikian pihak berkenaan itu sehingga ada yang beranggapan pihak terbabit tidak serius atau tidak menganggap isu tersebut sebagai membahayakan keselamatan awam dengan bersandarkan mereka adalah pihak yang paling layak menilai sesuatu isu.
            Ataukah, ramai kalangan yang bertangungjawab di atas sana di mana hati, perasaan, pemikiran dan perhambaan mereka bukan lagi milik kerajaan? Atau, mahukah dikatakan semakin ramai musang berbulu ayam lalu menyebabkan bertambahnya duri dalam daging?
            Barangkali juga, yang semakin menyibuk, bimbang,  bising dan mengeram ketika ini adalah orang Melayu. Dan, seperti biasa orang Melayu mudah tegang dan mudah kendur hanya dengan kata-kata "maaf" makanya pihak berkenaan menganggap ianya adalah bersifat sementara. Sementara isu menjadi sejuk, sementara lama kelamaan ianya dilupakan!
            Namun, lupakah kita bahawa orang Melayu ini bersifat menyimpan, memendam dan berdendam kesumat apabila ke-Melayuan-nya tercabar amat? Dan, ketika itu biasalah akan berlaku sudah terhantuk baru tengadah dan hancurlah harapan apabila nasi menjadi bubur?
            Menungu masa itukah?
       Justeru, melihatkan senario itu saya mengingatkan sekali lagi supaya kita bersedialah menghadapi sebarang kemungkinan apabila tiba saatnya Melayu itu "terpaksa" memperlihatkan Melayu-nya sebenar! Demikian puisi yang ditulis saterawan ulung, Dr. Usman Awang (Allahyarham):

 Melayu - Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka


Jagindas:  BERSAMBUNG ke Bahagian Dua