Sabtu, 2 Mac 2013

KHALAYAK KESAL KOMANDO TERKOBAN

Gambar Hiasan: siap sedia menentang musuh!

Dakwa Kembutan Kita Memakan Diri!

PENULIS tidak berhasrat untuk mengulas atau memberi sebarang pandangan terhadap kes pencerobohan bersenjata daripada kumpulan yang mendakwa kerabat Sultan Sulu di Lahat Datu, Sabah,  yang kini menjadi fokus bacaan dunia.
            Dalam negara, sejak dua belas hari lalu, selain kisah itu menjadi pilihan utama media-media tempatan, di kedai-kedai kopi dan di majlis-majlis kenduri kendara pun termasuk di masjid dan surau-surau khalayak turut memperkatakannya. Bertambah keras apabila dua nyawa anggota keselamatan kita hilang dan tiga yang lain cedera dalam satu serangan semalam.

Jumaat, 1 Mac 2013

PATAH SAYAP TERBANG JUA...

Gambar Hiasan..

Namun Gunung Tetap Ku Daki,Lautan Ganas Akan Ku Redah!

PETANG TADI seorang sahabat yang juga pengikut blog ini menghantar email kepada penulis. Kandungannya tidaklah bersifat peribadi. Lantas bagi penulis elok juga sebahagian kandungan emailnya itu penulis kongsikan dengan pembaca sekelian kerana terdapat sesuatu yang baik untuk difikir dan direnungkan.
            Penulis percaya, beliau terkenang kandungan mesej dalam Novel "Patah Sayap Terbang Jua" yang ditulis oleh sasterawan negara yang juga penulis terkenal tanah air. Begini kandungan emailnya:

            "Novel Patah Sayap Terbang Jua oleh A Samad Ismail mengisahkan perjuangan wartawan di ambang kemerosotan kuasa Jepun. Rupa-rupanya melayu ketika itu tak banyak bezanya pun dengan Melayu zaman ini. 
            Suka berfoya-foya. Yang penting sedikit keamanan.menikmati hari hari yang aman seperti zaman British sudah mencukupi. Dapat makan roti bersama majerin dan naik basikal Releigh sudah kira bertuah. 
            Perkataan perjuangan amat ditakuti. Keadaan ini amat contrast dengan Bangsa Indonesia ketika itu yang memiliki semangat juang yang tinggi untuk menghalau penjajah tidak kira Belanda, Amerika, Inggeris dan Jepun dari negara mereka.
            Hingga pertengahan Novel ini dapat kita memahami lebih dalam pemikiran yang ada pada bangsa Melayu. alahai Melayu, Melayu..."


Jagindas: Terkenang pengelaman ketika bertugas sebagai pemberita di salah sebuah akhbar perdana suatu masa dulu..

KITA TAK MAU WO.. MANA ADA UNTUNG?

Gambar Hiasan


RM100  Peniaga Sediakan Makanan Rakyat?

Pagi Tadi : 10 am - 11.30 am
Lokasi: Gerai makanan majlis daerah...

TIDAK berapa jauh dari meja tempat penulis duduk sambil menghirup secangkir kopi 'O' terlihat di satu sudut beberapa peniaga cina (gerai makanan) riuh rendah seakan-akan mempertikan sesuatu. Bersama mereka ada dua orang berpakaian 'kolar putih' yang penulis percaya mungkin pegawai kerajaan.
            Mereka tidak bergaduh. Dalam suara-suara tinggi itu terdapat juga gelak ketawa. Tetapi yang jelasnya di akhir perbincangan itu peniaga terbabit mengatakan "tak mahu la tuan..., mana ada untung?"
            Rupa-rupanya, kononnya sempena lawatan Menteri Besar  (MB) ke kawasan berkenaan pada 3 mac ini, setiap peniaga di gerai kawasan itu akan disumbangkan sebanyak RM100 dan mereka dihendaki menyediakan makanan atau minuman senilai sumbangan itu untuk orang ramai yang hadir bersama-sama pemimpin negeri itu nanti.
            "Satu orang makan pagi pun sudah hampir RM4.00, kalau RM100 mahu kasi orang makan apa? Berapa orang mahu makan? Ramai ooo.. Mahu untung apa? Jadi kita tak mau ikut dia orang punya program laa..", kata Ah Keong yang mewarisi perniagaan gerai makanan daripada mendiang bapanya di situ.
            Sementara itu peniaga melayu di deretan gerai majlis daerah yang sama pula tidak menolak mentah-mentah tawaran kerajaan itu tetapi akan menyediakan makanan ala kadar sahaja berikutan sumbangan yang diberikan amat kecil.
            "Cukup tidak cukup itu soal lain. Biarlah bahagian yang menguruskan program itu menjawabnya. Fikir sendirilah, takkan dengan nilai RM100 boleh menanggung untuk beratus malah mungkin beribu orang yang akan datang mengekori MB nanti", kata seorang peniaga di situ.
            Pada fikiran penulis begitu juga. Kalau ada sepuluh gerai, peruntukan yang diberi baru RM1,000. Jika bajet seorang RM2.50 bermakna wang tersebut mampu menanggung makanan percuma untuk 400 orang. Soalnya, hanya 400 orang sajakah yang akan datang pada hari itu?  Sedangkan di situ tidak sampai pun sepuluh gerai yang menjalankan aktiviti perniagaan makanan!
            Jadi, kira-kira macam ini kita nak kira macam mana...?


Jagindas:  kadang-kadang lebih baik tidak ada daripada ada....

Khamis, 28 Februari 2013

'ORANG' BN BUAT HAL LAGI...

Najib ketika melancarkan pusat UTC di Ipoh, baru-baru ini

Agihan Baucer Kar1sma Tersasar

SANA SINI sudah berbunyi. Orang yang hidupnya senang lenang, berniaga malah perniagaannya juga bagus, memiliki kereta malah berkepupayaan pula membelikan sebuah kereta untuk anaknya yang masih belajar universiti (IPTA) tetapi inilah antara manusia yang menerima baucer warga emas RM200 (Kar1sma) sebagai bantuan kerajaan untuk mereka menampung membeli keperluan harian.
            Selain itu, penerima tersebut juga belum berusia 50 tahun. Sihat. Isterinya juga sihat dan mengancam (hahahaha..). Beliau juga baru-baru turut menerima bantuan BR1M dan bantuan peralatan perniagaan untuk kedai makanannya padahal ada yang lebih memerlukan tidak diluluskan atau tidak diberikan oleh agensi terbabit.

HABISLAH NAJIB, DAP SAMAN PULAK

Dakwa Najib Tuduh DAP Anti-Islam


DAP mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah menghina parti itu  atau membuat tuduhan yang DAP kononnya adalah 'anti-Islam'. Keterasaan DAP ini berdasarkan ucapan yang acap kali dituturkan oleh Najib di majlis-majlis bersama rakyat sebelum ini yang menyebut sebagai:
             "Undi untuk PKR akan menghancurkan akidah, manakala undi PAS akan mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam, dan undi untuk DAP akan melihat Islam akan ditindas."
            Sehubungan itu DAP telah membuat laporan polis bagi mendakwa fitnah Najib itu di sini. Menurut Zairil Khir, DAP tidak pernah membenci atau anti-Islam.
            Bagi menyokong dakwaan Zairil itu, baru-baru ini dalam satu kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata parti itu akan turut memperjuangkan Islam yang disambut secara sinis Datuk Seri Hadi Awang sebaai sesuatu yang melegakan.
            Penulis ucap tahniah dan syabas kepada Zairil yang begitu sensitif terhadap 'kebaculan' Najib sehingga beliau membuat laporan polis bagi mencabar di mahkamah terhadap fitnah yang dibuat oleh Najib.
            Sekurang-kurangnya Zairil telah menunjukan kepada khalayak bahawa dia memang anak jantan yang walaupun tidur sebantal dengan DAP tetapi hati perut dan jiwa Islamnya tetap ada. Beiau nanti adalah antara pemimpin melayu DAP yang akan memastikan Islam di negara ii terjamin martabatnya!
            Tidak seperti rakannya yang lain dari PKR dan PAS langsung tidak sensitif pada hal Najib sudah kata bukan-bukan!
            Tapi, jaga-jaga kalau Umno atau BN nak saman DAP pulak, agaknya....


Jagindas: Maksud perkataan Dikudakan dengan Mengkudakan juga tidak sama...

Rabu, 27 Februari 2013

BELAJARLAH DARI NEGERI MELAKA


Macam Mana Ia Membangunkan Industeri Pelancongan
Kononnya inilah menara untuk melihat beburung antara bangsa melawat 
Perak. Tapi tidak siapapun yang teringin menjejak kaki ke sini. Mengapa pulak?

DARI SUDUT agenda pengisian industeri pelancongan bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara, negeri Melaka adalah contoh yang terbaik. Bagi penulis, menteri besar-menteri besar  dan ketua-ketua menteri negeri lain seharusnya belajar daripada Datuk Seri Ali Rostam dalam menguruskan pelancongan di negeri masing-masing.
            Ali tidak bercakap besar dan jarang sekali meuar-uarkan sesuatu projek yang baginya masih samar-samar. Dia tidak mabuk publisiti. Lihatlah macam mana dia menjawab soalan wartawan, tidaklah setangkas mana. Begitu juga bila dia berucap, taklah sehebat mana. Pendek kata, Ali lebih banyak berkerja dari bercakap.
            Tahu-tahu, sudah ada itu dan ini yang menambahkan lagi seri negeri Melaka. Kebijaksanaan Ali menguruskan Melaka (dalam konteks pelancongan) membuatkan pelancong sama ada dari dalam mahu pun dari luar negara tidak jemu-jemu  untuk melawat Melaka.
            Orang seperti inilah sepatutnya dilantik sebagai menteri pelancongan. Justeru, bagi penulis melalui PRU13 ini, Ali sepatutnya diletakkan sebagai calon Parlimen dan kemudian dilantik sebegai menteri pelancongan.
            Ini kerana, tidak ramai Menteri Besar atau ketua Menteri yang mahu belajar daripada Ali Rostam dalam hal menguruskan pelancongan di negeri masing-masing. Kalau ada pun sejak akhir-akhir ini yang agak menonjol sedikit adalah Terengganu. Yang lain, lembab termasuklah negeri Pahang. Pulau Pinang menjadi alasan kerana ditadbir pembangkang tetapi hakikatnya ketika Gerakan memerintah sebelum itu pun tidaklah semaju mana berbanding dengan aset dan keunikan pulau itu. Walhal, Melaka dan Pulau Pinang seharusnya sama-sama menyerlah!
            Penulis percaya, bila Ali jadi menteri pelancongan nanti, tentu buah fikirnya akan 'dipatuhi' oleh negeri-negeri. Sebab, maklumlah menteri yang cakap dan suruh. Hendak diharapkan mereka belajar pun nampaknya malas dan malu-malu. Pada hal idea kosong. Tapi kalau bab cakap politik,Gunung Kinabalu pun bergegar dibuatnya!
            Kenapa jadi begitu? Kerana, itulah akibatnya terlalu banyak mencipta alasan! 

Jagindas: Burung bangau banyak kat tempat penulis. Bangau oh bangau...

PENJAWAT AWAM, BERSYUKURLAH..



Sokonglah BN Pada PRU13 Ini

DI UTUSAN MALAYSIA, hari ini Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman (gambar), secara terus terang meminta kaum penjawat awam di negara ini memberi sokongan kuat kepada kerajaan khususnya dalam PRU13 nanti di sini.
            Benarlah apa yang didakwa oleh beliau itu. Penulis juga sebelum ini pernah memaparkan kisah-kisah pejawat awam ini seperti di entry-entry berikut:



Jagindas: Nafsu selalu menafikan puas, naluri pula menafikan cukup... Sebab itu tak cukup-cukup, tak puas-puas!


MASIH LAGI BEGITU....

GAMBAR HIASAN


Bila Orang Besar Turun, Peruntukan Pun Turun..

KETIKA penulis sedang minum bersama rakan-rakan di sebuah gerai majlis daerah, tiba-tiba kelihatan tiga orang sedang asyik memeriksan bangunan gerai tersebut. Difahamkan dua daripada kakitangan daripada Majlis Daerah.... dan seorang lagi berbadan gempal lagak rock adalah seorang kontraktor.
            Penulis cuba merisik-risik dengan peniaga dan pelanggan di situ. Kononnya, mereka sedang memeriksa kerosakan-kerosakan yang dialami peniaga seperti bumbung bocor, kipas angin tidak berfungsi, masalah longkang, tandas dan macam-macam lagi.

Isnin, 25 Februari 2013

PERTAHANKAN DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN


DEMI MARTABATKAN SEKOLAH KEBANGSAAN DAN BAHASA MELAYU

KESUNGGUHAN kerajaan memartabatkan dasar pendidikan yang antara lain bertindak sebagai pemangkin dalam proses pemupuk semangat perpaduan negara nampaknya dipandang sepi oleh pihak lain.               
              Dalam urusan ini, saya melihat UMNO sahaja (agak tepat kalau dikatakan orang melayu) yang beria-ia untuk mewujudkan satu kelas bangsa yang bersatu padu melalui satu sistem pendidikan manakala pihak lain khususnya orang cina dan india tidak menampakkan kesungguhan mereka menyokong usaha itu.
               Alasan penulis berkata begitu adalah jika mereka bersungguh-sungguh terhadap usaha berkenaan, sudah tentu mereka tidak akan membuat pelbagai tuntutan yang condong kepada kepentingan kaum tetapi ianya menyanggah dasar yang ditetapkan. Tindakan mereka juga turut memberi ruang kepada pihak-pihak NGO cina dan india membuat tuntutan dan desakan yang bukan-bukan yang biasanya semakin berani menjelang pilihanraya.

Ahad, 24 Februari 2013

SAMY VELLU WAJAR AJAR ANAKNYA MENGHARGAI..

Vell Paari Ikut Rentak & Tempo Pembangkang


MEMBACA laporan media 'The Malaysian Insider' yang mendedahkan salah sorang orang kuat MIC, Vell Paari a/l Samy Velly, mendidihkan darah penulis.
Laporan tulisan oleh pengarangnya, Jahabar Sadiq pada 22/02/13 lalu mengkisahkan Vell Paari mendesak presiden MIC mengambil tindakan terhadap pendakwah bebas, Ridhuan Tee dan Pengerusi Perkasa Pusat, Datuk Ibrahim Ali kerana didakwanya kenyataan  dan tindakan kedua-dua tokoh itu menghina agama Hindu.
            Tulisan Ridhuan itu bertajuk "Kesabaran Umat Islam Ada Hadnya" di mana beliau mengulas pengharaman tayangan filem "Visharoopam" yang dikatakan ada unsur-unsur menghina agama Islam di sini (kerajaan kemudiannya 'menghalalkan' tayangan filem ini baru-baru ini)

BANYAKNYA DUIT UMNO !!

NIK AZIZ: Umno guna duit beri BR1M...

Nik Aziz Kata Umno Beri BR1M

SELEPAS Tok Guru Nik Aziz Nik Mat terlancut cakap menyamakan penerima sumbangan sebagai binatang, ramai yang melompat. Malah, berdasarkan laporan media, ramai juga pengikut Pas yang bertindak keluar Parti sebagai menyatakan rasa keciwa mereka terhadap penghinaan yang diberikan oleh seseorang yang mereka anggap bukan calang-calang Tok Guru.
            Memanglah, semua manusia lebih-lebih lagi yang terbabit dengan sentuhan Menteri Besar Kelantan itu berhak mempersoal dan marah kepada beliau.
            Apatah lagi orang UMNO. Orang Umno wajar maki semula Nik Aziz kerana Nik Aziz kata pelbagai sumbangan termasuk BR1M adalah pemberian Umno. Sedangkan Umno tidak terbabit dengan sumbangan itu kerana ia adalah sumbangan kerajaan.

Sabtu, 23 Februari 2013

PERUNTUKAN MENCURAH-CURAH


Tetapi Masih Banyak Yang Marah-Marah...

KETIKA penulis sedang berborak-borak di warung kopi pagi tadi, datang beberapa kenalan duduk semeja lalu mencelah perbualan kami. Penulis dapati, beberapa perkara yang dibangkitkannya agak 'sensitif' juga dan pihak serta agensi terbabit wajar mengambil tindakan lebih-lebih lagi pilihanraya umum akan tiba hanya beberapa detik saja lagi. Dah dekat sangat dah!
             Banyak bantuan kerajaan berupa peralatan asas perniagaan kecil-kecilan seperti dapur warung, set niaga burger, kotak beku menyimpan bahan basah, mesin-mesin untuk industeri kecil-kecilan (IKS) dan beberapa alatan lain yang sedarjat dengannya tidak sampai kepada sasaran yang yang sewjarnya. Ibarat menembak, tembakannya tersasar!

AKAN KE MANAKAH DUNIA SUKAN NEGARA KITA ?


Jika Pengurusannya Banyak Masalah

BARU-BARU INI ada satu pihak menegur pengurusan beberapa persatuan sukan negara. Ada yang menyokong dan ada yang membantah. Pihak tuan punya badan yang kena kritik tentulah mempertahankan dirinya sebagai bagus-bagus. Kemudian, diam. Sepi, senyap!
            Membaca beberapa artikel mengenai hal-hal berkaitan sukan dalam negara banyak yang menggelikan malah ada bab-babnya memualkan. Rasanya tak perlu diulas panjang lebar kerana yang mengikutinya tentulah faham dan maklum manakala yang terkena tentula marah dan berasa kecil hati. Lantaklah.

Jumaat, 22 Februari 2013

KARPAL TERUS BERMAIN API


Suhu Panas Semakin Tinggi

KEGATALAN mulut Pengerusi DAP, Karpal Singh, sudah semakin menjadi-jadi. Gatalnya itu macam kera kena belacan. Habis semua nak digarunya termasuk orang-orangnya sendiri.
            Tapi yang dia paling suka garu adalah isu penggunaan kalimah Allah bagi orang kristian dalam kitab-kitab mereka versi bahasa melayu. Meski Karpal tahu isu ini sudah selesai dan semua pihak diminta tutup buku malah Pas sendiri sudah membuat pusingan 'U' terhadap pendiriannya sebelum itu, namun Karpal tetap berdegil kerana perbuatan kekasihnya itu (Pas) amat melukakan hati dia.
            Biarpun seorang lagi sekutunya Anwar masih kekal dengan keputusan sebulat suara dalam Pakatan Rakyat (PR) yang dibuat pada pada 8 Februari, 2013 tetapi Karpal masih tidak puas hati kerana dia tahu kekuatan suara bagi hal-hal yang berkaian agama Islam hendaklah dilontarkan oleh mulut Pas. "Sampai hati Pas menodai janji setia..", barangkali begitu bisik hati Karpal lalu terus mendendam!

Khamis, 21 Februari 2013

PENERIMA BANTUAN KERAJAAN MACAM BINATANG

NIK AZIZ:....demo macey mnatey


Nik Aziz Kata Langkah BN itu Bukan Cara Islam

ALHAMDULILLAH, sejak Tuan Guru Haji Nik Aziz menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan, rezeki beliau (barangkali juga termasuk ahli kelarganya) nampaknya mencurah-curah. Beliau dilihat mampu melancong ke beberapa negara dan selalu berulang alik ke Madinah dan Makkah sama ada menunaikan umrah mahupun menunaikan haji.
            Barangkali, antara lain agenda peribadi beliau ketika berada di Makkah dan Madinah tentulah merafakkah doa setulus permohonan kehadrat Ilahi supaya beliau akan terus sihat, dipelihara daripada nyanyuk, terus kekal menjadi mursyidul am Pas dan memerintah negeri Kelantan sehingga akhir hayat.
            Beliau juga tentunya yakin dengan kehendak Allah, bahawa ketika di tanah suci itu Allah telah memberikannya taufik dan hidayah yang setulus-tulusnya. Maka, apabila beliau kembali ke tanah air, apa sahaja yang diucapkannya atau difatwakannya adalah setelah mendapat petunjuk Allah.
            Sebab itu, dia dengan yakin berkata: "Penerima Bantuan Umpama Haiwan".  [lanjut di sini]. Maklum, Nik Aziz adalah juga antara ulamak Pas yang terus mata atau bahasa kitabnya qashaf.
            Tentunya, dia merujuk kepada pelbagai pemberian dan isentif yang dilakukan oleh kerajaan Barusan Nasional (BN) kepada seluruh rakyat Malaysia yang layak tanpa memilih bulu.
            Ketulusan BN itu bukan sedikit sebanyak tetapi memang impaknya amat besar terhadap Pas dan Pakatan Rakyat (PR) terutama ketika menghadapi pilihanraya umum kali ini.
            Pada masa sama pelbagai isu yang melanda Pas dan PR juga turut merenggangkan kepercayaan 'penganut'  Pas daripada parti agama Islam itu. Namun, penulis percaya sebagai seorang tok guru, mursyidul dan ilmuan Islam yang qashaf, tentulah Nik Aziz tidak akan melepaskan peluang yang amat berhaga ketika berhadapan dengan Kaabah baru-baru ini.
            Dan, apabila penerima bantuan daripada kerajaan BN diumpamakan binatang oleh Nik Aziz, maka pada pendapat penulis mereka terbabit hendaklah SEGERA meninggalkan Pas (kalau masih dalam Pas) dan PR kerana jika terus berada dalam kelompok itu, anda semua tetap dianggap binatang. Paling malang jika anda disamakan dengan anjing dan babi!
            Justeru, sebelum terkeluar 'fatwa' sedemikian, ayuh kita pakat ramai-ramai undi BN dalam PRU13 nanti. Dah dekat sangat dah.....
           

Jagindas: Sepatutnya semakin nampak bala' kita semakin insaf, bertaubat dan berdoa diselamatkan, bukannya semakin merapu dan membanyakkan dosa! Subhanallah....

JUALAN AIR JAMPI BOLEH JEJASKAN AQIDAH


JAKIM Tegur Pengusaha dan Pengguna

[Sumber: Berita Harian 21/02/2013 - online]

Jual air jampi boleh jejas akidah


(BERITA SELANJUTNYA DAPATKAN AKHBAR BERITA HARIAN HARI INI]



Jagindas:  Apa kata P Ramlee.... klik di sini

Rabu, 20 Februari 2013

MENGAPA MASIH ADA YANG TERTINGGAL?

Kerana, Akar Umbi Tiada Data Rujukan


KEBIASAANNYA, dalam bulan Ramadhan media-media cetak dan elektronik kerap memaparkan kisah-kisah masyarakat yang bersifat 'human intrest'. Latar belakang kemiskinan, kedhaifan, terbiar, anak yatim piatu dan berbagai cerita yang seumpamanya atau lebih jelas dikatakan kisah-kisah yang mampu meraih simpati manusia terhadap sebuah kehidupan yang dipaparkan.
            Namun, akhir-akhir ini pula nampaknya media-media semakin kerap memaparkan kisah yang hampir sama tetapi lebih cenderung kepada kehidupan yang dhaif dan melarat. Antaranya seperti kemelaratan hidup sebuah keluarga atau rakyat yang tidak mempunyai rumah - berteduh dipondok bekas reban ayam, reban kerbau atau lembu atau dibawah pohon kayu berdindingkan plastik dan kotak.
            Membaca beberapa peristiwa sebegitu penulis teringat sebuah kisah kemelaratan dan merempatnya hidup sebuah keluarga (bekas tentera) yang penulis tulis di sebuah akhbar (arus perdana) tempatan. Ketika itu bulan Ramadhan dan cerita tersebut mendapat tempat di muka depan edisi nasional.
            Sebaik sahaja cerita itu keluar dan menjadi bacaan umum, ketua kampung terbabit 'menyerang' penulis kerana mendakwa tulisan itu telah memalukan beliau selaku pemimpin kampung tersebut.

Selasa, 19 Februari 2013

SIAPA YANG WAJAR JADI MENTERI BESAR PERAK?

Pastikan Negeri Makmur Rakyat Bahagia 

(untuk info klik di sini)
CERITA-CERITA  penglipur lara klasik mengenai orang politik yang berhajat besar menjadi Menteri Besar (MB) Perak sebenarnya sudah lama. sejak penggal yang dulu pun sudah bertiup sepoi-sepoi bahasa. Nama-nama seperti Datuk Zahid Hamidi, Datuk Nazri Aziz dan beberapa ahli exco Perak ketika itu turut dikaitkan. Bergantung kepada pembawa ceritanya iaitu dia menyokong siapa atau dia orang kuat siapa.
            Namun, apabila BN berjaya merampas semula Perak daripada gengaman rakus PR secara teknikal, Allah memberi petunjuk bahawa Datuk Seri Dr. Zamry Kader lah yang direstui menjadi MB negeri itu hinggalah sekarang.
            Kemudian, secara tiba-tiba pula menjelang pilihanraya ke 13 ini (PRU13) kisah-kisah 'angin syurga' seperti itu kembali menghiasi kamar politik negeri Perak. Kali ini selain Nazri dan Zahid, Datuk Husni Hanazlah turut dikaitkan.

TERMAKBULNYA DOA ORANG-ORANG ISLAM (?)

Pas Terus Kedepan Membelasah Sekutunya
"SIAPA KARPAL SINGH?" .... Harun Taib (tengah)

TERLIHAT JELAS, doa-doa umat Islam yang memohon supaya Allah Taala menunjukkan kebenaran dan tafik serta hidayahnya ke atas pemimpin-pemimpin Islam di negara ini berikutan pelbagai konflik dan pertelingkahan yang berlaku akibat daripada pihak yang tidak bertanggung jawab memainkan isu kalimah Allah baru-baru ini dikabulkan. Tidak kurang juga isu amat Haji Hadi Awang turut menggelisahkan umat Islam di negara ini.
            Dengan pusingan 'U' yang dibuat oleh Pas apabila Majlis Syura-nya membuat ketetapan bahawa kalimah Allah hanya diperuntukkan kepada orang Islam dan terus mempertahankan kedudukan serta martabat kalimah itu, nyata memperlihatkan hubungan Pas dengan DAP ibarat retak menunggu belah. Manakala boleh dikatakan keseluruhan umat Islam di negara ini tanpa mengira parti terus berdoa agar PAS keluar daripada jemaah pakatan DAP juga PKR.
            Keikhlasan umat Islam dalam isu ini amat jelas dan telus. Barangkali atas keikhlasan dan ketelusan itulah makanya Allah (swt) memberikan pelbagai petunjuk dari masa ke semasa yang akhirnya pemimpin PAS bertaut rapat menyergah Karpal Singh. Meski pun ramai yang berharap agar PAS menyatu dengan Umno, namun bukanlah itu hasrat besarnya. PAS boleh meneruskan perjuangan mereka secara bersendirian kalau dia mahu dan pada masa sama, jika mereka berhasrat mahu menyekutui Umno tentulah kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.

BUKAN JANJI KOSNG

Orang Bujang Mula Terima BR1M 2.0




INILAH buktinya kerajaan tidak membuat janji kosong kepada rakyatnya. Inilah antara buktinya, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Dan inilah buktinya juga negara sudah bersedia berkongsi rezeki (kekayaan) dengan setiap lapisan rakyat.
            Dan, sebagai orang timur ingatlah adat kita yang halus lagi murni: Orang Berbudi, Kita Berbahasa... Demikianlah juga bila rakyat memberi undi kepada calonnya, maka calon pula ingat-ingatlah budi rakyat kepadanya bila menang nanti.


Jagindas: Justeru, undilah kepada mereka yang mampu mengenang budi kita - sesungguhnya antara rakyat dan kerajaan kita saling berbudi dan saling berbahasa!