Rabu, 3 April 2013

CAKAP-CAKAP PRU13 (2) - MUSIM PILIHANRAYA BUKAN PESTA-RIA

GAMBAR HIASAN: sembang-sembang di warung

Ia Penentu Masa Depan Antara Hidup Dan Mati!

HEHEHE...Amboi mak, bukan main girang lagi. Bermula petang ini nampaknya gelak ketawa menghiasi ruang-ruang warung kedai kopi. Di beranda-beranda rumah dan di mana saja ada kelompok manusia tua dan muda semuanya terhias dengan senyum dan riang ria memperkatakan tentang pilihanraya. Tiada muka yang asam-asam. Manis-manis dan gembira saja semuanya.
            Maklum, setelah sekian lama berteka teki, ramal meramal, baru hari ini terjawab semuanya! Tetapi apakah yang digembirakan sangat tu? Macam nak sambut hari raya pulak. Atau seperti meraikan untung berniaga?!
              Sama saja. Yang cina, yang india pun sama-sama gembira. Tapi penulis tak fahamlah apa yang mereka cakap. Yang jelas, sepatah dua berkata diikuti dengan gelak ketawa. Huh, seronok benar nampaknya. Mengundi belum lagi, keputusan apatah lagilah! Kerabat-kerabat berdamping parti politik nampak lega semuanya.
            Penulis tertanya-tanya juga apakah sebenarnya yang ada dalam pemikiran mereka? Kedua-dua pihak, penyokong kerajaan dan pembangkang, dilihat sama-sama berkeyakinan untuk menang. Syabas, apa sekalipun yang hendak dilakukan mesti ada keyakinan diri. Itu adalah azimat paling utama.
            Seorang rakan berkata, meskipun dia aktif dalam parti sejak berusia 21 tahun (sudah lebih 40 tahun terbabit) namun katanya sejak tiga penggal terakhir ini dia diancam kerisauan setiap menjelang pilihanraya. Degup degap jantungnya hanya akan kembali normal apabila keputusan telah dicapai dan ia menyebelahan kemenangan kepada BN.
            Menurutnya, dalam pilihanraya-pilihnaraya sebelum itu dia dan rakan-rakan menyambutnya dengan kegembiraan bagaikan sebuah pesta. Masa itu katanya semua pihak bersikap 'gentlement'. Kerja-kerja pilihnraya dilaksanakan dengan penuh ceria dan secara bersama-sama penuh hemah (lawan dan kawan).
            "Keadaan mula berubah apabila Umno di haramkan dan wujudnya parti semangat 46 (S46) sehinggalah pemecatan DS Anwar Ibrahim yang kemudiannya mendorong PAS dan DAP bertindak lebih agresif sampailah ke hari ini," katanya.
            Justeru kata rakan penulis itu, pilihanraya tidak boleh lagi di sambut seperti pesta atau seperti majlis keraian bersuka-suka tari menari. Ia adalah soal masa depan negara dan rakyat yang amat serius. Ia adalah sama seperti soal hidup dan mati bangsa, agama dan negara. Hanya dengan satu calitan dalam masa yang amat singkat segalanya boleh berubah diluar dugaan.
            Oleh itu katanya, semua pihak terutama yang berupaya dan boleh mengundi jangan persiakan saat itu. Ia bukan makmal eksperimen tetapi adalah makmal penentu hidup atau mati!

  
Jagindas: Kepada pegawai-pegawai bertugas, belanjakanlah segala peruntukan menjana pilihanraya ini dengan jujur dan telus. Ramai yang gelap mata kerana wang dan kesannya ada yang gelap hati ketika di meja mengundi!

pssst: Sekadar satu contoh, masih ingat tak cerita ini di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.