Isnin, 9 Julai 2012

DONG ZHONG MENYALAK LAGI!

Masih Lagi Permainkan Kesucian Perlembagaan 

GEORGETOWN: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) tidak bersetuju dengan tuntutan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), yang mahu bahasa Mandarin menjadi bahasa pengantar utama             di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di seluruh negara.       [BERITA HARIAN 8/7/12]

Presiden Dong Zhong
KALAU zaman tahun 60an - awal 80an, mana-mana perbuatan bacul seperti tuntuntan Dong Zong itu pasti akan dikenakan tidakan undang-undang sebelum sempat ia merebak menjadi luka dan bernanah. Tetapi sekarang keadaan sudah berubah, namun sialnya  pula dibagi betis nak pulak peha, diberi seinci nak pulak serantai. Tak dapat tanduk telinga pulak nak dipulasnya!

Setiap kali ada bantahan maka satu memoradum akan dihantar. Kemudian diam. Memorandum tinggal memorandum. Diam sekejap, beberapa ketika selepas itu kedengaran lagi suara-suara sumbang permintaan dan cadangan bacul. Memorandum lagi! Bila nak berhenti?
            Orang-orang cina Malaysia janganlah selalu buat-buat tak faham bahasa setelah 55 tahun merdeka. Atau, masihkah memang tidak faham-faham. Cina Malaysia tetap cina Malaysia yang tertakluk dengan perlembangaan negara Malaysia.
            Cina  Singapura,  cara Singapuralah.  Cina Indonesia,  cara Indonesialah,  Cina Amerika, ikut cara Amerikalah, Cina di negara China, memang macam tulah keadaannya.
            Jadi, kalau orang cina di negara ini mahu jadi macam cina di negara China, pergilah ke tanah besar China, kalau nak jadi macam Singapura, pergilah ke Singapura! Siapa yang larang? Mohonlah jadi rakyat di sana. Tidak usahlah menjadi api dalam sekam atau duri dalam daging!
            Atau menjadi budak biul yang kalau dihentuk kepala ke dinding pun tak faham-faham juga!
          Justeru, benarlah kata Tun Mahathir, sinario rakyat  di Malaysia hari ini semakin rasis! Rasis yang dibuat-buat tu! Rasis mengada-ngada macam bebudak setengah masak.

  
Jagingas:   Percayalah, selepas ini permintaan membina universiti berbahasa mandrin akan dimainkan semula!  Sakit hati betul. Jaga-jaga...pilihanraya!











             

Debat MCA dengan DAP


"Whose Policies Benefit The Country More?" 


Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, meminta dasar perjuangan DAP diubah kepada slogan "Rampasan Kuasa Didahulukan, Pentadbiran Huru Hara Diutamakan"
            Pandailah Soi Lek. Betullah tu. Tak kiralah apa juga buah butir yang Guan Eng kata dalam debat itu, tapi yang jelas mereka memang dah nampak mengutamakan huru hara dengan melaga-lagakan kaum bertujuan untuk merampas kuasa. Memotong atas selekoh, kurang ajar dan membahayakan negara.
            Tetapi, tak lepas lepas juga!
         Wah,  Guan Eng juga cabar  Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib berdebat dengan Datuk Seri Anwar, dakwanya kalau benar PM adalah pemimpin yang bersih. Bodoh punya Guan Eng. Dah berkabak-kabak kekotoran anwar dan kerajaan Pakatan Rakyat dipaparkan di media-media, masih nak cabar bersih atau tidak lagi!  Piiiiiirahhhhhh!


Jagindas:     Semua pihak kena ingat, kalau negara huru hara, apa kerja pun tak jadi. Nak berniaga apa?.  Jadi, pilihlah keamanan untuk bisnis yang berpanjangan. Barisan Nasional 

Isteriku, Isteriku Jua - Suamiku, Suamiku Jua


Agak-Agaklah Weh, Dah Berjueh Mulut Orang...


                                                   [sekadar hiasan: Rais dan Maznah]

MALAM  tadi saya sempat menonton pertandingan bintang RTM peringkat akhir langsung dari auditorium perdana RTM. Saya tak peduli siapa menang dan siapa kalah. Saya nak tengok apa pengakhir majlis sebab, Menteri Penerangan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dan isterinya ada di situ. Dan, Rais dijadualkan menyampaikan hadiah kepada perserta pertandingan.
            Yang saya perasan, format sudah bertukar, tidak seperti zaman Sudirman, Jamal Abdillah dan beberapa penyanyi lain yang telah menempa nama sebagai anak seni menerusi program juara bintang RTM. Baguslah RTM, sekurang-kurangnya RTM sensitif juga dengan perubahan disekelilingnya serta memahami kehendak khalayak.
            Namun yang tak sedapnya, macam mana isteri Rais Yatim boleh berada di pentas untuk sama-sama menyampaikan hadiah kepada perserta pertandingan. Rais nampaknya dah jadi macam pelengkap sedangkan sifatnya malam itu adalah sebagai tetamu kehormat atas nama Menteri Penerangan Malaysia.
            Datin Seri Utama Maznah boleh naik sama ke pentas, tidak salah menemankan suaminya namun maaf cakaplah, tidak payahlah sampai menyibuk pulak. Berdiri di side, belakang sikit, biar Datuk Rais yang buat kerja. Datin tengok saja sudahlah..Tak kenalah!
            Kalaulah memang RTM sengaja meletakkan isteri Rais sebagai penyampai hadiah kepada perserta , itu dah kira silap besar RTM-lah. Silap besar tu...! Ini bukan program hari keluarga RTM.
            Bukan sekali, bukan dua kali. Sudah banyak kali nampaknya isteri menteri penerangan ini berkelakuan demikian. Dan, itulah juga yang kerap orang perkatakan. Hinggakan, opah-opah nenek-nenek di kampung-kampung pun tertanya-tanya. Berjueh mulut orang kampung melihat gelagat Maznah.
            Saya pun keliru! Betul, betul keliru! Begitu sekalikah peranan isteri bila nak bantu suami?


Jagindas:    Wahai isteri/isteri-isteri menteri-menteri dan YB-YB, agak-agak lah... Kena tahu protokol dan keutamaan majlis. Jangan sampai majlis rosak dek pandangan khalayak menjadi muak hanya kerana sikap dan tindakan puan-puan sekelian. Aduhai..., takkan inipun nak kena ajo weh..Letihlah macam ni!

Ahad, 8 Julai 2012

SEBUT MELAYU, RASIS

AKANKAH MELAYU BERSATU HATI?

TULISAN Datuk Mior Kamarul Shahid (Berita Harian Ahad, 8/7/12. p30) - SIKAP POLITIK CINA BANDAR dan wawancara khas bersama Tun Dr. Mahathir (Mingguan Malaysia, 8/7/12. p.7) - DILEMA MELAYU HARI INI  menjadi fokus saya dalam meneliti perkembangan politik tanah air, petang ini.
            Bagi saya, apa yang tertulis dalam kedua-dua akhbar perdana itu adalah juga menjadi percakapan dan perbualan sama oleh rata-rata rakyat Malaysia terutama mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan politik dalam dan luar negara.
            Namun, sebagai Pengarang Kumpulan, Mior mempunyai kelebihan untuk menurunkan pandangannya di ruang khas akhbar tersebut manakala sebagai bekas Perdana Menteri yang juga turut menjadi perhatian dunia, maka kata-kata Tun tentunya menjadi fokus kepada mana-mana media pun.
            Menyorot kepada iklim semasa politik negara, kedua-dua tulisan di akhbar terbabit jelas menyatakan sifat orang cina Malaysia sejak akhir-akhir ini khususnya di bandar tidak memberikan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional.
            Sifat angkuh mereka kerana memiliki kekayaan, keselesaan dan keselamatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di bandar menyebabkan mereka berfikiran siapa sahaja yang  memerintah, kedaan tidak akan mengubah mereka.
            Justeru, setelah sekian lama 'bertuankan' melayu, mereka kini mahukan pemimpin dari kalangan orang cina sendiri tidak kira sama ada parlimen dapat ditawan mahu pun tidak. Sekadar memperoleh memerintah negeri pun mereka sudah berpuashati malah mereka juga sudah menunjukan belang corak bangun perniagaan mereka dinegeri terbabit yang banyak menyusahkan kerajaan pusat.
            Orang cina kelihatannya berpuak dalam politik namun pada hakikatnya mereka mempunyai satu hati, satu matlamat dan satu hala tuju yang jelas untuk kaum mereka tanpa memikirkan masalah kaum-kaum lain. Situasi ini mudah berlaku kerana selain dari kejatian budaya perniagaan yang wujud dalam kaum itu, mereka juga tidak menjadikan agama sebagai penghalang kecuali agama Islam.
            Berbeza dengan orang melayu, yang ketika ini semakin luntur dengan semangat bangsa serta keakuannya, melayu juga tidak mempunyai asas kekuatan ekonomi yang kukuh lagi jelas. Selain itu, walaupun orang melayu memiliki satu agama iaitu agama Islam, namun atas sebab-sebab kepentingan peribadi dan puak sesama sendiri mereka tidak ragu-ragu untuk memanipulasi kandungan dan tuntutan sebenar agama itu. Akhirnya, orang melayu berpecah kepada lebih tiga kumpulan.
            Yang jelas, setelah berlakunya situasi ini, orang melayu akan terus berpecah belah manakala kaum cina akan terus unggul menerusi persamaan hati mereka. Melayu PAS sudah tegar dengan ketaksuban terhadap pemimpin mereka sehingga tidak lagi boleh berfikir sendiri dan menilai mana yang nahi mana yang mungkar.
            Demikian juga penyokong PKR, bagi yang berfikiran terbuka dan diberikan Allah taufik dan hidayahNya, mereka ini sempat berpatah balik kepangkuan landasan yang sebenar manakala yang bersifat penyokong tegar akan terus sanggup mandi bersama pekasam yang diseluk.
            Barisan Nasional manjadi rapuh apabila kepercayaan komuniti cina terhadap MCA dan Gerakan semakin kelihatan terhakis. Keadaan semakin meruncing apabila pemimpin kedua-kedua parti komuniti cina itu turut tidak membayangkan secara serius masa-masa cemas terhadap nilai sokongan cina kepada BN.
            UMNO, yang bertindak sebagai agensi penyelamat orang melayu, kini terkakap-kapai berikutan ketidakupayaan membaca hati naluri kaumnya sendiri apatah lagi untuk menyatukan hati mereka ke satu matlamat dan arah tuju yang sewajarnya.
            Oleh kerana mereka yang di luar UMNO sekarang adalah juga sebahagian besarnya pernah menjadi kerabat UMNO, maka sesama mereka sudah mengetahui kurap dan tokak masing-masing. Meski, semuanya itu sudah diubati, pun begitu adalah menjadi sikap orang melayu melihatnya sebagai: "walaupun lukanya sudah sembuh namun parutnya masih ada".
            Hendak ditelan mati emak, diluah pula mati bapak, hendak ditinggal tak sampai hati. Demikianlah dilema yang melanda orang melayu sekarang khususnya terhadap UMNO. Sambut menyambut serangan-serangan terhadap pihak lawan dan kerajaan menjadikan dilema mereka semakin berteka teki.
            Kini, apapun natijahnya orang melayu sudah tidak ada pilihan sebenarnya. Adalah menjadi tugas semua komuniti melayu memikir dan mamandang jauh apa yang akan berlaku kepada masa depan negara dan bangsa melayu jika mereka terus menjadi golongan minoriti akibat perpecahan puak sesama sendiri.
            Ke mana pergi pepatah melayu: bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Ke mana hilangnya perumpamaan melayu: sebatang lidi mudah dipatah, tidak terpatah kalau seberkas. Mengapa pula kita menebang buluh secara menyonsang, tidakkah nanti menyepak muka?


Jagindas:     sebusuk-busuk daging (yang hahal dimakan), dikincah-kincah dimamah jua...
http://kulukelio.blogspot.com

1 Malaysia - Lancar Macam-Macam:


Negara Mewah, Rakyat Muncah



Banyak sudah yang didahulukan oleh kerajaan kepada rakyat dibawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najid Tun Razak. Pelancaran demi pelancaran telah dilancarkan oleh PM. Bantuan Rakyat Satu Malaysia-RM500 (BR1M), Kedai Runcit Satu Malaysia, dan Bantuan saguhati kepada bekas pejuang keamanan-RM3,000.
             Kupon pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) -RM200, Tayar Teksi Satu Malayasia-RM520, Insentif duta pelancongan kepada pemandu teksi-RM100 sebulan.
            Selepas ini pula Najib dikatakan, bercadang melancarkan pula Kedai Buku Satu Malaysia (KSM), dan Kedai Kain Satu Malaysia bagi memperluaskan lagi maksud slogan kerajaan pimpinannya "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
            Datuk Seri, anak dara saya tanya bila pula PM hendak melancarkan, Kedai Make-up Satu Malaysia? hehehhe...


Jagindas:    Barisan Nasional 1 Malaysia..

Ahli UMNO Jangan Celupar - Jaga Mulut!


Jangan Angkuh Ketika Temui Penduduk


SELEPAS saya menulis "Jagindas Mengulas" semalam, seorang rakan menghantar e-mail meminta saya menyambung lagi artikel tersebut kerana menurutnya artikel semacam itu baik untuk kepentingan politik melayu khususnya UMNO.
     Namun, saya terfikir apakah pemimpin UMNO berkenan dengan tulisan seperti itu kerana bagi saya kalau mereka nak berubah, hukuman yang diterima dalam PRU12 sudah mampu mengajar mereka untuk kembali kepada realiti politik setempat.
            Tidak mengapalah, tanggungjawab saya adalah mengabarkan. "Sampaikan walau sepatah ayat, meski pahit untuk ditelan" - sebagai penulis, saya guna maksud ayat itu demi untuk kebaikan bersama.
     Sebulan dua lalu, heboh dan sibuk negara mengagihkan Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M), selepas itu saguhati jasamu dikenang kepada bekas-bekas pejuang "home-guard, tentera British" dan macam-macam lagi bantuan yang kerajaan salurkan demi kesejahteraan rakyatnya. Pelajar, orang teksi semuanya dapat.
            Saya teringat, satu peristiwa seperti yang diceritakan kepada saya ketika orang UMNO menyampaikan surat pemberitahuan kepada penduduk yang berjaya mendapat BR1M. Ada lakunan menyakitkan hati dilakukan oleh orang UMNO. Barangkali pihak UMNO Bahagian melantik beberapa pegawainya untuk menyampaikan surat-surat tersebut dari rumah ke rumah bertujuan  bertemu penduduk secara dekat. Kira turun padanglah tu...
            Semasa menyampaikan surat tersebut, jawatankuasa yang diamanahkan akan menemui penduduk dari rumah ke rumah dan terus menyatakan lebih kurang begini ayatnya: Saudara terpilih untuk menerima BR1M yang disumbangkan oleh UMNO.
            Inilah silapnya. Sumbangan tersebut bukan UMNO yang beri, tetapi kerajaan Malaysia. UMNO mana ada duit berbilion-bilon nak menyumbang kepada ahlinya jauh sekali rakyat negara ini. Apakah jawatankuasa itu faham makna UMNO dan kerajaan? Mengapa dilupakan lembu sehingga  itu sapi mendapat nama? Rakyat bukan bodoh lagi.
            Itu sebab, sebelum ini saya tulis, rakyat apa lagi orang UMNO kena faham istilah kerajaan yang memerintah dengan parti sahsiah. Apabila kerajaan sudah terbentuk, semua parti kompenan termasuk UMNO hanyalah agen Kerajaan Barisan Nasional (BN), manakala jawatankuasa berkenaan adalah agen UMNO yang menjalankan amanah kerajaan.
            Maksud saya, inilah antara suara angkuh orang UMNO yang menyakitkan hati rakyat. Mengapa tidak cakap saja - saya mewakili kerajaan menyampaikan surat tawaran ini kepada saudara...... bla, bla, bla..  Kalau dia orang UMNO okay lah, bagaimana kalau dia golongan atas pagar? sekali lagi kita gagal merembat hati nalurinya.
            Faham tak, kalau UMNO yang beri, perlakuan ini boleh dikaitkan dengan rasuah politik sebab UMNO adalah parti politik. Lain dengan kerajaan, apa-apa yang diberikan kerajaan kepada rakyat adalah bersifat tanggungjawab tanpa mengira fahaman parti politik rakyatnya. BR1M untuk orang UMNO sahaja kah atau untuk semua rakyat yang layak?
            Sebab itu bila PAS beri sumbangan kepada rakyat kelantan dia tidak terasa itu sebagai rasuah sebab kerajaan yang ada adalah kerajaan PAS. Tapi bolehkah PAS pusat berbuat demikian kepada semua rakyat di negara ini? Bukan saja tidak boleh malah tidak mampu!
            InsyaAllah, kalau jadi, tidak lama lagi BR1M ke dua akan diberikan pula. Jadi jagalah mulut supaya apa yang diucap tidak menyakit hati orang ramai. Dalam  keadaan sekarang, kita tidak dapat pastikan dengan tepat siapa penyokong kita. Kita hanya beruasaha menarik perhatian mereka supaya menyokong kita, bersyukur dengan nikmat yang disalurkan oleh kerajaan yang bermurah hati sekarang.
            Seperti tengahari tadi, sewaktu saya menghadiri majlis tahlil di rumah jiran, beberapa pak lebai, tok haji dan rakan-rakan mereka sibuk mempertikaikan kenyataan Tun Mahathir yang meminta Datuk Seri Anwar (PKR) segera bersara. Marah-marah nampaknya dan ada yang hempas surat khabar. Kesian SINAR...Pada hal sebahagian besar mereka itu adalah penerima BR1M malah ada yang menerima RM3,000 saguhati jasamu dikenang sebagai bekas tentera British tahun 50an.
            Barang diingat, kerajaan BN berhempas pulas memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyatnya, janganlah ada pula pihak yang merasakan macam bagus-bagus tetapi sebenarnya menconteng imej kerajaan.


Jagindas:    Kalau tak faham jangan cakap, buat kojer ajer. Kalau tak Tau cakap ler tak tau, jangan tak tau buat buat tahu, itu yang jadi haru biru tu! Ada faham ka kawannn..


Releks Ahad - Kong Kong Kalikong

Janganlah...


Ramai yang dah kong kali kong. Janganlah sampai jadi macam tu...





Jagindas:  ...dah terkena dengan rakan baik sendiri. Banyak ribu beb! Muka dia selamba jer. Nasib baik negara ada undang-undang, kalau tidak....

Pizza Hut Batu Gajah Racist

PELANGGAN MELAYU KELAS 2

Lokasi : Perimis Pizza Hut, Batu Gajah
Waktu: Pada antara jam 8.30 mlm - 10.00 malam

Keseronokan hati seorang ayah (keluarga melayu) menunaikan permintaan anak-anaknya untuk menikmati makanan pizza di situ bertukar menjadi panas apabila pelayan di perimis tersebut lambat menghantar pesanan sebaliknya mendahulukan pelanggan yang lebih lewat membuat pesanan.
            Beliau yang hanya memerhati sahaja pada mulanya gelagat pelayan terbabit akhirnya gagal menahan sabar apabila mereka terus melayan dua keluarga india yang baru saja membuat pesanan.
            Ketua keluarga melayu terbabit bangun lalu bertanya kepada tiga pekerja di situ (seorang melayu dan dua india) sama ada pizza hut di situ mengamalkan kasta melayu kelas dua atau lebih jelas perkauman.
            "Apakah pizza hut di sini melayan pelanggan melayu sebagai kelas dua? Adakah kamu mengamalkan perkauman bila melayan pelanggan? Kalau tidak mengapa dua keluarga india yang baru saja membuat pesanan sudah dapat sedangkan saya hampir sejam masih beluam mendapat pizza?" sergahnya kepada pekerja terbabit.
            Huh!, hampir-hampir nak kecoh! Nasib baik bebudak tu tidak menjawab. Dengan rentak marahnya, beliau membayar bil minuman lantas keluar bersama anak bininya dengan melepaskan kata-kata amarah.
            Saya yang kebetulan memerhati gelagat keluarga itu sejak tadi mendapati pada malam itu terdapat hanya seorang pekerja melayu iaitu seorang perempuan dan dipercayai seorang pelatih. Manakala selurang-kurangnya empat pekerja lain adalah india.
            Saya juga dapati, semacam ada kes buli berlaku di situ berikutan pada pemerhatian saya hanya perempuan melayu itu sahaja yang turut ke tengah ke tepi melayan pelanggan manakala pekerja lain hanya melihat sedangkan ketika itu pelanggan semakin ramai.
            Bagaimanapun, saya puji orang melayu itu kerana dia membayar apa yang telah di makan dan minum anak bininya walaupun dalam keadaan yang amat marah.


Jagindas:     Pelanggan melayu tu kata, pizza di sini India first! Saya nampak dia marah betul, kalau budak india tu menjawab, pasti kena lempang punya! Huh...nasib baik tak jadi, kalaulah jadi tadi, gamatlah Batu Gajah...

Sabtu, 7 Julai 2012

Jangan Buat Ambil Ada Saja......

Pengislaman Orang Asli

SESUNGGUHNYA USAHA Pihak berwajib khususnya Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menjalankan pendakwahan agama Islam
kepada kaum Orang Asli (OA) di negara ini adalah satu perjuangan suci yang amat terpuji.
            Walaupun rakyat di negara ini membenarkan kebebasan beragama, namun menegak dan menyebarkan agama islam menjadi tanggungjawab orang Islam sesuai dengan keduduknnya sebagai agama rasmi di negara ini.
            Namun begitu ia bukanlah suatu kerja yang mudah kerana mereka yang baru menganuti agama itu memerlukan bimbangan dan perhatian yang berterusan untuk beberapa tempoh tertentu sehingga mereka diyakini berupaya menjalani kehidupan seharian secara  Islam tanpa terpengaruh lagi dengan budaya serta fahaman sebelumnya.
            Sebelum ini pun usaha seperti itu memang sudah dilakukan malah juga turut membekalkan pelbagai kemudahan kepada golongan terbabit seperti surau dan mubaligh. Dalam pada itu, barangkali kita masih kekurangan mubaligh yang berpotensi untuk mendepani proses mendidik dan memantau aktiviti suci tersebut.
            Ironi, entah di mana silapnya, kebanyakan mereka ini tidak dibuat susulan selepas di Islamkan sehingga segala kemudahan yang diberikan terbiar begitu saja. Dan, tambah malang lagi, kita tidak tahu apakah selepas itu mereka benar-benar hidup berfahamkan keislaman.
            Ada yang mendakwa berlaku di tempat tertentu, surau yang dibekalkan kerajaan tidak boleh digunakan untuk tujuan beribadat (islam) berikutan halangan daripada pemimpin masyarakat golongan itu yang bukan beragama Islam. Terjadinya keadaan itu kerana dikatakan pihak pendakwah tidak lagi menjalankan aktiviti dakwah di situ.
            Justeru, adalah diharapkan kepada pihak terbabit supaya tidak terus berpuashati dengan jumlah atau bilangan orang yang di Islamkan menerusi projek pengislaman ini melainkan langkah-langkah memastikan kualiti keislaman mereka telah diambil.
            Golongan mualaf (baru) bukan sahaja termasuk dalam asnaf zakat fitrah tetapi juga adalah menjadi tanggungjawab besar pendakwah yang bertauliah mendidik mereka untuk terus berada dalam Islam tanpa ragu-ragu dan tidak berpaling lagi.


Jagindas:    Tabik hormat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir

Carta Aliran Kerja - antara prosedur dan birokrasi

Kerja Bertangguh,  Tidak Menjadi

     BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini  melahirkan rasa bimbangnya terhadap kelewatan melaksanakan sesuatu perkhidmatan dalam sektor awam boleh menyebabkan berlakunya gejala rasuah di negara ini.
        Kata-kata beliau itu diluahkan dalam satu sessi soal jawab ynag diadakan di Majlis Makan Tengah Hari Bersama Tun Dr. Mahathir sempena Persidangan Digital Kebangsaan (NDC) 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.
         
DR. Mahathir Mohamed menyampaikan ucapan sambil diperhatikan oleh Badlisham Ghazali di PICC,Putrajaya, semalam. [UTUSAN MALAYSIA 5/7/12]
             
        Bulan lalu, menerusi blog ini saya juga pernah mengulas gelagat penjawat (Bhg. 1-3) awam yang kini semakin menjadi perhatian rakyat jelata yang sekali gus bakal mewarnakan imej kerajaan kepada putih, kelabu atau hitam.
      Memang, mematuhi prosedur carta aliran kerja penting bagi memastikan ketelusan, ketepatan dan kebolehpercayaan sesuatu urusan yang berkaitan. Prosedur seumpama ini sudah sekian lama dipraktikan sama ada di sektor awam mahupun swasta.
       Pun begitu, organisasi jabatan atau pejabat, wajar mengkaji semula urutan prosedur tersebut kerana dikhuatiri perjalanan yang panjang akan menyebabkan sesuatu proses akan memakan masa dan akhirnya menyebabkan tindakan terhadapnya lewat diambil.
         Barangkali, inilah juga yang dimaksudkan khalayak sebagai terlalu banyak  "birokrasi". Sebelum ini, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, ketika menjadi perdana menteri sebelum ini pernah menggesa supaya pihak pengurusan kerajaan mengurangkan karenah birokrasi bagi memudahkan rakyat berurusan dengan sektor berkenaan.
           Namun begitu, sehingga kini kita tidaklah dapat dipastikan adakan gesaan itu mendapat perhatian pihak terbabit atau hanya tinggal sekadar kenyataan akhbar semata.
         Sehubungan itu, sektor awam, yang kini semakin menjadi perhatian umum masyarakat, perlu kembali memuhasabah sektor masing-masing supaya apa juga urusan yang dilakukan terutama yang berkaitan dengan orang awam tidak  disalah erti selain daripada mempercekapkan sebarang tindakan yang perlu.
     Sesunggunnya kepuasan hati rakyat akan memberikan imej baik kepada kerajaan manakala kerajaan yang baik adalah yang cemerlang persembahannya terhadap rakyat jelata. Dan akhirnya, rakyat tidak mempunyai sebab kukuh untuk memilih yang lain selain dari mengekalkan kerajaan yang sedia ada, sebuah kerajaan yang mantap dan bertanggungjawab.

Jagindas:   Dah tiga tahun mohon tanah T.O.L , sampai sekarang apa jawapanpun tak ada. Dapat ke tidak? Boleh ke tak boleh? Habih, macam mana....

walaupun pelbagai rangsangan telah diberi

Belia Luar Bandar Masih Kabur

PETANG TADI secara kebetulan saya bertemu dengan seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), dikenali sebagai Ahmad Nur, yang balik ke kampung sekejap kerana ada urusan keluarga, katanya. Dia sedang  menuntut di tahun dua dalam jurusan ijazah Sarjana Muda Seni Halus di UiTM Shah Alam, Selangor. (Apa khabar orang Selangor? hehehe)
            Saya sempat berbual-bual dengannya dan topik kami lebih kepada pengelamannya ketika mengadakan pameran seni di beberapa galeri termasuk projek terakhirnya musim ini iaitu mempromosi Balai Senilukis Negara  (BSN) sempena Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2012).                                                  
Dr. Ng Yen Yen tertarik melihat bunga kertas pelbagai warna  ketika melawat Festival Bunga dan 
Taman Putrajaya 2012, semalam. [Utusan Malaysia: 4/7/2012]
                                               

            Menurutnya, peristiwa yang manarik sepanjang dia di situ adalah apabila dia didatangi seorang pemimpin belia dari Pahang yang mahu menjemputnya bagi mendedahkan kemahiran seni halus kepada kaum belia di tempatnya sebagai satu alternatif untuk membuka minda belia di situ memajukan diri menerusi bidang berkenaan.
            Katanya, pengerusi belia terbabit meluahkan perasaannya kerana buntu fikir memikirkan kaum belia di tempatnya sukar memajukan diri masing-masing sedangkan pelbagai usaha telah didedahkan termasuk bermacam rangsangan dan insentif yang disediakan oleh kerajaan.
            "Bidang seni seperti ini belum lagi saya dedahkan kepada mereka. Mungkin, saudara boleh membantu saya dalam mengetengahkan bakat kaum belia di tempat saya menerusi bidang ini.
            "Saya tidak kira apa bidang yang mereka mahu ceburi, apa yang penting mereka mampu meningkatkan taraf hidup demi masa depan mereka", katanya ketika mendapatkan persetujuan saya untuk memenuhi undangannya.
            Ahmad berkata, beliau gembira dengan tawaran itu kerana sebagai pelajar beliau bukan sahaja perlu menghasilkan karya untuk aktiviti pendidikannya malah pendedahan kepada khalayak juga penting bagi melihat dan mempromosi pasaran masa depan seni halus di mata masyarakat.
            Katanya, idea tidak semestinya datang dari dalam kotak minda kita, adakalanya khalayak luar  turut membantu melengkapkan idea yang sedia ada sehingga menjadikan sesebuah karya menjadi lebih kreatif dan mampu meruntun jiwa orang ramai.


Jagindas:    Doktor Pakar Forensik sayang abang saya kerana kehalusan seni jahitannya setiap kali selepas membuat posmotem mayat.

Jumaat, 6 Julai 2012

KEGIATAN SAMUN / PECAH RUMAH SEMAKIN BERLELUASA

Penduduk Diingat Tingkatkan Keselamatan Rumah


BATU GAJAH:  Penduduk di kawasan ini terutama di Tanjong Tualang diminta mengetatkan sistem pertahanan rumah masing-masing berikutan berlakunya peningkatan kes pecah rumah di kawasan berkenaan.
            Seruan itu dibuat oleh seorang Jawatankusa Kemajuan Dan Keselamatan Kampng (JKKK) yang namanya disiarkan yang melihat kes itu sebagai semakin serius serta mengancam keselamatan orang ramai.
            Katanya, kegiatan itu bukan sahaja berlaku pada waktu malam bahkan kumpulan terbabit turut melakukannya pada waktu siang.
            Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk supaya tidak melayan dengan mudah orang yang tidak dikenali jika mereka datang ke rumah dengan pelbagai muslihat tertentu sebelum melakukan rompakan atau samun.
            Sebagai contoh, katanya baru-baru ini seorang tua didatangi tiga pemuda berkereta yang bertanyakan sesuatu dan pada masa sama setelah melihat keadaan sekeliling selamat, seorang daripada mereka merentap rantai emas orang tua berkenaan sehingga menyebabkan sedikit kecederaan.
            "Banyak rumah akan kosong pada waktu siang kerana penghuninya keluar berkerja dan anak-anak ke sekolah manakala jiran-jiran pula tidak menyedari kejadian itu disebabkan mereka sibuk di dapur dan pintu rumah masing-masing tertutup rapi.
            "Manakala waktu malam pula selain waktu selepas tengah malam, kegiatan itu juga dikesan apabila berlaku hujan lebat kerana ketika itu penghuni tidur lena dan bunyi hujan menghalang penghuninya mendengar apa-apa bunyi asing". Katanya ketika diminta mengulas kebimbangan penduduk terhadap kegiatan pecah rumah yang semakin berleluasa di situ sejak akhir-akhir ini.
            Sementara itu, seorang penduduk lain yang hanya dikenali sebagai Sivaji mendakwa, kekerapan berlaku kegiatan pecah rumah di kawasan itu dipercayai mungkin disebabkan terdapatnya aktiviti perniagaan judi mesin haram  yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di situ.
            Katanya, ketika ini tidak kurang dari lima primis yang menjalankan kegiatan judi aharam tersebut dan ia beroperasi 24 jam. Menurutnya, mungkin sedikit sebanyak kehadiran mesin judi haram berkenaan memberi kesan kepada kejadian seumpama itu.
                                                                                         [jagindas kukukelio]

Jagindas:   Duduk di kampung pun dah tak boleh tidur lena ni! Apa cerita?

Transformasi Tingkatan Enam


KPM MARTABATKAN PELAJAR TINGKATAN ENAM


SUDAH lama benar menunggu perealisasian pelajar tingkatan enam di tempatkan secara berasingan dengan sistem persekolahan biasa. Akhirya, Kementerian Pelajaran Malaysia KPM), memutuskan perkara itu akan dilaksankan tidak lama lagi seperti yang diumumkan oleh menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
            Tahniah kepada KPM dan keputusan yang dibuat itu amatlah bagus serta bertepatan pada masanya. Cuma, pastikan jangan hanya gah dengan kedudukan dan penampilannya sahaja. Namun, segenap pengisiannya juga harus menepati standard kualiti kelas berkenaan sebagai setaraf pendidikan di pra-universiti atau matrikulasi.
            Guru adalah faktor utama. Jangan bersandar kepada kematangan murid yang diandaikan telah melepasi peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta usia mereka yang menjangkau 18 dan 19 tahun.
            Guru-guru di tingkatan enam seharusnya terdiri daripada mereka yang bukan sahaja berpengelaman mengajar di kelas berkenaan tetapi mereka juga mereka sewajarnya memiliki ilmu serta pengetahuan yang tinggi serta luas dalam bidang masing-masing.
            Walaupun guru-guru terbabit mungkin lebih bersifat pemudahcara, namun mereka sendiri harus dapat melontar dan membahas dengan sempurna, logik, berfakta serta bersifat pandangan futuristic ketika mendepani sebarang topik bersama pelajar-pelajar meraka.
            Ini kerana, kemampuan guru-guru seperti ini akan menjadi lonjakan dan pemangkin kepada pelajar-pelajar di tingkatan enam yang bukan sahaja menjadikan mereka manusia yang kreatif, bahkan bersifat kritis dan analitik.
            Pemilikan keperibadian pemikiran seperti itu akan mematang dan menjadikan pelajar-pelajar yang terdidik sebagai manusia yang lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan rasukan idea serta fahaman ketika melanjutkan pelajaran di mana-mana Institutusi Pendidikan Awam atau Swsata (IPTA/IPTS) sama ada di dalam mahupun di luar negara.


Jagindas:    Ada seorang kawan saya, dia lulusan sains tetapi mengajar sastera melayu sehebat guru B.A.(hons) kesusasteraan melayu! Macam nana tu?
           

Jagindas mengulas: MENTERI BESAR BAKAL BERDEPAN DESAKAN "ORANG SAYA" - bhg. 2 (akhir)

jangan perjudikan pilihanraya..


MEMANG membimbangkan apabila belum lagi apa-apa, tiba-tiba sahaja terkeluar kata-kata sumbang daripada YB yang sedang berkhidmat di penggal ini akan menentang arus sekiranya dia tidak dicalonkan lagi.
            Zaman menteri-besar menteri-besar (MB) sebelum ini khabarnya ada cerita-cerita yang saya dengar memang memeningkan kepala MB ketika membuat keputusan akhir cadangan nama calon berikutan ada yang menggunakan barisan pendesak yang datang dua tiga bas sehingga semacam wujudnya situasi ugut mengungut pula yang sudah tentu memberi kesan kepada kemampuan melawan pihak lawan.
            Sungguh menjijikan perilaku seperti itu bila sahaja musim pemilihan calon berlaku setiap kali pilihanraya umum apa lagi kalaulah ianya dilakukan oleh kalangan orang UMNO.
            Kepada yang bernafsu lagi ghairah itu, saya menyarankan sebelum mewujudkan barisan pendesak atau bertindak merajuk hati, cermin-cerminlah diri. Bukan soal kacak, manis atau bergaya. Tanya trade record kita sendiri: Bagus sangatkah kita, mampukah kita, apakah kekuatan yang ada pada kita dan macam-macam hal lagi.
            Sebab, wakil rakyat hari ini adalah berdepan dengan rakyat yang sudah maju, celik dan bediri dalam dunia tanpa sempadan. Kekuatan seseorang wakil rakyat pada masa akan datang adalah perlu bijak, kreatif dan produktif sejajar dengan tuntutan globalisasi. 
            Hari ini kita memimpin manusia yang celik ilmu. Namun pada sama kita juga mendepani manusia yang celik ilmu tetapi buta akal. Inilah kumpulan yang yang kerap mendatangkan masalah kepada negara malah jika tidak bijak mengawalnya negara akan huru hara setiap masa.
            Makanya, di sinilah diperlukan bulatnya ketelusan dan kejujuran kepada semua agensi yang diamanahkan untuk memberi maklum-balas kepada pihak berwajib terhadap mereka yang barangkali berpotensi untuk dijadikan calon dengan menolak semua kepentingan-kepentingan peribadi kerana pilihanraya bukan satu perjudian.
            Mereka yang dicalonkan harus mampu membenamkan pihak lawan dan sebaik sahaja menjawat jawatan sebagai wakil rakyat, YB terbabit sewajarnya dapat menumpahkan khidmatnya dengan cemerlang, cekap, berintegriti serta berwibawa.
            Sebagai contoh, saya sendiri pernah menyarankan kepada seorang "orang besar" agensi UMNO supaya menasihati terhadap sikap dan perangai beberapa ketua bahagian dan wakil rakyat yang memuakkan kalangan ahli UMNO. Secara jujur saya menyampaikan saranan itu berikutan ramai antara mereka yang sudah bercakap-cakap di luar sana dan secara diam-diam memberi sokongan kepada pembangkang bukan atas perjuangan tetapi kerana melepaskan geram!
            Namaun, apa yang terjadi pegawai berkenaan menyergah saya dengan angkuhnya mengatakan bahawa semua laporan itu adalah palsu kerana menurutnya kakitangannya sentiasa mendekati orang ramai sekali gus menafikan dakwaan tersebut.
            Inilah sikap pegawai seranta kita. Angkuh, over confident, tidak menerima pandangn orang lain hatta dari kalangan penyokongnya sendiri. Sefaham saya, sebenarnya ramai yang tak berani untuk bersemuka untuk menasihati wakil-wakil rakyat dan ketua bahagian seperti itu kerana khuatir kepentingannya dalam agensi tersebut tergugat. Maka, mahu tak mahu, semuanya dilapor sebagai positif. Dan, menerusi pilihanraya 2008 telah menyaksikan bahawa keangkuhan telah menghukum kita dengan malu yang teramat mahal untuk di tebus sekarang!
            Dalam pada itu, sikap beberapa puak atau golongan yang menangguk di air keruh dengan menimbulkan pelbagai reaksi dan aksi amatlah merimaskan jentera dalaman dan agensi sesuatu parti ketika proses pilihanraya berlaku.
            Justeru, sementara masa masih ada, maka berhati-hatilah mendayung dalam gelombang PRU13 ini. Pengelaman, pengajaran dan hukuman telah kita perolehi.  Janganlah sampai pisang berbuah dua kali. Biarlah pilihanraya kali ini bagaikan memberi nafas dan jiwa baru kepada UMNO dan Barisan Nasional.
            Saya berdoa, semoga Barisan Nasional beroleh kejayaan besar, dan semua calon dari kalangan UMNO menang semuanya, amin.


Jagindas:      Pernah disingkirkan dari jawatan sebagai setiausaha jawatankuasa kerja dan keselamatan kampung (JKKK)  hanya kerana menasihati  sikap YB yang meninggikan hidung ketika bertemu penduduk.. Namun hati perut saya tak pernah luntur terhadap UMNO dulu, kini dan selamanya, InsyaAllah.

Jagindas mengulas: MENTERI BESAR BAKAL BERDEPAN DESAKAN "ORANG SAYA" - bhg. 1


ada YB yang sudah melahirkan suara merajuk..


ENTAH bila pilihanraya, tidaklah dapat dipastikan. Hanya Datuk Seri Najib Tun Razak,  sahaja yang tahu. Namun, cakap-cakap pilihanraya telah pun bermula. Cerita-cerita angin syurga dan bunga-bunga rajuk-merajuk juga telah mula menyerikan meja perbualan terutama di kedai- kedai kopi.
            Ada khabar menggelikan sampai ke telinga saya memberitahu terdapat ura-ura seorang Yang Berhormat (YB) kononnya akan bertanding atas tiket Bebas pada pilihanraya ke 13 (PRU13) nanti sekiranya nama beliau tidak dicalonkan semula. Entah ya entah tidak. Kadang-kadang rumus politik di kedai kopi ini lebih ribut angin dari ribut! Namun, jangan pula diambil ringan.
            Menurut sumber, orang-orang YB berkenaan masih mahukan beliau menjadi wakil rakyat ditempatnya. Namun pada masa sama ada desas-desus mengatakan nama beliau mungkin akan terkeluar untuk PRU13 nanti. Tidak tahu pula apa sebabnya. Yang pasti, kalau benar berlaku mesti ada sebabnya. Paling tidak mungkin sudah lama...
            Memang setiap YB tentu ada pengikut atau penyokongnya. Namun, apakah YB berkenaan telah meneliti berapa orangkah sebenarnya yang didakwanya penyokong yang masih memerlukan khidmatnya? Kalau melebihi 90% kira ok lah, tapi kalau 9% sahaja macam mana?
            Misalnya, kalau pengundi di tempatnya ada 5,000 orang sedang penyokong tegar dia cuma 500 orang, apakah alasan itu mampu mempertahankan kehendaknya dan menjamin kemenangan?
            Kalaulah benar gosip seperti itua, apa yang jelas adalah sikap YB tersebut masih tidak memahami signal yang diberikan oleh pihak atasan. Apabila seseorang YB tidak lagi disenaraikan dalam pilihanraya berikutnya, tentulah ada sebab-sebabnya selain dari parti mahu memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
            Tindakan segera yang diambilnya dengan melahirkan hasrat berpaling tadah (guna tiket bebas atau lain-lain) itu menampakkan kerakusan dan ketidaksetiaan beliau terhadap parti yang pernah meletakkannya sebagai YB.
            Barangkali aura Tok Him (Datuk Ibrahim Ali, MP- Bebas, Pasir Mas, Kelantan) telah meresap ke sanubari YB berkenaan. Kalau begitulah yang difikirkan, silap besarlah anda, YB. Percaturan Tok Him berbeza dengan pengundi di kawasan YB. Amat berbeza!
            Oleh itu, apa pun agendanya, kepimpinan parti hendaklah berhati-hati terhadap orang seperti ini dan jika ada peraturan yang membenarkan, maka cantaslah orang tersebut daripada UMNO selama-lamanya. Jangan diterima lagi sebagai ahli pejuang bangsa hatta dia bertaubat nasuha menyembah kaki presiden sekalipun.
            Inilah senario buruk sesetengah sikap politik orang melayu yang terdapat dalam UMNO. Keadaan sama pun nampaknya sudah berjangkit dalam parti-parti lawan. Pendek kata, bila tiba bab nak jadi calon, senario seperti itu akan berlaku kerana yang ghairah tidak dapat menahan nafsu dan membendung keakuannya.
                  Kalau kita masih ingat, ketika Perak kelam kabut di terajui pembangkang selepas PRU12, seorang wakil rakyat BN telah mengisytihar keluar BN dan menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR). Hanya sebentar, dan beberapa hari selepas itu dia kembali insaf. Kerana ketika itu kita memerlukan sokongan untuk memerintah, maka kembalinya beliau kepangkal jalan diterima. Namun, ahli UMNO seperti inikah yang layak bercakap tentang perjuangan agama, bangsa dan negara? Fikirkan sehalus-halusnya.
            Bagi saya kita biarkanlah mereka dari puak pembangkang itu. Yang kita nak pertahankan keharmoniannya adalah mereka yang layak menjadi calon dari kalangan ahli UMNO supaya tidak berlaku perebutan, kecil hati lalu merajuk langsung beralih arah.
           
Jagindas:   ada yang sebelum jadi YB bukan main berapi-api, bila dah duduk di kerusi menyakitkan hati!

Khamis, 5 Julai 2012

Pemandu Teksi Juga Perlu Mesra Pengetahuan

"SEBUAH KERAJAAN yang perihatin. Kerajaan yang merealisasikan slogan yang dilaungkan tidak hanya manis dimulut dan indah pada tinta tetapi praktikal".
             Itulah yang rata-rata yang diucapkan oleh rakyat jelata terutama golongan marhain. Semua lapisan dan taraf sosio rakyat mendapat perhatian kerajaan dengan satu matlamat mengongsikan kemewahan negara bersama rakyat yang sepatut memperolehnya. Ada pula yang bertanya: Nak apa lagi?
            Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najid Tun Razak, melancarkan program Duta Teksi Pelancongan sebagai usaha mempromosi keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul di Dataran Putra semalam. Mereka yang terbabit dengan program tersebut diberi insentif RM100 sebulan.
            Najib percaya bahawa pemandu teksi yang sopan, beradab tinggi, sentiasa senyum dan mesra menceritakan perkara-perkara baik mengenai Malaysia dapat memberikan gambaran baik kepada negara.
            Seperkara lagi, semua pemandu teksi di negara ini sewajarnya berkemesraan pengetahuan iaitu mereka seharusnya memiliki pengetahuan terhadap negeranya sendiri terutama hal-hal yang berkaitan dengan sejarah dan perkembangan pembangunan semasa negaranya.
            Barangkali, mereka tidak perlu mengikuti kursus ilmu pengetahuan seperti itu tetapi memadai mereka digalakan mendapat maklumat tersebut daripada pembacaan umum atau media-media.
            Ini kerana, keramahan pemandu yang mampu menceritakan sejarah sesuatu lokasi atau perkembangan negara boleh menarik minat pelancung untuk terus berkunjung ke sini.
            Ada pemandu yang gagal memberikan respon terhadap pertanyaan yang dikemukakan oleh pelancung bagi mendapatkan maklumat terhadap lokasi yang mereka lawati sama ada perkara-perkara menarik sepanjang perjalanan mahupun terhadap destinasi sebenar yang ingin mereka tuju.
            Meskipun, di tempat lawatan tersedia unit info dan pemandu pelancong, namun keramahan pengtahuan pemandu terbabit akan bertindak sebagai pemangkin yang menggerak minat pelancung lebih mendalam terhadap negara ini.
            Pengalaman saya ketika menaiki sebuah teksi meronda-ronda di sebuah bandaraya pelancungan terkenal di negara ini menjadi hambar apabila setiap pertanyaaan saya terhdap benda-benda menarik sepanjang perjalanan hanya di jawab sebagai: "saya kurang pasti encik".
            Dengan membayangkan saya orang luar (dari negara lain), saya dapati kemesraan pengetahuan pemandu teksi berkenaan amat lemah dan turut melemahkan saya untuk meninjau lebih jauh terhadap persekitaran di situ.


Jagindas:    saya teringat pada sekitar tahun 70an, sedang leka mendengar keramahan pemandu teksi yang membawa saya dan tiga penumpang lain ke Kuala Lumpur, sampai di satu selekoh tiba-tiba stering kereta tercabut! huh, kelam kabut jadinya. Alhamdulillah, Allah menyelamatkan kami semua.

TAHNIAH TUAN SPEAKER DUN MELAKA !

TINDAKAN Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad, membuat keputusan menggangtung lima anggota DAP menghadiri sidang Dewan DUN Melaka, selama enam bulan kerana mengingkari dan menimbulkan kekecohan pada persidangan dewan hari ini, amat bertepatan dan diUcapkan syabas dan tahniah.
            Mereka terbabit ialah Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana); Goh Leong San (Kesidang); Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh); Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Lim Jak Wong (Bachang).
            Saya amat mengormati tindakan speaker yang telah menggunakan kuasa yang ada pada nya bagi memelihara kehomatan, marwah dan kesucian dewan sekali gus mengajar semua ahli dewan supaya duduk dalam dewan sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab, professional, beradab serta berpekerti mulia.
            Malah, jika sepeaker berpendapat tindakan seperti itu boleh diambil lebih awal, maka untuk masa akan datang dewan tidak lagi perlu memberikan ruang yang lama atau menunggu masa-masa kecoh sebelum keputusan mengusir, menanganggug mahupun menggantung ahli dewan yang biadap.
            Dari sinario peristiwa tersebut, jelas ketidakfahaman bahasa (bahasa melayu) menyebabkan berlaku salah erti dan seterusnya menjadikan dewan kecoh lagi memalukan. Malah, berdasarkan sepanduk yang dibawa ke dalam dewan mereka juga memang tidak menghormati bahasa melayu.
            "Nampaknya beza antara ayat tanya dan ayat pernyataan pun mereka tidak faham bagaimana pula mereka hendak memahamkan hal-hal yang lebih berat daripada itu?
            "Walaupun sudah diperjelaskan oleh speaker, tetapi masih juga menegakkan benang basahnya, itu bererti mereka sengaja mencari fasal untuk menjadikan isu yang akhirnya membazirkan masa persidangan dewan"
            Itulah antara ulasan orang ramai ketika meneliti kes tersebut yang menyokong penuh terhadap keputusan yang dibuat oleh speaker berkenaan. Mereka juga mahu pada masa akan datang speaker terus menggunakan peraturan dewan tanpa memberi ruang yang lebih kepada semua ADUN mahu pun Ahli Parlimen yang berkelakuan biadap ketika dalam dewan.
            Menurut mereka tindakan speaker DUN Melaka itu juga wajar dijadikan contoh oleh semua speaker DUN di seluruh ini dan juga Speaker di Parlimen.

Jagindas:   TUAN YANG DIPERTUA, SAYA MERAKAMKAN SEBESAR-BESAR UCAPAN SYABAS DAN TAHNIAH. SELAMAT BERSIDANG DENGAN AMAN.

DATUK LEE CHEE LEONG - TOLONGLAH..

KEPENATAN merayau-rayau dari satu tempat ke satu tempat sambil mengusung kamera bagi memenuhi hobi saya menangkap gambar-gabar yang difikirkan menarik, memabawa saya singgah sebentar di sebuah gerai kedai kopi di Tanjung Tualang untuk menikmati segelas teh tarik bersama seorang rakan.
            Ketika kami sedang menanti minuman yang dipesan sampai,  saya terdengar dari meja sebelah beberapa penduduk tempatan merungut-rungut kesal kerana di situ kononnya terlalu banyak kedai yang menjalankan aktiviti perniaga judi mesin komputer.
            Menurut mereka, pekan kecil yang turut dikenali sebagai Pekan Udang Galah berikutan terdapat banyak restoran cina yang mengusahakan masakan berasaskan udang galah sungai,  pekan itu juga patut dinamakan sebagai PEKAN KASINO disebabkan terdapat lambakan peremis yang menjalankan perniagaan tersebut.
            Apa yang saya dengar dari perbualan mereka itu, ketika ini terdapat tidak kurang dari lima peremis yang mengusahakan perniagaan berkenaan di situ. Tambah mengerikan mereka mendakwa bahawa kedai-kedai judi tersebut beroperasi 24 jam sehari.
            Walaupun, umum tahu aktiviti judi itu haram di sisi Islam, namun mereka mengatakan kebanyakan pengunjung perimis judi itu adalah dari kalangan orang melayu tempatan dan dari luar kawasan situ.
            Menurut mereka, pihak berkuasa memang ada melakukan operasi pencegahan dan penangkapan, namun ia tidak memberikan kesan malah ada ura-ura mengatakan beberapa perimis judi seperti itu akan dibuka lagi yang bakal menambahkan lagi jumlah peremis judi di pekan kecil itu.
            "Setahu aku, judi mesin komputer ini tidak dikeluarkan lesen. Bermakna mereka beroperasi secara haram malah secara terang-terang. Komplen sudah dibuat. Serbuan juga pernah dilakukan oleh polis tetapi mengapa ia terus beroperasi malah khabarnya akan bertambah lagi pula?
            "Ini kawasan Timbalan Menteri Dalam Negeri. Takkan dia tidak tahu menahu langsung apa yang berlaku di kawasannya sendiri? Tidakkah kes ini dalam bidang tugasnya?"
            "Dalam surat khabar dan berita sibuk mengatakan negeri orang lain menjalankan kegiatan maksiat berleluasa sedangkan di kawasan ini pun sama. Apa benda semua ni, tak faham lah!"
            Begitulah bunyi antara persoalan yang dilontarkan sesama mereka ketika meluahkan kekesalan terhadap masalah itu.
            Saya dan rakan  yang hanya memasang telinga sejak tadi turut merasai apa yang terkilan di hati mereka itu dan persoalan yang sama terdetik dalam hati saya. "Ada yang tak kena ni!" itulah yang dapat saya katakan dalam hati.
            Saya tersenyum bila mendengar salah seorang dari mereka yang mencadangkan supaya dinaikkan kain rentang atau papan tanda yang membawa maksud pekan itu sebagai Pekan Kasino.
            Namun dibantah rakannya yang lain kerana tindakan itu akan memburukkan lagi nama pekan kecil yang aman damai itu selain ia adalah bersalahan dengan undang-undang.


Jagindas:    Datuk Lee Chee Leong, rakyat sudah merungut-rungut tu. Jangan sampai nak tunggu rakyat marah pulak. Politik, politik juga tetapi jenayah  tetap jenayah!