Semoga Yop Leh Akan Kembali Sembuh
|
WAJAH TERBARU... Penulis (kiri) bersama Yop.
Sebelum ini saiz badan kami hampir sama manakala
beza usia antara kami pula hanya dua tahun
|
SEBELUM ini penulis hanya melihat,
menziarah dan mendengar pelbagai kisah menakut dan mengerikan mengenai pesakit
yang mengidap kanser. Namun, sekarang abang saya sendiri sedang bertarung
dengan penyakit tersebut. Dia berusia 57++ tahun dan insyaAllah Februari 2013
dia akan bersara. Namanya Ismail tetapi sejak kecil dia dikenali sebagai
Saleh. Manakala di kalangan rakan-rakannya di HUKM (Hospital Universiti
Kebangsaan Malaysia) dia lebih popular dengan nama Yop.
Tiba-tiba sahaja dua bulan lalu dia jatuh
gangguan pernafasan dan dirujuk kepada hospital di Kajang. Saya katakan
tiba-tiba kerana abang saya ini memang susah untuk mendengar dia kena sakit
hatta demam sekalipun. Selepas rujukan itu tidak ada laporan mengatakan dia
mengidap penyakit yang pelik-pelik melainkan doktor hanya mengesyaki dia
mungkin terkena gastrik yang teruk.
Tetapi
beberapa minggu selepas itu dia dikesan ahli keluarganya sukar bercakap seperti
biasa dan kerap mengalami sakit bahagian dalam mulutnya. Selain itu, keadaan
fizikalnya menyusut (kurus) secara mendadak sehingga wajahnya jauh berbeza
daripada keadaan sebelum ini.Bak kata orang tua-tua - kalau tidak disebabkan
kulit akan bercerailah tulang dengan daging. Demikian keadaannya.
Justeru,
apabila penyakitnya itu dirujuk kepada
pakar ENT (telinga-hidung- Kerongkong) di HUKM, dengan sedihnya beliau disahkan
mengidap penyakit "kanser pangkal lidah tahap 4".
Penulis
difahamkan rawatan untuk penyakit tersebut hanya ada dua pilihan. Pertama
pembedahan besar. Amat ngeri untuk disebut. Menurut doktor, menerusi pembedahan
itu, bukan sahaja semua giginya akan dicabut malah lidahnya juga akan dibuang.
Selain
itu, sistem penafasan dan makan minumnya juga akan diubahsuai menggunakan
saluran getah yang ditebuk melalui tengkok dan perut.
Bermakna,
kalau dia selamat sekali pun menerusi rawatan itu, bayangkan dia tidak lagi
boleh berkata-kata kerana sudah tidak berlidah. Selain itu, dia juga mungkin
tidak lagi bernafas seperti biasa dan dari
segi makan minumnya juga dia tidak lagi dapat merasai sebarang nikmat sesuatu
makanan. Bahkan, mungkin juga dia kehilangan deria bau.
Menerusi
rawatan pilihan kedua pula, doktor tersebut memaklumkan abang penulis akan di
beri rawatan radiasi dan kimotrafi selain semua giginya juga akan dibuang.
Penulis tidak dijelaskan dengan lanjut prosedur rawatan kedua ini. Namun, abang
penulis memilih jenis rawatan kedua ini dan sekarang dia sedang terlantar di unit
radiotrafi HUKM sejak semalam.
Ketika
menziarahi, penulis angkat topi kepadanya kerana rupa-rupanya dia memiliki
sifat ketabahan menghadapi ujian Allah Taala itu.Dia bukan sahaja tenang malah
dapat menceritakan dalam suasana ceria tentang penyakitnya itu. Sedikitpun
tidak nampak kegelisahan, risau mahu pun cemas.
Mudah-mudahan
dengan ketabahannya itu, Allah swt. akan
memperkenankan doanya, anak isterinya, adik beradik, sanak saudara serta
sahabat tolannya yang terus-terusan berharap dia akan sembuh dan dapat
menjalani hidup seperti biasa.
Jagindas: Sebentar tadi saya sudah tidur lena kira-kira dua jam namun kira-kira
pukul 3.14 pagi saya terkejut lantas tidak mahu lelap lagi. Kerana terbayangkan
derita yang sedang dipikul abang saya itu lalu catatan ini saya luahkan.
Mungkin saudara kalian ada jalan yang boleh dikongsikan