Sabtu, 30 Jun 2012

AKULAH CALON PKR PRU13 NI!


SEMALAM, jagindas bertemu seorang rakan lama di sebuah taman perumahan. Dia business man. Kawan-kawannya kata dia ada lesen klas A, ada kedai dan macam-macam bisnis dia buat. Pendek kata tengah naik. Alhamdulillah,bila lagi orang melayu nak maju, ya tak?
            Dulu pernah berkerja sebagai penjawat awam. Pencen dah. Dah lama, lebih 10 tahun - pencen awal katanya. Biasalah, kalau jumpa orang bisnis mesti cerita bab bisnis. Saya suka lihat orang melayu berbisnis, jadi saya cuba-cuba menempek-nempek sembang bisnisnya.
            Di tengah-tengah sembang itu, beliau tiba-tiba menunjukkan kad bisnisnya. Saya terkejut beruk dibuatnya, sebab kad itu tertera lambang parti-parti Pakatan Rakyat (PR). Dia tersenyum bangga dan menegaskan bahawa beliau akan menjadi calon PKR untuk Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) nanti.
            Nak kata apa lagi. Saya ucap tahniah kepadanya. Bukan tahniah kerana masuk parti PR tapi tahniah kerana berani bertanding, menentang arus lagi!. Kalau sah jadi calon nanti, saya akan ucap tahniah lagi. Kalau menang atau kalah, yang ini saya sedang fikir nak beri apa pulak kepadanya! Takkan tahniah atau takziah saja kut.
            Sebagai orang lama dan rakan lama, dia tahu saya tak begitu gembira dengan percubaan barunya itu. Dulu dia orang UMNO, penyokong tegar. Dia tahu itu dan saya tahu itu. Dia mendakwa kerajaan BN di kawasannya gagal memberikan kebajikan kepada penduduk setempat terutama orang miskin, janda-janda dan kaum belia yang tidak punya arah hidup.
            Menurutnya, sekarangpun beliau sedang berusaha memperjuangkan bagi memastikan tanah-tanah kosong kerajaan di sekitar kawasan itu dapat dimiliki oleh mereka yang betul-betul berhak untuk dimajukan bagi meningkatakan ekonomi penduduk terbabit.
            "Dengan memiliki tanah tersebut, kita sebenarnya telah membantu dia untuk menjana kehidupannya seumur hidup, sedangkan bantuan bermusim-musim seperti yang ada sekarang gagal memberikan kesan positif terhadap pembangunan keluarga mereka," katanya dengan penuh semangat.
            Atas dasar dan kenyataan itu, saya amat bersetuju. Betullah tu. Dasar perjuangan nampknya sudah berputik cantik. Cumanya yang nak kita lihat, jadi atau tidak, tercapai atau terkapai hasrat tersebut.
            Dia yang begitu yakin dapat menawan hati pengundi di kawasan itu berkata sebenarnya dia tidak punya wang untuk melayari politiknya itu. Menurutnya, setakat ini dia cuma ada merizabkan wang pertaruhan jika dicalonkan nanti.
            "Ibarat kenduri kahwin, kita akan laksanakan kenduri ala kadar, namun kita yakin setiap jemputan akan berpuas hati manakala yang tidak dijemput tidak akan berkecil hati malah terus memberikan sokongan moral kerana mereka faham kemampuan kewangan kita", itulah permainan bahasa yang halus menusuk kalbu ketika dia mengulas kedudukan dirinya sebagai bakal calon PKR yang sekaligus mengenepikan kuasa wang dalam poltiknya.
            Sebagai rakan, saya kena hormat dia dan haknya sebagai rakyat di negara ini. Namun, saya juga tidak terbungkam untuk memberikan pandangan atau nasihat. Justeru, sebelum berpisah saya sempat mengatakan kepadanya bahawa berjuanglah ikut manapun, namun saya mohon jangan sampai bangsa melayu dan tanahair bertuah ini menjadi mangsanya.
            "Itu hak you nak berjuang ikut parti manapun, tapi tolong pastikan agama, bangsa dan negara tidak digadaikan walau atas apa dasar dan sebab sekalipun, malah kalau boleh parti you tu lebih hebat daripada apa yang diperjuangkan oleh UMNO," saya hulurkan tangan dan minta diri. Saya melihat dia mengangguk hambar...


Jagindasdaripada dulu, kini dan selamanya saya adalah orang kerajaan...

DAH PENCEN SOKONG PEMBANGKANG PULAK DAH...


Tindakan ramai bekas penjawat awam bertindak menyokong pembangkang sebaik sahaja mereka bersara dari perkhidmatan masing-masing bukan lagi perkara luar biasa. Malah, ada antara mereka semasa dalam perkhimatan kerajaan dulu adalah pegawai yang berapi-api menyatakan keelokan kerajaan yang memerintah. Tiada yang tak betul, melainkan betul belaka.
            Saya ditanya oleh teman-teman sembang petang mengapa keadaan itu berlaku sedangkan mereka bukan sahaja telah menerima nikmat semasa berkhidmat malah sesudah pencen pun terus menimati kemudahan yang disumbangkan kerajaan.
            Saya tidak menjawab sebaliknya memulangkan kepada mereka menelah jawapan terhadap soalan mereka sendiri.
            Ada yang kata, sokongan yang dibuat semasa berkhidmat dulu adalah sokong cari makan. Satu pihak lagi kata, sesudah pencen siapapun tak boleh ambil tindakan. Bebas, dan inilah masanya golongan tersebut berkesempatan menunjukkan diri mereka sebenar.             
            Sementara yang lain pula percaya ramai juga pesara berkenaan terpengaruh dengan belaian ceramah-ceramah pihak pembangkang yang kerap mendepani mata dan telinga mereka.
            Ada juga yang kata, masa berkhidmat dulu kena cakap positif sahaja. Jadi pak angguk. betul tak betul kena angguk. Maka, masa bersaralah mereka mendapat ruang yang secukup-cukupnya untuk melepaskan apa yang terbuku di kalbu.
            Tidak kurang juga ada yang mengkaitkannya dengan sikap pemimpin parti kompenan Barisan Nasional (BN) yang sombong, bongkak dan  pilih bulu sehingga mereka rasa terpinggir, kecil hati dan akhirnya merajuk lalu lari melepaskan geram kepada pembangkang.
            Ada juga rakan yang memberikan alasan yang agak tersasar, tapi apabila difikir-fikirkan memang boleh memberikan kesan negatif juga. Iaitu katanya, ada golongan berkenaan (pesara) mendakwa tindakan menyokong pembangkang itu dibuat kerana kecewa dengan tindakan agensi-agensi kerajaan terhadap pelbagai isu,  sama ada isu peribadi mahupun isu nasional.
            Untuk menghormati pendapat dan pandangan rakan-rakan saya katakan semua jawapan itu adalah betul belaka. Jadi, persoalan berkenaan bertukar kepada: adakah patut mereka bertindak begitu. Tidakkah tindakan itu bagaikan kacang lupakan kulit? atau laksana habis manis sepah pun dibuang?
           
            Jangan buat macam tu, tak baikkkk.. Ikutkan hati, mati. Ikutkan rasa, binasa.
           
            Kalau nak memasalkan masalah ini, tujuh hari tujuh malam tak makan tak tidur pun masih tak jumpa penyelesaiannya. Jadi, tak payahlah di huraikan di sini. Rakyat Malaysia dah matang dan sudah tahu menilai yang mana intan yang mana kaca. Yang payahnya, dah jelas nampak kaca, tapi dok kata intan juga! Kumpullah bertan-tan pun, tak laku beb, buat penat badan saja..
            Cumanya, bolehlah disimpulkan bahawa tindakan mereka beralih kepada pembangkang itu menunjukkan rakyat kita masih ramai yang kurang mengerti makna dan kuasa sebenar peranan rakyat terhadap politik setempat dan politik nasional. Jauh sekali nak bercakap tentang politik global antarabangsa.
            Begitulah halnya. Isu setempat dah jadi isu nasional, isu nasional menjadi  isu setempat. Isu peribadi dah jadi isu global, yang global pulak jadi peribadi!  Hah, macam mana ni! Takkan nak buat satu subjek khas merentasi kurikulum di sekolah-sekolah kut..?
            Kepada golongan pesara, fikir-fikirkanlah, paling tidak tuan-tuan ada pencen, masih boleh bergerak ke sana ke mari, sedang di sekeliling tuan-tuan masih ramai yang bermohon simpati untuk hidup!
           
Jagindas:   seorang rakan saya yang tinggal di Kuala Lumpur memberitahu, dia tidak mempunyai seorang sahabat mahupun kawan di dunia ini.  Dia cuma ada ramai kenalan dan berapa kenalan rapat... psssss, orang politik, selalu cakap:  Sahabat saya....bla..bla...

MOHON MAAF


Salam Hormat Kepada Semua:

Jagindas mohon maaf kepada pelayar-pelayar blogg kulukelio.blogspot.com kerana terdapat beberapa komen yang saudara tulis tidak dipaparkan di ruang komen artikel tersebut. Saya sedang mencari sebab-sebab teknikal terhadap kejadian itu. Untuk makluman, setakat ini semua komen tidak dipotong.

Bagaimanapun, sokongan saudara-saudara terhadap blogg jagindas amat dialu-alukan dan jagindas merakamkan sebesar-besar terima kasih. Saya amat menghargainya.


jagindas
kulukelio.blogspot.com

ANAK DAGANG DI RANTAU ORANG.. ll - akhir


ADA JUGA yang mengatakan pendatang dari negara lain pun nampaknya semakin berani berniaga di negara ini. Kebanyakan mereka bersifat peniaga jalanan atau berniaga secara curi-curi. Mereka ini dikatakan (adakalanya bergerak secara kumpulan) akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat terutama  di tempat-tempat orang berkumpul termasuk di kedai-kedai kopi sambil membawa barangan jualan.
            Menerusi program pemutihan 6P , Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar menyapu bersih semua yang terbabit bagi memastikan kehadiran orang luar ke negara ini mesti mematuhi peraturan dan undang-undang negara. Kerajaan pembangkang mahupun pihak pembangkang nampaknya tak berminat nak ambil tahu bab ini.
            Untuk makluman rakyat Malaysia, ini bukan tugas kerajaan semata tapi tanggungjawab semua pihak! Negara kita, kita kena jagalah. Selain mempertahankan kesucian keluhuran undang-undang negara, langkah itu juga turut menjaga kepentingan ekonomi negara, keselamatan dan masalah sosial setempat.
            Memang, kalau hendak disabit-sabitkan sebab mursabab mengapa semakin ramai pedagang berniaga haram di negara ini, tentulah  banyak sebabnya, termasuklah sikap penduduk tempatan sendiri. Macam juga kehadiran peminta sedekah di kota-kota besar. Sikap kesian belas dan menganggap apalah sangat nilai sekupang dua itulah yang membolehkan pengemis menjadi kaya raya. Kalau seorang 'bersedekah' 50 sen, 500 orang sehari jadi berapa?
            Orang kata masakan Siam sedap. Betul ke? atau orang Siam yang sedap! Hehe, jangan marah, gurau tak boleh? Bagaimana pulak juru-jual curi-curi yang datang dari tanah besar China, cakap melayu pun macam haramjadah (orang Perak kata Kolokelalo) . Itupun ada juga yang beli! Bangla jual ikan dan sayur di tepi-tepi pasar atau di pasar-pasar malam, orang tempatan berebut-rebut beli juga!
            Kesimpulannya, sikap penduduk tempatan yang terus menyokong kehadiran merekalah menyebabkan puak-puak tersebut terus membanjiri negara ini. Kalau kita memboikot perniagaan mereka takkan lah jadi mereka berniaga.
            Tapi kena ingat juga, penduduk tempatan akan bertanya balik: mana peniaga tempatan yang boleh setanding atau menandingi gerai-gerai dan restoran-restoran anak Siam atau semurah peniaga-peniaga curi-curi tu?. Saya fikir ada, ada kut, cuma kita dah tak nampak, sebab dah ditutup oleh bayang-bayang anak Siam, bangla dan China.
            Namun, yang menjadikan kita resah dan serba salah adalah bila taukehnya orang tempatan manakala tukang masak dan pelayannya orang Siam. Lagi rasa tak syok nak dengar, lesen perniagaan orang tempatan punya, tetapi yang berniaga 100% anak Siam, orang Indonesia dan sebagainya.
            Justeru, menyentuh isu orang siam atau sesiapa saja yang datang ke negara ini tetapi menyalagunakan pass lawatan atau visa maka kerajaan hendaklah segera (dari masa kesemasa) memperambat mereka pulang ke tanahair masing-masing tanpa sebarang alasan. Malaysia negara berdaulat! Saispa sahaja mesti menghormati kedaulatan undang-undang negara ini.
            Dari aspek ekonominya, kita mahu mereka datang melancong ke negara ini untuk merancakkan industeri pelancongan negara, atau datang sebagai pekerja yang sah untuk membantu membangunkan negara kita. Sebaliknya, apa yang berlaku, mereka melancong dan membawa duit kita keluar ke negara mereka. Bisnis apa kita ni?


Jagindasgetik betul! bila anak Siam ambil order kita pulak yang kena faham cakap dia! bye,bye ler..

ANAK DAGANG DI RANTAU ORANG.. (I)


SELEPAS menonton game bola euro, perlawanan antara Italy dengan German dua malam lalu yang berakhir dengan kekalahan german kepada italy (2-0), saya dan rakan-rakan berpindah ke sebuah warong yang agak tenang sedikit berbanding di kedai mamak sebelumnya. Saya tak stim apapun sebab tak minat bola. Saja ikut-ikut ambik hati kawan-kawan. Entah kenapa, kawan saya ini suka benar makan di kedai Siam.
            Warong tersebut yang biasa juga kami jadikan parlimen kelihatan kurang seri pagi itu. Dalam saya cuba mencari jawapannya, seorang kawan memberitahu senja sebelum itu ada operasi memberkas pelancong Siam yang menjalankan aktiviti perniagaan makanan di kawasan situ dan sekitarnya.
            Memang wajarpun. Senang-senang guna permit lawatan sosial tetapi mengaut keuntungan untuk di bawa ke siam. Memang seronok tinggal di Malaysia apa lagi dapat membuat duit. Malaysia aman damai. Boleh bergerak kemana sahaja 24 jam tanpa halangan. Di Siam, khabarnya di tempat-tempat tertentu seperti di Selatan Thai, pukul enam petang dah terpaksa duduk di rumah.
            Bahkan, kalau di siang hari, hendak kerja cari makanpun sentiasa dalam keadaan mara-bahaya. Tapi ada juga tu puak yang dok merapu-rapu kat luar sana kata Malaysia merbahaya untuk orang asing! Yang berbunuh tu orang jahat. Orang Malaysia tak makan oranglah!
            Ramai yang mendakwa, kehadiran ana-anak Siam tersebut memberi kesan negatif kepada peniaga-peniaga makanan tempatan terutama yang menjalankan aktiviti itu pada waktu petang menjelang pagi.
            Kehadiran anak-anak Siam ni bukan sahaja di bandar-bandar utama tetapi juga telah mengembangkan sayapnya sehingga menjelajah ke kampung-kampung dan pekan-pekan baru. Peliknya, seperti juga kedai mamak, di mana ada gerai, warong atau restoran anak Siam, maka di situlah ramai orang bertumpu.
            Selera orang tempatan masih belum jemu-jemu dengan tomyam, sup ekor, ikan masak tiga rasa, telor bungkus dan pelbagai jenis masakan lagi, yang kalau nak dikatakan murah tidak juga. Sedap sangat? Tak juga..
            Rakan saya yang memberikan sokongan moral kepada pihak berkuasa yang bertindak senja  itu mendakwa sikap penduduk tempatan yang disifatkan bagaikan ketagihan masakan Siam itu membuatkan sesetengah  'pendatang'  berkenaan menjadi macam kaduk naik junjung.
            "Mereka tu lupa diri, sudahlah menyalahgunakan pass lawatan kemudian sombong pulak. Sesetengah mereka pula begitu gahirah menyokong parti pembangkang sedangkan di tempat sendiripun hidup  tegang. Jadi, eloklah dibungkus sahaja semuanya dan halau balik ke Siam", katanya yang agak marah. Tentu dia ada sejarahnya sendiri sehingga berkata demikian.
            Bagi saya, bukan siam sahaja, semua pendatang lain yang menyalahgunkan pass lawatan perlu dibungkus dan dihalau dengan segera ke negara masing-masing dan disenarai hitamkan mereka dari memasuki negara ini untuk tempoh tertentu, paling tidak lima tahun. Ha, baru dia ada akai! Gaje bebeno.
             

Jagindassetelah sekian lama siam berniaga di sini, takkahlah peniaga tempatan tak belajar-belajar lagi macam mana nak menarik minat penduduk tempatan syok kat kedai kita...

p/s: Gaje bebeno -bahasa Perak bermaksud lebih kurang:  kelakuan perangai berlebih-lebih / melampaui batas

Jumaat, 29 Jun 2012

HARAM MAKAN KENDURI ORANG TAK SEMBAHYANG (?)


INNALILLAH HIWAINNA ILAI HIROJIUN.. Di tempat Jagingas hari ini ada dua peristiwa kematian. Kedua-duanya wanita tua. Seorang berusia lingkungan 89 tahun dan seorang lagi hampir 80 tahun. Sebelum jam sebelas pagi kedua-dua jenazah selamat di sempurnakan di tanah perkuburan.
            Sebelum balik  ke rumah setelah selesai tugasan di tanah perkuburan, kami sempat menikmati teh tarik dan roti bakar di sebuah gerai di pekan kecil di sini. Biasalah, bila duduk saja, tentu ada kisah baru yang hendak disembangkan. Maaflah bukan mengumpat hanya sekadar buat tamsilan kita-kita yang hidup ni..
            Kali ini, rakan-rakan Jagindas kembali mempersoalkan gelagat imam yang  dianggapnya bongkak dan penting diri. Dia membuat dakwaan itu, kerana menurutnya, hanya seorang imam  yang bersedia mengepalai urusan kematian di kariahnya sedangkan dua lagi imam tidak pernah berbuat demikian. Dari ziarah ke rumah, sembahyang jenazah sampailah ke tahlil dan talqin di perkuburan imam yang seorang itu sajalah yang sudi.
            Beliau turut menambah, dalam pemerhatiannya  dua lagi imam di kariah itu bersikap memilih bulu untuk menziarahi kematian  (dirumah simati, itupun tak sampai ke kubur) begitu juga dalam hal-hal kenduri-kendara atau majlis-majlis tahlil di rumah-rumah ahli kariahnya meskipun dijemput dengan penuh hormat.
            Seorang lagi rakan semeja menambah cerita, kononnya ada satu ketika jirannya mempelawa imam tersebut untuk satu majlis kenduri tahlil keluarganya. Namun beliau terkejut beruk apabila dibahasakan oleh imam itu.
            Katanya, adakah patut, imam yang jemputnya  dengan penuh hormat tetapi disambut imam tersebut dengan tempelak: "itulah kamu, bila nak kenduri tahlil tahu nak guna orang masjid, tapi sembahyang ke masjid tak nak!"
            Seorang rakan yang diam sejak tadi dengan selamba pula berkata, imam berkenaan pernah menyebut beberapa kali apabila dia dijemput ke apa-apa kenduri termasuk kenduri kahwin bahawa orang yang sembahyang tak boleh makan kenduri yang dibuat oleh orang yang tidak sembahyang!
            Saya terbungkam mendengarkan kedua-dua versi kenyataan imam tersebut. Saya masih ingat, kata-kata seorang tok guru yang amat dihormati ketika masih berada di kampung dulu (sudah Allahyarham- Al Fatihah). Allahyarham pernah mengatakan bahawa orang yang jahil murakab sekalipun jangan dihina, dicaci atau dibenci. Sejahil manapun dia, ada kelebihannya, paling tidak mengorek liang lahat, mengusung keranda ke liang, menurunkan jenazah ke lahat. Dekati mereka ini dan serulah ke jalan kebaikan dan jangan sesekali direndahkan mereka atau dijauhi mereka.
            Dalam hati saya terfikir, agaknya itulah sebab imam berkenaan tidak mahu menampilkan diri terhadap pengurusan jenazah di kariahnya termasuk menziarah kematian sekalipun kerana ditakuti  mendapat haram berikutan dia khuatir simati bukan dari golongan yang bersembahyang.
            Cakap punya cakap, maka dapatlah tahu yang imam tersebut sebenarnya juga adalah penyokong tegar parti pembangkang, apalagi kalau tidak PAS. Tapi dia tetap terima elaun imam yang dihulur oleh kerajaan. Sumbangan mingguan masjid lagi! Pelahap semacam. Pencen bulanan kerajaan lebih RM2,000 tetap disapunya.
            Jangan-jangan BR1M RM500 pun dirembatnya juga!  Namun, mulut dan hatinya sentiasa berzikir kerajaan BN zalim, tak betul, haram dan macam-macam maki hamunlah seperti yang kita selalu kita dengar orang PAS cakap.
            Wahai sekelian tok imam, banyak sebenarnya tugas-tugas imam di kariah ni. Itu sebab kerajaan bermurah hati menghulur elaun bulanan kepada anta semua. Bukan kerana nak pujuk memujuk tetapi lebih kepada penghargaan terhadap tugas anta. Yang kesalnya, ramai antara anta ni nampak duit sahaja. Adakah anta berpendapat mengimamkan sembahyang rawatib dan jumaat itu sajalah satu-satunya tugas anta?
            Kepada tok imam-tok imam, belajarlah mendekati manusia (semua) supaya kedudukan serta martabat tuan-tuan dipandang hormat oleh masyarakat setempat. Janganlah berkelakuan meletak-letakan diri anta ke persada yang tinggi. Ingatlah, bahawa tuan-tuan dilantik adalah untuk menjalankan tanggung jawab bukan untuk bermegah-megah. Wallah huallam!


JagindasWahai Pak Imam yang berkenan, masa kamu kerja dalam kerajaan dulupun mengelat, dah dilantik jadi imam berelaun pun masih mengelat lagi ke... itu nak kira macam mana ek?

SAMAN MANDATORI! BARU DIA ADA AKAI...

Pembentangan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini terhadap Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang antaranya bertujuan menaikkan kadar denda beberapa kesalahan jalan raya menjadi topik perbincangan geng sembang petang, semalam.
            Tingkah laku yang disifatkan sebagai kebiadapan pengguna jalanraya yang telah banyak mengakibatkan nyawa terkorban dan kecacatan anggota mangsa kemalangan tidak lagi boleh dipandang sambil lewa oleh semua pihak sebaliknya kerajaan sewajarnya mengenakan denda yang lebih keras dan mandatori.
            Menurut rakan saya, ini kerana, setelah bermacam-macam usaha, kempen dan didikan diberikan kepada masyarakat negara ini, namun  kesannya agak mengecewakan malah adakalanya pengguna bagaikan mencabar keberkesanan undang-undang yang telah digezetkan.
            Justeru  kami berpendapat, pesalah terbabit hendaklah dikenakan tindakan undang-undang secara mandatari dengan kadar yang lebih tinggi. Sebagai contoh, jika pemandu berlesen yang memandu tidak memakai tali pingang keledar boleh dikenakan denda mandatori RM300, mengapa perlu pula pemandu yang tidak berlesen diberikan dendaan pilihan.
            Logiknya, kesalahan memandu tanpa lesen walau sesopan santun mana sekalipun adalah lebih serius berbanding mereka yang berlesen sah. Pertimbangan kepada kesalahan pertama dan sebagainya yang dilakukan oleh pelaku hendaklah diabaikan.
            "Tak perlu diberi hukuman pilihan, terus sahaja kenakan denda RM2,000 bagi semua kesalahan trafik dan bagi kesalahan memandu tanpa lesen sah RM3,000 mandatori", itu yang dirumuskan oleh rakan sembang petang ini.
            Malahan dalam kes ini, kerajaan diharapkan menguatkuasakan undang-undang terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan kenderaan bermotor mereka dipandu oleh orang yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah sama ada kebenaran itu diberikan secara sedar mahupun atas kecuaiannya sendiri.
            Lebih-lebih lagi,  kerajaan perlu mengambil tindakan serta merta terhadap ibu bapa atau mana-mana pemilik kenderaan yang membenarkan anak atau kanak-kanak bawah umur menggunakan kenderaan mereka.
            "Kalau tidak silap, undang-undang ini sudah ada jadi kita perlu dikuatkuasakan demi mendisiplinkan pemilik kenderaan bermotor? Untuk masa akan datang, pihak berkuasa dan pendakwaraya perlu mengenakan tindakan kepada mereka terbabit secara automatik apabila disabitkan dan dikenakan tindakan mandatori juga", katanya yang kesal tindakan ramai ibu bapa yang sewenang-wenangnya membenarkan anak-anak mereka yang masih di bawah umur menunggang motosikal yang kerap dilihat di kampung dan di taman-taman perumahan.
            Bagi saya, meskipun cadangan itu nampak keras, namun kita sudah tidak ada pilihan lain untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya dan pemilik kenderaan untuk lebih bertanggung jawab setelah bermcam usaha dilakukan kerajaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
             Undang-undang yang dibina bukan untuk menjaga kepentingan sebelah pihak sahaja malah ia adalah untuk kepentingan semua. Justeru, sampai masanya kerajaan perlu mengajar rakyat negara ini menghargai keselamatan diri sediri dan juga orang lain  menerusi penguatkuasaan undang yang bersifat mandatori.
            Ini kerana, semakin diberi peluang dan ruang untuk memilih, nampaknya sikap rakyat kita semakin mengada-ngada. Oleh itu, kerajaan tidak perlu teragak-agak untuk melaksanakan undang-undang baru tersebut demikian juga kepada pihak berkuasa janganlah teragak-agak untuk mengambil tidakan kepada pesalah terbabit.



Jagindasbaru lepas bayar saman RM300 kerana tak pakai tali pinggang keledar.., hehehe lari bajet weh bulan ni!

JODOH, MAUT DAN TANAH PERKUBURAN KETENTUAN TUHAN...

KHABARNYA, ramai artis veteran kita sedang sakit. Diharapkan mereka yang berkenaan bersabarlah menghadapi ujian Allah Taala ini. Demikian jugalah kepada ahli keluarga masing-masing. Selain dari berusaha mendapatkan penawarnya di dunia ini, berserahlah kepada tuhan kerana Dia-lah yang maha mengatur segala-galanya.
           Setiap manusia pasti akan diuji Allah dan Dia sahajalah yang maha tahu bentuk dan ketikanya ujian itu akan diberikan.
        Insaf, taubat itulah yang sebaik-baiknya kita amalkan setiap waktu. Semoga Allah melindungi kita semua daripada segala kejahatan dan kemungkaran.
          Untuk semua umat Islam, saya berdoa semoga  saudara-saudara yang sedang bertarung dengan penyakit yang dihidapi masing-masing dipermudahkan Allah untuk sembuh, InsyaAllah. Kuatkanlah iman, dan pasrahlah bahawa kematian itu satu kepastian manakala hidup adalah InsyaAllah.


Jagindas:  ....Al Fatihah buat mereka yang telah mendahului kita

Khamis, 28 Jun 2012

GIVE AND TAKE !

            Bercakap tentang karenah melayan permintaan dan harapan sampai ada yang meminta yang bukan-bukan, bahkan sehingga ada permintaan yang mencabar hak dan maruah orang lain, maka saya teringat satu kisah (entah dongeng entahkan betul).  Ceritanya begini:
            Pada masa dulu, kononya seorang sultan mengadakan satu pertandingan kepahlawanan. Barang siapa dapat mengalahkan panglimanya, maka sultan berjanji akan mengurniakan apa sahaja permintaan pemenang itu selain melantiknya sebagai panglima yang baru.
            Dipendekkan cerita, seorang mamat berjaya membunuh panglima sultan di gelanggang pertarungan setelah berjam-jam berpencak silat. Sultan yang bangga  dengan kemenangan itu, lalu bangun dan bertitah:

SULTAN:                WAHAI ORANG MUDA, DENGAN KEMENANGAN INI, BETA BERASA AMAT BANGGA. RUPANYA ADA LAGI RAKYAT YANG LEBIH HANDAL DARIPADA PANGLIMA BETA. OLEH ITU, KATAKANLAH WAHAI ORANG MUDA, APA SAJA PERMINTAAN KAMU, NESCAYA BETA PERKENANKAN.

ORANG MUDA:    (TERDIAM DAN TERMENUNG PANJANG. SULTAN SABAR MENUNGGU KERANA BERFIKIR MUNGKIN PEMUDA ITU MALU ATAU MASIH KEPENATAN)

SULTAN:                KATAKANLAH WAHAI ORANG MUDA, JANGAN MALU. APAKAH KAMU MAHUKAN PUTERI BETA? RUMAH ATAU LADANG? KATAKAN, BETA TAK SABAR NAK MENDENGARNYA.

ORANG MUDA:    AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK HARAP DIAMPUN. SEMBAH DURHAKA PATIK SEMBAHKAN. TIDAKLAH PATIK MINTA YANG BERLEBIH-LEBIH DARIPADA KEMAMPUANAN PATIK. HANYA  MOHON TUANKU PERKENANKAN HAMBA...

SULTAN:                (TERSENYUM LEBAR...), TERUSKAN WAHAI ORANG MUDA, BETA AKAN     PERKENANKAN.

ORANG MUDA:    MOHON PATIK MEMBUANG AIR BESAR DI ATAS TAKHTA TUANKU!

SULTAN:                TERDIAM. MUKANYA MERAH PADAM. BAGINDA TIDAK BOLEH MURKA SEBAB BERJANJI AKAN TUNAIKAN APA SAJA PERMINTAAN RAKYATNYA TADI. NAMUN PERMINTAAN ITU AMATLAH BERAT UNTUK DITUNAIKAN. SELAIN DARI JIJIK, IA JUGA MENCABAR MARUAHNYA SEBAGAI SULTAN. SEDANG RAKYAT JELATA MELIHAT DENGAN TERANG.

SETELAH BEBERAPA DETIK BERFIKIR, MAKA TUANKU PUN BANGUN DENGAN SENYUM DAN BANGGA, LALU BERKATA DENGAN LEMAH LEMBUT:

BAIKLAH ORANG MUDA, BETA PERKENANKAN TETAPI DENGAN SATU SYARAT.

ORANG MUDA:    KERANA TERLALU GHAIRAH MENDENGAR PERMINTAANNYA DIPERKENANKAN, DIA TERUS BERKATA -  APAKAH SYARATNYA TUANKU?

SULTAN:                DENGAN SENYUM SINIS, SULTAN BERKATA: KAMU BOLEH BUANG AYER BESAR SAHAJA DI ATAS KERUSI BETA TETAPI JIKA KAMU KENCING, KAMU AKAN DIPANCUNG.

ORANG MUDA:    DENGAN GHAIRAH DAN TAK SEDAR DIRINYA DIA BERKATA: BBBBBBAIK TUANKU, BBBBBAIK TUANKU. TERIMA KASIH TUANKU. DIAPUN MELOMPAT KE ATAS KERUSI  SULTAN LALU BERSEDIA MEMBUANG AIR BESAR DISAKSIKAN OLEH HULU BALANG SULTAN. SEDANG DIA ASYIK MENERAN NAJISNYA, TIBA-TIBA TERPACUL AIR KENCING MEMBASAHI KERUSI SULTAN.....

(MELIHATKAN KEJADIAN ITU, MAKA SEPINTAS KILAT HULU BALANG MEMANCUNG KEPALA ORANG MUDA ITU DIKUTI DENGAN SORAKAN GEMURUH RAKYAT SERTA LAUNGAN SEMBAH: DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! )


Jagindassaya nak pinjam kata-kata Farid Ismeth (pembaca berita dunia RTM) dengan izin: "saudara, fikir-fikirkan lah...."

SEKOLAH VERNAKULAR - perlukah lagi? (bhg 3 -akhir)

JUSTERU, kerajaan sedia ada harus berani mempertahankan kedaulatan dan keunggulan sistem pendidikan yang langsung tidak memberi aniaya kepada mana-mana kaum dan etnik di negara ini walaupun mendapat tekanan dari sudut politik.
            Ini tidak bermakna kita tidak melayan tuntutan komuniti lain atau suara-suara kompenan parti dalam kerajaan. Namun, pertimbangan hendaklah diberi jika tuntutan atau cadangan yang dilontarkan itu tidak mencabar keutuhan negara terutama marwah perlembagaan serta dasar-dasar kerajaan sedia ada.
            Apa ertinya kekebalan perlembagaan jika rakyat bebas mencabar dan mencercanya. Apa gunanya dasar-dasar kerajaan yang diluluskan parlimen berpelembagaan jika rakyat tidak menghormatinya malah jangan sampai ada yang memandang seperti ianya tidak wujud.
            Setelah  55 tahun merdeka, sepatutnya Malaysia hari ini hanya mempunyai sekolah satu aliran sahaja iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar manakala bahasa lain,  budaya dan agama lain turut diberi perhatian sama.
            Sejajar dengan itu, kerajaan juga sewajarnya menyamaratakan standard pendidikan dan peperiksaan matapelajaran Bahasa Melayu di semua sekolah di negara ini. Ini kerana, ketika ini standard Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsan Tamil (SJKT) adalah lebih rendah sedikit berbanding standard pendidikan bahasa itu yang diajar di sekolah-sekolah kebangsaan.
            Mungkin, ia relevan ketika negara mula-mula merangkak membangunkan negara ini seawal sepuluh atau 20 tahun selepas merdeka, namun saya berpendapat kelonggran itu sudah tidak perlu diberikan lagi.
            Percayalah, jika isu ini diusulkan, sudah pasti komuniti-komuniti cina akan bangkit menentang habis-habisan sebelum sempat menteri menghabiskan hujahnya!
            Sementara itu, usaha kerajaan untuk memperkasakan penguasaan bahasa inggeris di sekolah juga sudah kena pada masanya berikutan bahasa itu kini di terima sebagai bahasa ilmu global.
            Realitinya, sehingga kehari ini, majoriti antara lidah pertuturan dan lidah pena bagi bukan melayu di negara ini amat berbeza. Perhatikan dalam banyak peperiksaan mereka mampu memperoleh gred A bagi matapelajaran Bahasa Melayu namun ketika ditemuramah nampak sukar benar mereka nak mengucapkan bahasa itu dan cara mudah menyelesaikan masalah itu tindakan mencampur adukkannya dengan bahasa inggeris dibuat secara spontan. Pelajar melayu pun sama, bunyinya macam bercakap melayu tetapi gagap!
            Natijahnya, memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar adalah hak semua rakyat semua peringkat. Bukan berhasrat memelayukan cina atau india mahupun memelayukan melayu, tetapi adalah atas hakikatnya sebagai bahasa penyatu bangsa.
            Maka sebab itu, usaha-usaha memperbanyakan sekolah vernakular sama ada sekolah rendah mahupun menengah atau mengembalikan sekolah SJK hari ini kepada sepenuhnya ke dalam versi vernakular hendaklah dihentikan.
            Justeru, kepada kerajaan BN jangan pedulikan isu ini. Ada ketikanya kita perlu memekakkan telinga ketika berdepan dengan isu-isu yang secara halus mahupun kasar mempermainkan hasrat dan cita-cita murni kerajaan. Tak wajarlah, kita sahaja yang bersungguh-sungguh sedang yang lain mengangapnya sebagai gurauan semata!  Patutkah?
      
- habis-

Jagindas:     barangkali selepas ini isu permohonan universiti berbahasa penghantar manderin akan bergema kembali. Ooo..Pilihanraya! Pilihanraya!

SEKOLAH VERNAKULAR - perlukah lagi? (bhg 2)


Tun Mahathir (Tun)  ketika menjawat perdana menteri berulangkali menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju menambah sekolah vernakular malah sehingga ke hari ini pun beliau menentang usaha-usaha pihak tertentu untuk memperluaskan lagi sekolah berkenaan.
            Dalam satu kenyataannya beberapa hari lalu ketika mengulas cadangan komuniti cina yang mahu mewujudkan lebih banyak sekolah seperti itu, beliau berkata tindakan itu bukan sahaja menjadi faktor membantutkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu secara total malah ia boleh menimbulkan pelbagai masalah sosial yang lain.
            Manakala khalayak lain pula yang menentang tuntutan itu rata-rata memberikan alasan yang sama yang menjurus kepada melambatkan objektif dasar pendidikan negara tercapai sepenuhnya.
            Sudah tentu, pihak yang menuntut tidak akan berpuas hati kerana bagi mereka kepuasan hanya akan tercapai sekiranya tuntutan dipenuhi. Siapapun begitu! Malangnya, pihak yang membuat tuntutan tersebut perlulah menghormati dasar-dasar negara yang telah dipersetujui sebelum membuat sebarang tuntutan.
            Sebenarnya, jika pihak yang terbabit menghalusi dasar-dasar pendidikan negara yang telah dipersetujui bersama serta menginsafi perkara-perkara terkait dalam perlembangaan negara, maka tidak ada sebab mengapa tuntutan atau cadangan seperti itu dilontarkan kepada kerajaan.
            Tidak keterlaluan dikatakan, bahawa pemimpin dari kalangan cina, sama ada MCA, Gerakan mahupun DAP saya dapati lebih bernafsu untuk bercakap tentang ekonomi, pendidikan vernakular dan budaya menerusi program bersama komuniti mereka.
            Sikap satu suara ini barangkali berlaku kerana komuniti cina hanya dilihat berpecah mengikut anutan parti masing-masing namun secara prinsipnya dan nubarinya kaum itu sentiasa bersatu.
            Sebab itu barangkali semakin ramai kalangan melayu yang meragui peranan dan sikap puak MCA dan Gerakan yang secara amnya mewakili komnuniti cina dalam kerajaan Barisan Nasional (BN). Namun atas dasar kesefahaman dan semangat kerjasama yang masih ada maka kerajaan dapat menghadapi isu itu dengan cara terbaik.
             Tidak seperti orang malayu yang bukan sahaja dipisahkan oleh fahaman politik malah sanggup terbelah dua, tiga atau lebih atau sehingga sanggup berpatang arang disebabkan kefanatikan kepartian mereka.
             Barangkali itulah sebabnya, banyak usaha kerajaan untuk  rakyat menerusi pendidikan mendapat tentangan daripada kominiti cina dengan menimbukan pelbagai alasan dan sebab-sebab yang remeh-temeh seolah-olah mereka baru sehari dua menjadi rakyat di negara ini. Situasi ini jelas dapat dilihat bagaimana pihak tersebut menolak program sekolah wawasan yang akhirnya tenggelam begitu sahaja. Dan, akhirnya kita semacam menjadi 'letih' untuk menegakkannya.
            Melahirkan sebuah generasi bangsa negara yang harmoni menerusi satu sistem pendidikan nasional, satu bahasa satu bangsa bukan sahaja diperlukan di Malaysia malah negara-negara lain juga turut memperjuangkan kesepaduan rakyatnya menerusi formula yang sama.
            Lihat bagaimana Indonesia menyatukan rakyatnya yang terdiri dari berpuluh etnik atau suku kaum menerusi Bahasa Indonesia manakala negara China menggunakan bahasa manderin  sebagai bahasa penyatuan bangsanya.
            Alangkan negara yang tidak mempunyai rakyat berbilang kaum seperti Malaysia pun memerlukan satu bahasa untuk proses penyatuan rakyatnya, sudah tentulah bagi negara ini
kaedah seperti itu lebih-lebih  lagi diperlukan.


(bersambung ke bhg. 3 - akhir)


Jagindas:     terkenang serangkap pantun nyanyian A Halim & Norlela Nasir:

                        "kalau menyanyi perlahan-lahan,
                         daun yang hijau banyak yang gugur,
                         kalau hati tidak tertahan,
                         minyak dan air mungkin bercampur.."                       

SEKOLAH VERNAKULAR - perlukah lagi? (bhg 1)


Cakap-cakap mengenai pilihanraya ke 13 (PRU13) kian menjadi topik perbualan khususnya di parlimen tak berpelembagaan - kedai kopi. Tak tahulah di negeri lain, tapi di tempat Jagindas dan kawasan sekitarnya bendera-bendera parti dan kerajaan sudah mula menghiasi kiri kanan jalan raya.
            Teka teki tarikh PRU13 pula semakin menarik untuk ditelah. Siapa saja yang membuat telahan dia akan mengusulkan sebab-sebabnya tersendiri. Namun yang pasti PRU13 akan berlaku bila sampai masanya.
            "Buat kerja jer"  sergah kawan-kawan. Itu yang menamatkan telahan-telahan yang tak berpenghujung.
            Biasalah, orang cina dengan groupnya tentu akan membincangkan apa yang perlu kerajaan bagi untuk komonuti cina, orang india pun begitu. Orang melayu pulak selain dari mempertahankan  hak ketuanan melayu, sering mempertikaikan permintaan-permintaan kaum cina dan india yang didakwa lebih sebagai ugutan jika mahukan undi daripada meraka. Masalahnya, kalau ditunaikan pun belum tentu dapat undi mereka tu. Puak ini jenis tak cukup-cukup!
            Ada kalanya orang melayu merasakan permintaan kaum-kaum lain itu sebagai keterlaluan. Isu sekolah  vernakular   kembali bergema dilaungkan oleh komuniti cina. Komuniti India biasanya tunggu dan lihat. Bila kerajaan ikut kata otang cina, orang india pun akan turut menyalak sama. Hendak juga tu!  Isu tokong, kuil dan tanah kubur turut menambahkan keredit.
            Biasalah, jawapan politik akan bermula dengan kerajaan akan mengkaji. Selepas itu kerajaan sedang menimbang. Kemudian, kita masih lagi mendapatkan maklumbalas rakyat. Di hujung-hujungnya, bila semakin panas, kerajaan bersetuju... atas dasar.... bla, bla,bla...
            Namun dalam isu sekolah vernakular   ini, saya tidak nampak ianya perlu dilayan lagi. Kerajaan perlu berani bertegas dalam isu ini mengajak seluruh rakyat menghormati dan menjunjung perlembagaan negara serta dasar pendidikan negara yang jelas termaktub. Semua yang diiktiraf sebagai rakyat Malaysia, bukan orang melayu sahaja!
            Kita bukan nak menghilangkan cina atau india, budaya dan agama mereka  di negara ini. Tapi kita mahu semua rakyat menghormati perlembagaan negara, sistem dan dasar pendidikan negara.
            Jelasnya, taburan sekolah  vernakular  sedia ada sudah mencukupi untuk merakyatkan generasi akan datang sebagai rakyat Malaysia yang berpaksikan semangat Satu Malaysia (1M). Ketika kerajaan melancarkan sekolah wawasan dulu, macam-macam hal dan alasan diberikan oleh puak-puak ini. Apapun yang dicakapkan, alasan mahupun faktanya, namun yang jelas bersendirian itulah sebenarnya yang mereka mahu. "Talak mau kongsi WO.."
            Kalau nak di sentuh secara sensitif, apa yang tersurat dalam dasar pendidikan kita, sekolah bantuan modal hanya berhak mendapat 30% daripada jumlah keseluruhan keperluan bantuan kewangan daripada kerajaan untuk tujuan pembangunan atau pengurusan. Sejak dasar itu dilaksanakan hinggalah menjelang tahun 2000 dasar itu kekal dan tidak dipersoalkan. Bermakna, komuniti cina dan india menerima serta faham kedudukan sekolah  vernakular   yang datuk nenek  mereka wujudkan sejak dulu lagi kecuali sekolah jenis kebangsaan kerajaan.
            Bagamaimanapun, hari ini ada sekolah  vernakular    yang mempunyai murid tak sampai 40 orang tetapi menerima bantuan modal daripada kerajaan sehingga RM1 juta!! Rungut-rungut di luar pasti ada, tapi secara terbukanya rakyat khususnya orang melayu tidak juga mempersoalkan. Bahkan mereka yang tahu terhadap dasar itupun juga tidak ambil kisah. Kadang-kadang sedih dan kecil hati melihat sekolah melayu yang mempunyai murid lebih 300 murid tapi keadan sekolah itu dhaif dan sesak.
            Justeru, saya percaya atas kelembutan kita menyanggah dasar yang kita buat sendiri inilah yang menyebabkan puak-puak ini begitu ghairah memperjuangkan hak-hak komuniti mereka secara belebih-lebih.
            Ini kerana, bagi mereka yang penting adalah untuk mendapatkan asasnya dulu, selepas itu mereka akan menggunakannya menerusi medan politik untuk mendapatkan nikmat daripada kerajaan berdasarkan terbukti daripada tindakan mereka yang lalu-lalu ternyata berhasil.
           
(bersambung ke bhg 2)

Jagindas:     Dah bagi betis nak paha pulak, sudahlah di luarnya pepat di dalamnya rencong,  di luar nampak tenang tetapi didalamnya bagaikan api dalam sekam, laksana duri dalam daging! adui....

Rabu, 27 Jun 2012

GAJI BURUH KITA DAN GAJI BURUH INDON..


Sambil menunggu hujan reda, saya teringat satu kisah di satu petang kira-kira sebulan yang lalu. Ketika itu  saya sedang menunggu rakan-rakan sembang di warung biasa, tiba-tiba didatangi seorang hamba Allah terus duduk semaja di depan saya.
            Saya kenal dia. Dia bekerja sebagai  operator mesin di kilang kelapa sawit. Apa yang saya dengar kilang tersebut adalah yang terbesar di asia. Dia nampak penat maklum baru habis kerja. Dahinya berkerut. Sudah berkahwin dan miliki sepasang cahaya mata dan yang sulung bersekolah di darjah dua (tahun dua).
            Tiba-tiba saja dia merungut tentang harga susu tepung untuk anak kecilnya didakwa sangat mahal. Dia nampak resah membayangkan tidak punya cukup wang untuk menyara hidup keluarganya yang sekecil itu.
            Tambah malang hamba Allah ini lagi, dia juga tidak menerima wang RM100 pemberian kerajaan yang patut diterima untuk meringankan belanja persekolahan anaknya pada awal tahun tadi dengan alasan pihak sekolah terlepas pandang anaknya. Huh! mudahnya pihak sekolah memperbodohkan orang tak berapa cerdek.
            Lantas, saya terus bertanya berapakah gaji yang diterimanya sebagai operator mesin di kilang besar itu. Saya amat tekejut kerana selain daripada kilang membayar gaji dalam kaedah gaji hari (ada kerja ada gaji), upah yang diterimanya pula tidak sampai RM15 sehari.
            Ini bemakna, kalau dia berkerja genap 30 hari, ditolak KWSP, Socso dan lain-lain yang bersangkutan, dia cuma membawa balik tidak sampai RM400 setiap bulan. Itu kalau penuh sebulan bekerja, kalau dia terpaksa bercuti, sakit atau sebagainya, macam mana? Dia juga terpaksa membayar sewa rumah sebanyak RM120 sebulan.
            Yang saya fikirkan, apa yang boleh dibuat dengan pendapatan sebanyak itu dalam keadaan ekonomi sekarang? Apa yang dia, anak dan bininya makan setiap hari?       
            Sementara itu, di meja sebelah saya, seorang taukeh ladang tembikai sedang menikmati mi rebus dan teh ais begitu ramah pula menyapa saya menceritakan hasil mahsul usahanya. Katanya, dia mengusahkan kira-kira 600 ekar ladang tembikai pelbagai jenis dan kelapa sawit. Dia menggaji 200 pekerja warga Indonesia dengan bayaran Gaji RM20 sehari (pun juga gaji hari).
            "Indon mulah (murah) ma. Kita tolak kongsi makan RM120, lebih kurang satu olang kuli boleh dapat RM450 satu bulan. Sini punya olang mana mau kerja RM20 satu hari ma. Lagi, itu sakit punya hal taukeh tanggung", katanya bangga.
            Membandingkan kedua-dua kisah itu, saya pula yang jadi berkerut di dahi. Sebelum ini saya pernah bersembang-sembang dengan pengurus kilang sawit berkenan yang dikatakan terbesar di asia itu. Dia berkata kilang berkenaan akan diperbesarkan lagi dan serentak itu ia memerlukan ramai pekerja terutama peringkat bawahan.
            Namun, dia mendakwa penduduk tempatan malas bekerja. Suka mengambil cuti terutama selepas mendapat gaji. Malah, katanya juga ramai yang berhenti setelah berkerja beberapa bulan sahaja.
            Menurutnya, tahun lepas kilang tersebut membayar bonus sembilan bulan gaji! Huh, banyaknya! Pada perkiraan kasar saya, seorang jurutera yang bergaji RM4,000 sebulan akan dapat bonus RM36,000 tapi seorang buruh mungkin tidak sampai RM2,000 pun setelah di tolak cuti dan berbagai-bagi lagi.


Jagindas:    Bersyukurlah, betapa bertuahnya penjawat awam dan pesara sektor awam sekarang. Ingat-ingatlah, banyak lagi yang menderita di luar sana...  

DIVIDEN ASB vs DIVIDEN BANK RAKYAT


Lebih kurang jam 2 petang tadi hujan turun agak lebat juga setelah berminggu-minggu panas terik. Angin juga turut bertiup sama memberikan kesegaran suhu kepada manusia, tumbuh-tumbuhan dan binatang ternakan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang memberikan nikmat.
            Meneliti paparan akhbar dan siaran media massa elektronik nampak jelas ekonomi Malaysia terus rancak berkembang meskipun berlaku beberapa insiden yang kalau tidak bijak membendungnya akan menggugat kestabilan ekonomi negara.
            Perang atau serangan ekonomi adalah antara senjata dunia global yang boleh meruntuhkan sesebuah negara. Rakyat menjadi huru hara! Tahniah kepada pemimpin dan mereka yang terbabit dalam merancang, menstruktur dan menjana ekonomi negara sehingga membolehkan rakyat hidup selesa.
            Semalam semasa menonton aksi bolasepak bersama rakan-rakan di kedai mamak, sempat juga kami bercakap-cakap tentang ekonomi negara. Tidak seorangpun daripada kami mempunyai pengetahuan luas dalam bab-bab ekonomi. Orang kampung marhainlah katakan.
            Seorang rakan membangkitkan kejayaan Bank Rakyat Malaysia yang mampu mmberikan pulangan dividen dan bonus kepada pemegang sahamnya sehingga 20% untuk tempoh matang tahun lalu. Kemudian dia mengungkitkan kekesalan terhadap Amanah Saham Nasional (ASN) yang tidak mampu mencecah 10% pun melainkan ketika baru-baru dilancarkan lebih 30 tahun lalu.
            Dakwanya, kerajaan sepatutnya berterima kasih kepada penyimpan yang turut membantu menstabilkan aset dan simpanan dana negara. Justeru, sudah sampai masanya dividen dan bonus pemegang akaun ASB menikmati pulangan sekurang-kurangnya 15% atau up and down pun antara 13% - 15% setahun.
            Langkah ini katanya, secara langsung membantu pemegang akaun berkenaan menjana pendapatan tahunan mereka dengan lebih berbaloi. Dia memberi contoh, sekiranya seorang pemegang akuan sehingga hari ini boleh menyimpan RM25,000 bererti dia akan mendapat pulangan tahunan sebanyak RM3,750 (untuk div dan bonus 15%). Dan, jika dibahagi dengan 12 bulan bermakna pemegang akaun tersebut memperolehi pendapatan RM312.50 sebulan. Bagaimana pula bagi pemegang akaun yang memiliki jumlah simpanan RM50k, 100k, 200k?
            Pendapat beliau disokong oleh rakan-rakan yang lain dimana mereka mendakwa pemegang akaun juga sewajarnya diberi peluang sama menikmati kemuncahan ekonomi negara dengan menjadikan akaun simpanan amanah sebagai bonus pendapatan tahunan.
            Kesediaan kerajaan menaikkan pulangan dividen dan bonus itu juga menurutnya boleh menarik lebih ramai lagi golongan marhain  untuk berlumba-lumba menambah simpanan mereka sekaligus menolak untuk melakukan aktiviti "keluar-masuk" akaun setiap hari atau bulanan.
            Dalam bab ini, saya memang kurang arif. Saya cuma mendengar pendapat yang dilontarkan rakan-rakan. Namun pada saya, tuntutan mereka itu ada benarnya kerana ASN/ASB telah melalui zaman matangnya lebih 30 tahun.
            Sepintas lalu, secara logiknya semakin lama berkerja tentulah semakin tinggi gaji. Kalau yang menyimpan, tentulah semakin bertambah simpanan. Kalau berniaga tentulah semakin bertambah keuntungannya. Demikian juga ASN/ASB taklah mendatar begitu sahaja sedangkan nilai wang semasa semakin kecil berbanding harga barang yang tak pernah turun-turun.
            Seorang lagi sahabat pula secara sinis berkata kalau sebuah koperasi cengkadak pun boleh membahagikan dividen sebanyak 10% setahun takkanlah permodalan nasional yang sebesar dan se-gah itu tidak mampu menyumbang dividen lebih tinggi.

Jagindas:   menyimpan ciput jer, itu yang segan nak sembang tu.... hehehehe

Selasa, 26 Jun 2012

GELAGAT PENJAWAT AWAM - Bhg 3 (akhir)


Pada bahagian 1 dan 2, saya telah menyentuh tentang harapan kepada KSN yang baru untuk memperkasakan perkhidmatan awam Malaysia termasuk menyeru kakitangan perkhidmatan awam membulatkan hati dan iltizam menumpahkan segala kepakaran dan tenaga mereka menerusi jabatan masing-masing demi untuk membangunkan negara tercinta. Kakitangan awam juga diharap terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan yang memerintah sebagaimana yang diseru oleh KSN.
            Tiba-tiba menjelang maghrib tadi seorang rakan lama menelefon saya menyatakan kekesalannya kerana ramai kalangan guru yang masih berkhidmat memberikan sokongan kepada pihak pembangkang.
            Saya memintas dakwaannya itu dengan mengatakan tidak adil dia berkata begitu kerana pada pemerhatian saya bukan kalangan guru sahaja malah kakitangan jabatan-jabatan lain seperti, kesihatan, keselamatan, kerajaan tempatan dan boleh katakan semua jabatan memang ada kakitangannya yang menyokong pembangkang.
            Namun, terhadap dakwaannya itu jelas menunjuk bahawa kaum guru sudah menjadi 'public figure' barangkali. 
            Justeru untuk menjawab dakwaannya itu secara lebih adil, saya fikir ada empat golongan utama sikap  penjawat awam terhadap kerajaan yang didokongnya. Kalau nak diperincikan lagi mungkin boleh dipecahkan hingga 10 sub-kumpulan. Namun, cukuplah sekadar yang disebutkan di bawah untuk direnungkan bersama:

           Pertama: golongan yang benar-benar menyintai kerajaan yang betuah ini termasuk parti politik yang mewujudkan kepemimpinan negaranya. Golongan ini pun ada dua jenis, (i) yang memahami tugasnya sebagai penjawat awam tetapi tidak memasukkan politik dalam kerjayanya, (ii) yang memahami tugasnya sebagai penjawat awam tetapi menggunakan kesempatan politik yang dianutinya dalam menjalankan tugasnya atas sebab-sebab kepentingan komuniti mahupun peribadinya.
       Kedua: golongan yang tidak menyintai kerajaan berikutan dia menganuti fahaman parti politik lawan. Golongan ini juga ada dua kumpulan.  (i) yang menentang secara terang-terang dan biasanya sikap tangungjawab mereka terhadap kerjayanya agak hambar dan memeningkan ketua jabatan. (ii) yang nampaknya bertanggungjawab melaksanakan tugas namun pemikiran dan tindak tanduknya menyebelahi pihak lawan. Kadang-kadang mereka ini sukar di kesan kerana hidup kepuraan mereka mampu mengabui mata ketua jabatan. Golongan inilah yang selalunya menjadi duri dalam daging!
     Ketiga: golongan yang fanatik terhadap kerjanya. Dia hanya tahu menjalankan tugas seperti apa yang diarahkan kepadanya dan dia akan berpegang terus kepada peraturan dan prosedur sedia ada. Ada kalanya, budibicarapun tiada dalam kamus mereka.
       Keempat: golongan yang berkerja atas dasar cari makan sahaja, iaitu bersikap makan gaji. Bagi mereka, yang penting ada kerja ada gaji. Termasuklah dalam golongan ini penjawat awam yang malas, mementingkan diri, tidak ikhlas dan memilih kerjaya tersebut kerana terdesak disebabkan ditakuti menganggur. Sebagai contoh, seseorang memilih kerjaya guru secara terdesak setelah tiada jawatan lain yang ditawarkan selepas saja graduate.
           
            Harapan rakyat kepada KSN adalah agar dapat mencari satu kaedah kekeluargaan yang memungkinkan keempat-empat golongan tersebut dapat disatukan pemikiran, sikap, etika dan keprofessionalisme mereka sebagai penjawat awam tulen yang bersandar terus kepada kerajaan yang memerintah tanpa berbelah bagi. Mungkin tidak mencapai 100%, namun jika kita dapat mengekalkan 95% penjawat awam bersikap positif terhadap kedudukan mereka yang sebenar-benarnya sebagai penjawat awam, itu sudah memadai.
            Sebagai rakyat marhain, saya berdoa semoga semua penjawat awam di negara ini berikan sedikit ruang dalam diri untuk bermuhasabah diri masing-masing. Kalaupun kita tidak mampu atau tidak mahu menolong orang lain, tetapi janganlah pula kita menyusahkan mereka.

Jagindas:   petang tadi sempat menziarah seorang rakan yang juga pesara kerajaan di wad 2A hospital Bainun. Dalam sembang-sembang dia sempat kata Najib nak bagi lagi BR1M. "Dia bagi kita sapu... undi belum tahu!" katanya. Saya cuma jawab, agar dia berihat dan banyak-banyakan berastaghfar..

GELAGAT PENJAWAT AWAM - bhg. 2


MEMANG, apabila menyebut kebebasan berpolitik dalam konteks negara ini, bermakna setiap rakyat bebas memilih mana-mana parti politik yang berdaftar untuk disertainya atau dijadikan medium untuknya berjuang menerusi parti politik kesukaannya.
            Begitupun, sebagai kakitangan awam anda sewajarnya tidak memilih parti lain selain yang memerintah sekarang. Demikian jugalah sekiranya berlaku pertukaran kepimpinan kerajaan selepas melalui satu-satu proses pilihanraya umum. Saya percaya, barangkalai inilah yang dimaksudkan oleh KSN yang baru, Datuk Ali Hamsa, yang mahu kakitangan awam terus menyokong kerajaan.
            Ajakan ini bukan bermaksud kuku besi atau terpaksa memaksa. Apa maknanya kita mengakui orang kerajaan, menikmati segala hal kenikmatan yang diberikan sedangkan hati dan perasaan serta kasih sayang menumpu ke pihak lain? Inilah yang dikatakan orang berbudi kita berbahasa. Janganlah pula menjadi duri dalam daging.
            Ibarat seorang isteri, kalau sudah hilang taat setia kepada suami, kalau sudah bermain kayu tiga, atau kasih menumpah kepada yang lain, adalah lebih baik meminta cerai daripada suami meskipun perbuatan itu tidak disukai Allah Taala.
            Barang diingat, bahawa setelah kerajaan terbentuk kakitangan awam telah menjadi hak rakyat tidak lagi memihak kepada kumpulan tertentu. Perkhidmatannya tidak diikat oleh parti-parti politik sebaliknya dia akan terus melaksanakan dasar-dasar dan program-program kerajaan yang memerintah di bawah pimpinan Perdana Menteri dan di bawah naungan Duli Yang Dipertuan Agong.
            Di sinilah kakitangan awam perlu telus, jujur, berintegriti dan berkredibiliti sepanjang perkhidmatan mereka dalam sektor awam. Menyebut dan memaparkan kata-kata tersebut yang kemudian dipamer di kaunter-kaunter dan di pejabat-pejabat atau peremis-peremis kerajaan memang senang. Namun, adakah semua kakitangan awam dan khalayak faham sebenar-benarnya makna yang dituntut oleh tinta keramat itu.
            Kita tidak mahu nanti ada ketua jabatan yang gagal mengambil tindakan terhadap kakitangannya yang bersalahlaku disebabkan kakitangan tersebut adalah orang kuat politik atau orang kanan sipolan sipolan.
            Begitu juga, kedengaran keluhan, simpati, kesal dan marah apabila berlaku pertukaran pegawai atau ketua jabatan atas desakan orang politik hanya disebabkan perkara-perkara yang kecil atau lebih malang setelah pegawai tersebut tidak dapat menunaikan permintaan orang bernama itu berikutan kehendaknya menyalahi peraturan atau prosedur.
            Selain itu, banyak yang dikeluhkan oleh penjawat awam ini dan saya kira cuepacs dan kesatuan-kesatuan sekerja tentu ada maklumat jelas mengenainya.  Antara lain termasuklah ketidakpuasan hati kalangan penjawat awam terhadap sistem kenaikan pangkat di sektor-sektor tertentu.
            Percanggahan dan pertelagahan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kementerian-kementerian seharusnya tidak berlaku.  Insiden-insiden seperti ini perlu dikawal jangan sampai terburai ke luar kerana pihak yang menentang akan sentiasa mengambil peluang dan ruang yang ada untuk kepentingan hati busuk mereka.
            Tun Mahathir ketika mula menjadi Perdana Menteri telah memberikan kod etika yang sepatutnya diamalkan oleh setiap rakyat di negara ini berterusan iaitu BERSIH, CEKAP DAN AMANAH.  Malangnya, penyalagunaan etika maksud cogan kata itu mendorong ada pihak yang cekap menyapu bersih kekayaan negara tanpa memperdulikan nilai-nilai amanah yang amat dituntut oleh Islam.
            Dalam konteks rasuah, selalunya orang akan berkata: KALAU TIDAK ADA YANG MEMBERI TIADALAH YANG MENERIMA. Kita perlu terbalikkan bidalan ini bagi mengukuhkan kakitangan awam sebagai pegawai kerajaan yang berjati diri kepada: KALAU TAK ADA YANG SUDI MENERIMA MAKA TAKKAN BERANI ORANG NAK MEMBERI.
            Justeru, dalam pemerhatian saya secara peribadi, ada beberapa peraturan dan prosedur kerja yang diamalkan oleh sektor swasta, boleh memberikan manfaat bagi mencantikkan lagi pengurusan perkhidmatan awam  jika ia dapat dipraktiskan dalam sektor kerajaan.
            Memang benar, adalah sukar malah barangkali mustahil bagi kita untuk memenuhi kepuasan hati semua orang. Namun, jika setiap orang beriltizam untuk menjadi yang terbaik, buku perintah am tidak perlu lagi diletakkan di atas meja ketua jabatan....

(bersambung ke bahagian 3)


Jagindas:     seorang kawan yang pernah berkhidmat lebih sepuluh tahun di sektor swasta berkata sekarang ini dia releks sikit sejak berkhidmat dalam sektor awam (kerajaan). Apa maknanya tu...???